Showing posts with label kemahiran mendidik anak atas 2 tahun. Show all posts
Showing posts with label kemahiran mendidik anak atas 2 tahun. Show all posts

Saturday, 28 January 2012

Periksa mata anak sebelum 3 tahun



Ibu bapa disarankan membawa anak mereka untuk menjalani pemeriksaan mata selewat-lewatnya pada usia tiga tahun bagi mengesan sebarang risiko ketidaknormalan penglihatan.
Pakar Mata Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (Thoneh), Dr Zainal Mohamad, berkata pemeriksaan awal boleh membantu mengurangkan risiko penyakit mata, insiden kebutaan serta memperbaiki pendekatan dalam rawatan penyakit berkaitan mata.
Beliau yang ditemui selepas Seminar Dunia Penglihatan Kanak-kanak: Perkembangan, Masalah dan Rawatan, di sini hari ini, berkata permasalahan mata di kalangan kanak-kanak jika dikesan pada usia yang lewat, akan menyukarkan usaha merawatnya dan mungkin menyebabkan kecacatan kekal.
“Sebaliknya, jika masalah itu cepat dirujuk kepada pakar, kanak-kanak mungkin hanya perlu menjalani rawatan yang mudah seperti hanya perlu menggunakan cermin mata atau pembedahan kecil untuk memperbaiki masalah mereka,” katanya.
Beliau yang sebelum itu membentangkan kertas kerja berjudul “Apa Yang Mereka Lihat dan Perkembangan Penglihatan Normal”, berkata perkembangan penglihatan kanak-kanak merupakan proses berterusan dan mencapai tahap matang pada usia lapan tahun.
“Jika berlaku sesuatu (kecederaan) semasa usia itu, ia akan menjejaskan peluang perkembangan penglihatan yang normal,” katanya.
Beliau berkata di Malaysia kesedaran dan pengetahuan mengenai aspek kesihatan mata masih rendah berbanding aspek kesihatan lain.
“Yang selalu dibimbangkan oleh ibu bapa ialah sama ada anak-anak dapat membaca atau tidak, tetapi soal organ (mata) (untuk membaca) kita tidak pernah tekankan, sama ada ia dalam keadaan baik atau tidak,” katanya.
Beliau berkata masyarakat, terutama ibu bapa dan pengasuh kanak-kanak, perlu lebih peka terhadap perkembangan penglihatan kanak-kanak agar dapat mengesan sebarang risiko penyakit berkaitan mata dengan lebih cepat.
“Di Amerika Syarikat dan England misalnya, prasyarat untuk masuk ke pusat jagaan kanak-kanak ialah kanak-kanak itu wajib menjalani pemeriksaan mata selewat-lewatnya pada usia tiga tahun.
“Tetapi di Malaysia, walaupun kita ada Sistem Perkhidmatan Kesihatan di Sekolah, tetapi biasanya pemeriksaan mata hanya dilakukan pada usia tujuh tahun, ketika ‘pintu dah nak tutup’ (terlalu lambat berdasarkan perkembangan penglihatan yang hampir matang),” katanya.
Antara permasalahan mata di kalangan kanak-kanak ialah rabun jauh, rabun dekat, astigmatisme (gangguan penglihatan disebabkan kornea yang ‘menggeleding’), juling, buta warna, mata malas (ambliopia), katarak dan mata merah. BERNAMA

Friday, 27 January 2012

Merangsang Anak Minat Membaca




Ibu bapa profesional sentiasa merangsang minat membaca. Sewaktu tiga tahun pertama usia anak, otak berkembang dengan pesat dan mampu menyerap dengan mudah apa sahaja rangsangan yang diterima.


Peluang ini harus digunakan dengan bijak oleh ibu bapa untuk merangsang otak anak dan mengajar mereka sebanyak mungkin kemahiran terutamanya kemahiran membaca.


Kebolehan membaca merupakan rangsangan yang amat bererti untuk meningkatkan tahap kecerdasan kanak-kanak. Namun dalam ghairah merangsang intelektual anak-anak, ibu bapa harus peka kepada keinginan dan minat anak pada waktu itu. Paksaan dan rangsangan yang terlalu banyak mungkin akan membosankan dan membebankan anak.

