Showing posts with label persekolahan anak. Show all posts
Showing posts with label persekolahan anak. Show all posts

Monday, 14 May 2012

Membantu anak-anak belajar Bahasa Inggeris


Kanak-kanak pada peringkat awal usia sebenarnya mempunyai strategi yang tersendiri (secara semulajadi) untuk belajar bahasa ibundanya dan jika kanak-kanak disuruh belajar bahasa Inggeris dari awal, mereka akan menggunakan strategi yang sama untuk belajar bahasa Inggeris.
Pada peringkat awal usia, kanak-kanak mempunyai masa yang banyak untuk belajar menerusi aktiviti bermain. Mereka ‘menangkap’ sesuatu bahasa dengan cara mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyeronokkan mereka bersama-sama orang yang lebih dewasa. Kebiasaannya, mereka akan mencuba untuk menyesuaikan diri dahulu dengan aktiviti permainan tersebut dan selepas itu baharulah mereka akan memahaminya menerusi bahasa yang didengari daripada orang yang lebih dewasa.
Kanak-kanak pada peringkat awal usia mempunyai masa yang lebih banyak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam program-program hariannya (tidak seperti kanak-kanak yang telah masuk ke alam persekolahan). Kotak pemikiran mereka juga masih belum ‘penuh’ dengan perkara-perkara lain, menjadikan mereka lebih mudah menyerap perkara baru.
Kanak-kanak yang telah belajar bercakap dalama bahasa Inggeris pada peringkat awal usia akan mempunyai sebutan (pronounciation) yang lebih baik di samping dapat menjiwai bahasa Inggeris sebagaimana kita menjiwai bahasa ibunda kita. Jika kanak-kanak dibesarkan dengan hanya satu bahasa sehingga ke peringkat mampu menyedari kesilapan bahasa, keupayaannya untuk menangkap bahasa asing atau bahasa kedua akan hilang dan mereka akan berasakan bahawa perlunya belajar bahasa asing, misalnya bahasa Inggeris dengan betul dan tepat melalui program bahasa Inggeris yang menekankan soal tatabahasa.

Tahap-tahap untuk belajar bahasa Inggeris
Bahasa percakapan datang sebelum pembacaan dan penulisan. Kanak-kanak belajar bahasa percakapan yang biasanya merupakan bahasa ibundanya secara tidak formal di rumah.
1.  Pembelajaran ketika dalam tempoh masa senyap (silent period)

Semasa bayi mula belajar bahasa ibundanya, satu tempoh masa senyap akan dilalui  oleh mereka iaitu sepanjang mereka hanya melihat dan mendengar dan berkomunikasi melalui ekpressi wajah atau bahasa badan sebelum mereka boleh mula bertutur. Apabila kanak-kanak pada awal usia belajar bahasa Inggeris, akan terdapat ‘silent period’ yang sama dalam komunikasi dan pemahaman sebelum mereka mampu untuk menyebut atau menuturkan sebarang perkataan-perkataan bahasa Inggeris.

Dalam tempoh masa ini, ibubapa tidak seharusnya memaksa anak-anak  untuk terlibat atau mengambil bahagian dalam komunikasi atau berdialog. Dialog percakapan seharusnya berlaku di sebelah pihak saja iaitu orang dewasa yang bercakap agar percakapan itu dapat memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menangkap atau belajar bahasa Inggeris yang baharu bagi mereka. Biarkan anak-anak anda menggunakan kemahiran dan strategi tersendiri (strategi semulajadi mereka ketika belajar bahasa ibunda) untuk belajar bahasa Inggeris.
2.  Mulakan bertutur
Selepas beberapa lama, bergantung kepada kekerapan sesi pembelajaran bahasa Inggeris, kanak-kanak akan mula berani menuturkan satu demi satu perkataan bahasa Inggeris (misalnya ‘cat’, ‘house’) atau mungkin sudah bersedia dan mampu membuat ayat pendek (misalnya ‘What’s that?’, ‘It’s my book, ‘I can’t’, ‘That’s a car’) dalam perbualannya.

Pada peringkat ini, kanak-kanak sebenarnya telah dapat mengingati sesuatu perkataan atau ayat dan kemudian ia menyebut dengan sebutan yang diingati olehnya. Mereka mungkin belum tahu lagi sama ada sebutan mereka itu adalah satu perkataan atapun merupakan satu ayat. Keadaan seperti ini akan berterusan untuk satu jangka masa tertentu yang cukup untuk memberi ruang kepada mereka untuk mempelajari lebih banyak perkataan bahasa Inggeris sebelum mereka benar-benar bersedia dan mampu membina ayat mereka sendiri.
3.  Membina keupayaan berbahasa Inggeris
Kanak-kanak membina membina frasa ayat secara berperingkat. Dimulakan dengan cara menghafal perkataan sehingga mereka sendiri menanmbah perkataan daripada kosa kata mereka sendiri (misalnya ‘a cat’, ‘a white cat’, ‘a white and a black dog’) atau daripada satu ayat yang dihafalnya dan kemudian mereka menambahnya (misalnya ‘That’s my chair’, ‘Time to play’).