Perkara pokok yang perlu dititikberatkan adalah menanamkan minat. Menanam minat membaca boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan seharusnya dibuat dengan penuh kesabaran tanpa paksaan.


Antara cara menanam minat membaca ialah :-

  1. Sewaktu hamil, eloklah ibu membaca al-Qur’an atau berzikir dan diperdengarkan kepada janin.
  2. Melapangkan sedikit masa untuk mengajar anak. Masa tersebut perlu diisi dengan aktiviti yang berkualiti. Contoh aktiviti: Tuliskan satu perkataan ringkas dengan besar dan berwarna. Bacakan dan eja dengan jelas dan penuh kasih sayang. Atau gunakan kad bergambar (flash card) dan diikuti dengan tulisan. Tunjukkan kepada anak gambar, kemudian eja perkataan atau maklumat berkenaan gambar tersebut.
  3. Semasa di dalam kenderaan, bacakan atau baca bersama-sama anak-anak nama-nama jalan, nombor plet kereta di hadapan, papan tanda iklan dan sebagainya.
  4. Tunjukkan contoh teladan iaitu ibu bapa seharusnya menunjukkan minat membaca dengan cara selalu membaca di hadapan anak.
  5. Semasa ibu atau ayah membaca, letakkan anak yang masih bayi di pangkuan dan bacalah dengan suara yang agak kuat.
  6. Sentiasa membawa anak ke medan ilmu seperti ke pesta buku, pameran buku, ke kedai buku, ke perpustakaan dan seumpamanya.
  7. Jika bercadang memberikan hadiah, belilah hadiah buku seperti buku cerita, ensaiklopedia, kamus, buku bergambar dan sebagainya.
  8. Membiarkan anak bermain dan ‘bergaul’ dengan buku. Jangan membeli buku tetapi disimpan di dalam almari sahaja.
  9. Menyediakan peruntukan kewangan atau tabung untuk membeli dan menyediakan bahan-bahan bacaan, termasuk langganan majalah kanak-kanak dan menyediakan perpustakaan di rumah.
  10. Jangan memarahi anak kecil yang bermain dengan buku-buku anda. Sebaliknya buku-buku perlu diletakkan pada tempat yang mudah diambil oleh anak.
  11. Membacakan buku cerita dan kisah-kisah nasihat kepada anak. Contohnya sewaktu minum petang atau sebelum tidur. Aktiviti ini boleh dimulakan seawalnya apabila anak telah berusia 6 bulan.
  12. Menyediakan tempat khas supaya anak boleh mengambil dan menyimpan sendiri buku. Boleh juga disediakan beg atau bakul khas supaya anak boleh membawa buku ke mana sahaja terutamanya semasa perjalanan jauh.
  13. Membiasakan membeli buku jika anak meragam sebagai menggantikan mainan untuk mententeramkannya.
  14. Sentiasa memberi pujian dan penghargaan kepada usaha-usaha dan pencapaian anak untuk membaca.

Bermain Dengan Warna




Oren, biru, hijau, merah, kuning dan banyak lagi warna-warna yang anak anda perlu tahu.

Usia tiga tahun adalah masa permulaan untuk anak anda mengetahui jenis-jenis warna. Anda boleh mula ajar anak mengenal warna sebelum dia memasuki pra sekolah. Perkara yang paling asas ialah mulakan dengan apa yang dia lihat setiap hari.

Ia boleh dilakukan dengan menyebut warna perabot, perkakasan rumah, permainan dan buku berilustrasi. Sebenarnya mempelajari warna adalah permulaan yang baik untuk melatih otak anak anda tentang kebolehan berfikir.

Bagi kanak-kanak kecil untuk mengenal warna mereka memerlukan pelbagai maklumat yang mudah dah tepat. Misalnya apabila anda menunjukkan buah epal dan katakan ia berwarna hijau, kemungkinan anak anda akan beranggapan bahawa bentuk epal membawa maksud warna hijau.

Namun anda seharusnya menunjukkan dengan jelas bahawa bukan buah epal sahaja yang berwarna hijau. Sebaliknya warna hijau mungkin pada fabrik kain atau dedaun. Jelaskan juga kepadanya ada banyak warna-warna lain di sekelilingnya kehidupannya sama ada ia di dalam atau di luar rumah.

Dalam hal ini apabila anak-anak sudah boleh mengenal warna, mudah untuk dia melakukan aktiviti mewarna. Peringkat ini, mereka sudah bersedia untuk melakukan aktiviti itu. Sesetengah ibu bapa berpendapat ia hanya aktiviti untuk berseronok dan menghabiskan masa sahaja. Namun mewarna ini membantu kanak-kanak mengenal warna dengan mudah sambil melakukan aktiviti mewarna lukisan. Di sini ada beberapa sebab kenapa kanak-kanak perlu mewarna.


Mengenal Warna
 
Apabila kanak-kanak mula belajar mewarna, ia adalah langkah pertama untuk dia mengenal warna. Apabila dia sudah didedahkan dengan aktiviti mewarna pada awal usianya secara kerap, dia akan mudah mengenali warna dan tahu bagaimana untuk mencampurkan warna untuk mencipta warna baru yang lain.


Luahan
 
Mewarna adalah cara yang menunjukkan dia sudah bersedia untuk meluahkan apa yang dirasakannya. Dia akan menconteng dan melakar pada kertas putih mengikut perasaannya. Jika perasaannya stabil, lakaran warna kemas dan sebaliknya jika perasaannya tidak stabil. Dalam pada masa yang sama, ia boleh dikatakan terapi buat si manja kerana dia akan memilih jenis-jenis warna yang dia suka tanpa dipaksa oleh ibu bapa atau pengasuh.


Membina Kemahiran Motor Halus
 
Mewarna membantu kanak-kanak membina kemahiran motor halus mereka. Kemahiran motor halusnya penting dalam kehidupannya. Apabila melakukan aktiviti mewarna, ia membantu seorang kanak-kanak membangunkan otot-otot tangan mereka dengan cara dengan cara memegang dan mengawal pencil warna dengan betul.


Belajar fokus dan had
 
Mewarna mengajar kanak-kanak belajar tentang fokus sesuatu perkara. Misalnya apabila melukis dia akan memberi tumpuan untuk menghabiskan lukisannya. Malah ia juga membuatkan kanak-kanak belajar tentang had iaitu tidak mewarna di luar garisan yang telah ditetapkan. Kanak-kanak yang berjaya mewarna dengan baik akan merasa bangga dengan hasil kerjanya.


5 Idea Mengajar tentang warna
 
1. Buat agar-agar berwarna.
2. Ajak anak bungkus kertas hadiah yang berwarna.
3. Guna cawan minum berwarna.
4. Biarkan dia bermain dengan kertas warna.
5. Berikan air yang berwarna untuk si manja minum.
6. Ajak dia bersama-sama membuat muffin yang berwarna.
7. Bila mengajar tentang merah, beri dia makan stawberi.
8. Warna coklat, makan coklat.
9. Warna biru,kaitkan dengan lautan.
10. Hijau, makan epal dan timun dan juga tentang alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan.
11. Warna oren, ingat buah oren dan lobak.
12. Buat origami menggunakan kertas warna putih.
13. Masak nasi bersama anak dan katakan ia berwarna putih.
14. Kuning dengan warna lemon juga makan nanas.
15. Hitam dan putih, ceritakan tentang haiwan zebra.


TIP MUDAH

1. Apabila anak anda sudah mengenal warna, suruh dia mengambil beberapa helai baju yang berwarna yang telah dipelajari pada minggu sebelum ini.

2. Setiap minggu, suruh si manja tunjukkan warna yang dipelajarinya dalam majalah.

3. Apabila berada di luar rumah, suruh anak anda cari warna hijau. Biarkan dia mengutip dedaun di padang permainan.

4. Kanak-kanak banyak belajar tentang warna daripada ibu bapanya dan gurunya di tadika.

5. Rumah adalah tempat yang sangat baik untuk anak anda mengenal warna dengan mudah.

Menonton Dalam Gelap

psikologi1
S : Anak saya berumur dua tahun dua bulan gemar menonton rancangan kanak-kanak sama ada di televisyen, telefon bimbit atau komputer. Sebagai ibu bapa kami gembira kerana rancangan tersebut banyak membantu perkembangannya. Dia mesti menonton rancangan-rancangan kegemarannya sebelum tidur sekurang-kurangnya 40 minit sambil berbaring dan lampu bertutup setiap malam. Adakah suasana gelap sambil menonton menerusi telefon bimbit akan merosakkan mata kanak-kanak seusinya dan apa pula kesannya pada pembentukan sahsiah diri?