Bergantung kepada setakat mana pendedahan yang diterima dan pengalaman yang dilalui, kanak-kanak akhirnya akan mampu untuk mencipta dan membina satu ayat penuh yang lebih membawa makna.

4 Tips Memupuk Minat Anak untuk Belajar


Childrens-Day-learn-696
Sesetengah anak “allergic” bila terdengar dari mulut ibubapanya satu perkataan ajaib…(baca perkataan2 ini dengan suara yang menyeramkan)..”BELAJAR“… “BELAJAR“..”BELAJAR” :twisted:
Kenapa boleh jadi macam tu ye? Sedangkan pada hakikatnya, kita tak perlu pun susah-susah nak pupuk minat belajar ke dalam diri anak-anak kita. Kerana, Allah swt dengan sifat rahimNya, telah  pun menghadiahkan sifat SUKA belajar kepada setiap anak-anak yang lahir ke muka bumi ini. ~termasuklah anak-anak kita :)
Tak caya? Ini buktinya…
Pernah tak kita lihat bayi yang sudah pandai merangkak atau berjalan, duduk berdiam diri sahaja tanpa bergerak ke mana-mana?
TIDAK PERNAH, kan…? :)
Apa yang selalu kita lihat, bayi yang sudah merangkak dan berjalan akan merangkak ke seluruh bahagian rumah. Semua kabinet atau laci almari yang boleh dibuka, akan dibuka. Semua tempat yang boleh dipanjat akan dipanjat. Semua kotak yang bertutup akan cuba dibuka. (Sekarang Ahmad cenggini ah…hari-hari saya kena “tambah masa” utk kemas rumah..huhu) Anak-anak kecil ini sedikit pun tidak ada perasaan takut untuk mencuba, kerana perasaan ingin tahu dan SUKA belajar telah mengatasi segalanya :)
Bukti yang lain pula.
Pernah tak kita lihat bayi yang sedang belajar berjalan, kemudian ter-jatuh, dan kemudian tidak mahu bangun semula ? Sambil menundukkan kepalanya, bayi itu berkata, “Saya gagal lagi. Saya rasa, saya tidak akan berjalan sampai bila-bila..”
TIDAK PERNAH, kan? :)
Apa yang kita biasa lihat, bayi yang sedang belajar berjalan akan berdiri, kemudian jatuh..berdiri kemudian jatuh…berdiri kemudian jatuh…dan akhirnya mereka berjaya berdiri, kemudian berjalan dan tidak lama kemudian, berlari. Tidak pernah ada sedikit pun perasaan putus asa. Malah, semakin banyak “jatuh” yang dilalui, semakin tegap perjalanannya.
MasyaAllah! Hebatnya kuasa Allah swt terhadap makhluk kecil bernama bayi. Mereka adalah satu makhluk yang diciptakan oleh Allah swt, yang bersifat sentiasa TERUJA untuk mempelajari apa sahaja. Tetapi…ada sesuatu yang telah terjadi di pertengahan jalan pembesarannya…Bukankuch-kuch hota hai ;-) ..Tapi, ada suatu KESILAPAN telah berlaku dalam proses mendidiknya. Sehingga menyebabkan anak tadi yang asalnya suka untuk belajar, tetapi kini, TAK SUKA belajar. Tak minat belajar. Bosan belajar, dan yang seumpama dengannya.
Semua kesilapan ini bukan datang daripada anak-anak kita. Tetapi, ia berpunca daripada KITA. Ya, manusia yang bergelar ibu dan bapa. Adakalanya, tangan kita atau mulut kita telah “membunuh” sifat suka belajar tersebut.
Saya tidak mahu menyenaraikan kesilapan-kesilapan yang telah pun berlaku. Kerana, yang lepas-lepas tu, biarlah ia berlalu…Marilah kita mulakan hidup baru.. :) Manfaatkanlah tips-tips yang telah Allah swt ilhamkan kepada saya ini, untuk muhasabah diri..perbaiki diri…islahkan diri.. Agar kita sama-sama dapat jadi ibubapa yang lebih baik lagi. InsyaAllah..Ameen :)
TIPS MEMUPUK MINAT ANAK UNTUK BELAJAR