Faxcy
Labuan

J :
 Sebaik-baiknya doktor mata dapat menjawab soalan ini. Akan tetapi secara logiknya anak mata perlu dibesarkan untuk melihat di dalam gelap kerana ia memerlukan cahaya yang banyak untuk membolehkannya melihat. Sehubungan dengan itu juga otot mata akan merasa stres dan penat kerana melakukan “kerja lebih masa” ini. Ini kerana pada siang hari kita berjaga dan malam kita tidur atau mendapat bantuan cahaya lampu apabila ingin berjaga. Jadi, lebih elok jika menonton televisyen atau telefon bimbit di tempat terang.

Biarkan Anak Bermain

Bermain
Kanak-kanak memang gemar bermain apa sahaja. Jangan asyik melarang anak bermain kerana anda mungkin akan melumpuhkan kreativiti anak anda. Jadi berikan kebebasan si manja untuk bermain asalkan tidak membahayakan keselamatannya.

Pada peringkat setahun hingga tiga tahun, kanak-kanak mulai membina sikap meneroka ke seluruh ruang rumah untuk bermain dengan apa sahaja objek yang mereka temui. Objek-objek seperti kotak, kertas dan botol- botol kecil yang dianggap tidak berguna oleh orang dewasa merupakan suatu alat mainan yang mengasyikkan bagi kanak-kanak.

Apakah Faedah Kanak-kanak Bermain?
Melalui kegiatan bermain kanak-kanak sebenarnya secara tidak langsung telah berupaya mengukuhkan lagi keterampilan, ketangkasan, imaginasi malah mampu pula menganalisis masalah. Proses secara tidak langsung tadi meliputi pelbagai tahap pergerakan seperti meraih, menggenggam, berjalan, memegang, menjulur, menyentuh, menggigit, menjilat dan lain-lain lagi. Proses ini boleh digelar sebagai proses penerokaan melalui lima pancaindera.

Rumah Sebagai Tempat Bermain
“Segalanya bermula dari rumah” adalah ungkapan yang kita dengar untuk menggambarkan bahawa rumah merupakan tempat atau lokasi paling awal dan terbaik untuk mendedahkan kanak-kanak dengan perkara baru. Di rumah anda boleh memberi anak-anak bermain dengan apa sahaja objek selagi ia tidak membahayakan. Periuk, mangkuk plastik dan sudu, anda tentu terperanjat bila mendapati anak anda boleh membuat pelbagai bunyi dengan menggunakan pelbagai alat yang telah anda berikan tadi. Mereka belajar mengangkat sudu dan mengetuk periuk. Secara tidak langsung anak anda belajar mengenal bunyi dan bentuk yang termasuk dalam subjek sains.

Bermain Sebagai Terapi
Bermain sebenarnya boleh dijadikan sebagai pemulihan terapi untuk kanak-kanak. Kanak-kanak yang gemar bermain dengan anak patung atau “soft toy” lazimnya gemar bercakap-cakap, menyikat rambut dan memakaikan baju pada anak patung kesayangannya. Semua proses ini mengajar anak agar lebih yakin dan tenang apabila menghadapi sesuatu masalah. Anak yang tidak gemar bertemu doktor umpamanya boleh diajar bermain doktor-jururawat menggunakan anak patung kesayangan mereka itu. Melalui permainan doktor-jururawat ini mereka diajar memahami tugas-tugas doktor sekali gus menenangkan perasaan dan sebagai suatu pemulihan terapi yang baik untuk mereka

Bermain Sebagai Proses Fizikal
Kanak-kanak dan aktiviti fizikal memang tidak boleh dipisahkan. Selagi kanak-kanak itu tidak terlantar sakit, maka ia akan terus bergerak sehinggalah dia tidur. Kanak-kanak berlari, mengejar. melompat, meniarap, merangkak, memanjat dan melangkah dan semua ini merupakan aktiviti fizikal yang mempertingkatkan stamina dan memperkembangkan otot-otot dan sensori motor mereka.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More