TIP #1: Hapuskan Majlis Kelalaian dalam Rumah Kita
493px-No_Television.svg
Berat mulut saya untuk mengatakan perkara ini, tetapi demi merealisasikan fikir risau Rasulullah saw ke atas ummat ini, maka saya kuatkan tangan untuk menaipnya. Jika kita ingin anak kita suka belajar, rumah kita perlu ada “suasana ILMU”.  Tidak boleh ada suasana panggung wayang atau kelab karaoke dalam rumah kita, kerana suasana-suasana seumpama ini akan “membunuh” suasana ilmu yang ingin kita wujudkan tadi.
Katakan begini. Sekiranya rumah kita berbau busuk kerana ada sampah yang sudah lama tidak dibuang, maka kita pun cuba untuk mewangikan rumah kita dengan pelbagai cara. Kita sembur minyak wangi X, kita pasang aromatherapy X, kita pasang penyembur wangian otomatik X dsb. Tapi dalam masa yang sama, kita tak mahu buang sampah yang busuk tadi. Agak-agaknya lah kan, bau busuk tadi boleh hilang tak?
Tentu TIDAK kan? Kita perlu buang sampah yang busuk tu dulu..Kemudian, barulah sembur minyak wangi dsb. InsyaAllah, selepas itu, barulah rumah kita akan berbau harum dan wangi sepanjang hari :)
Macam tu juga dengan majlis kelalaian. Sekiranya majlis panggung wayang ada di rumah kita, tetapi dalam masa yang sama, kita mahukan suasana ilmu terwujud dalam rumah kita, maka, usaha kita akan menjadi sia-sia. Belilah satu lori buku sekalipun, anak kita tetap tak suka membaca. Kerana …Satu kebaikan dan satu kemungkaran tidak akan duduk dalam satu tempat yang sama. Apabila kemungkaran ada di rumah tersebut, maka kebaikan akan lari. Malaikat akan lari. Rahmat Allah swt akan pergi. Keampunan Allah swt juga akan pergi sekali.
Jadi saranan saya, mulai hari ini, buatlah keputusan untuk menutup TV di rumah kita buat selama-lamanya. Dengan TV, kita tidak dapat mengawal apa yang ditonton oleh anak-anak kita. Kita tidak dapat mengawal masa belajar mereka. Kerana, tarikan TV lebih kuat daripada tarikan buku. Dan natijahnya, kita juga yang susah..Nak suruh anak belajar susah, nak suruh anak solat susah, nak minta tolong anak khidmat pun susah.. Pendek kata, TV menyebabkan anak-anak kita sukar untuk dibentuk mengikut acuan kita. Jadi sekarang, buatlah keputusan..nak didik anak dengan senang, atau jalan yang susah.
Kalau begitu, nak buat apa, kalau anak rasa bosan??
Didik anak-anak kita untuk menggantikan TV dengan membaca Al Quran dan terjemahannya. Gantikan TV dengan zikrullah. Gantikan TV dengan membaca buku-buku. Tunjukkan contoh kepada mereka, inilah caranya untuk kita memanfaatkan masa yang kita ada. Walaubagaimana pun, ibubapa masih lagi boleh menggunakan TV. Tetapi, TOLONG pilihkan dan aturkanlah saluran yang sesuai ditonton oleh anak-anak kita, (seperti memasang DVD pendidikan, bacaan Quran dsb.) InsyaAllah, sedikit demi sedikit Allah swt akan campakkan sifat cinta pada ilmu dan amal kepada anak-anak kita, selagimana kita lakukan ini semua untuk mendapat keredhaan Allah swt.
TIP#2: Menghidupkan Majlis Taa’lim wa Taa’lum di Rumah Kita
Selepas “sampah” dibuang, inilah masanya untuk kita menyembur minyak wangi SUPER POWER dalam rumah kita. ;-) Minyak wangi itu, tak lain tak  bukan ialah..Majlis Taalim wa Taalum (Majlis belajar dan mengajar). Majlis ini akan menarik rahmat ke dalam rumah kita. Majlis ini akan menarik ketenangan dan kebahagiaan ke dalam rumahtangga kita. Majlis ini akan menyebabkan rumah kita bercahaya-cahaya di mata penduduk langit. Majlis ini akan melahirkan anak-anak yang taat perintah ibubapa, isteri yang taat kepad suaminya dan keluarga yang taat pada perintah Allah.
Dengan mewajibkan majlis ini sekurang-kurangnya 30 minit dalam rumah kita, setiap hari, maka InsyaAllah, Allah swt akan tanamkan sifat cinta dan sayang kepada ilmu. Allah swt akan anugerahkan sifat suka belajar dan ingin belajar ilmu. Allah swt akan kurniakan sifat menghargai ilmu dan memuliakan orang-orang yang mempunyai ilmu. Kerana, dalam majlis seumpama inilah, Rasulullah saw telah mengajar sahabat-sahabat baginda saw, sehingga menjadikan mereka menjadi seorang yang alim dan berjaya dunia & akhirat.
Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk menghidupkan majlis taa’lim di rumah, sedangkan saya bukan ustaz atau ustazah?
Bukan ustaz ustazah sahaja boleh mengendalikan majlis ini, orang awam pun boleh mengendalikan majlis ini. Malah, anak-anak juga boleh ditugaskan untuk mengendalikan majlis ini. Ia mudah dan efektif kerana ia adalah sunnah Rasulullah saw :) Yakinlah bahawa, setiap sunnah akan bawa kejayaan kepada diri kita dan keluarga kita :)
Klik pada link di bawah untuk membaca bagaimana mengadakan majlis taklim di rumah:

TIP#3: Sediakan Satu Ruang Khas Untuk Belajar
books-pileSaya masih ingat, bagaimana anak saya, Nabilah, mula “jatuh cinta” dengan buku-buku. Satu hari, Allah swt telah hantarkan satu rak 3 tingkat yang kecil sahaja ke rumah kami. Dengan rak itu, kami telah penuhkan dengan pelbagai jenis buku. Bermula dari situlah, Nabilah mula “bercinta” dengan buku.
Apabila lahirnya Ahmad, Allah swt besarkan rak tadi menjadi rak 6 tingkat setinggi 2 meter. Maka, setiap hari, Ahmad akan menarik keluar buku-buku supaya kami bacakan kepadanya. Apabila saya habis membaca sebuah buku, dia akan ambil buku yang lain daripada rak tersebut. Begitulah seterusnya… (Anak masih excited nak belajar, ibu nya pula udah ke-capek-an ;-)
Anda akan dapat lihat perbezaan pada anak-anak, apabila ada ruang ini di rumah anda. Ruang khas ini tidak semestinya besar. Kecil pun tak apa. Yang penting, ruang ini ada suasana belajar. Usahakanlah, untuk berada di ruang ini bersama anak-anak setiap hari. Duduk sama-sama sambil membaca buku, membuat kerja sekolah, membuat aktiviti seni, bermain sambil belajar, main cikgu-cikgu dan sebagainya. Pastikan suasana yang dibentuk sentiasaHAPPY dan CERIA. InsyaAllah, anak-anak akan kaitkan “kegembiraan” dengan “belajar”. Anak-anak akan berkata, “Waaa…seronoknya belajar!” :)
Proses belajar tidak semestinya berada di dalam rumah, ia turut boleh dilakukan di luar rumah tanpa sebarang buku sekalipun! Anak-anak boleh belajar tentang haiwan di zoo, anak-anak boleh belajar tentang tumbuh-tumbuhan di taman bunga, dan gunakan kesempatan ini untukmengaitkan semua makhluk yang dilihat oleh anak dengan kebesaran Allah swt. Cakapkan kebesaran Allah swt sebanyak-banyaknya pada anak, insyaAllah, akan lahirlah perasaan cinta dan sayang kepada Allah.
TIP#4: Mulakan Pendidikan Anak Seawal Mungkin
Terapkan ilmu kepada anak kita sejak di dalam kandungan lagi. Bagi ibu yang sedang mengandung, selalulah ceritakan kebesaran Allah swt kepada anak yang berada dalam kandungan. Bacakan Al Quran dan buku untuknya, kerana ia akan membentuk sifat dan rohani yang kuat kepada anak yang dikandung.
Bila sahaja anak telah dilahirkan, teruskan usaha yang sama. Baca Al Quran di sebelahnya. Pastikan dia berada dalam majlis taalim walaupun sedang tidur. Ceritakan kisah-kisah Nabi dan para sahabat sebelum tidur. Bacakan buku untuknya setiap hari. InsyaAllah, dengan usaha ini, sifat suka belajar yang telah ada dalam diri anak-anak akan terus berkembang pesat. Apabila tabiat berdamping dengan ilmu sudah dibiasakan sejak dari kecil lagi, maka InsyaAllah, ia akan sebati dengan jiwanya sampailah anak kita dewasa nanti.
Sekiranya anak anda telah pun membesar, insyaAllah, masih ada peluang lagi untuk anda memupuk minatnya untuk belajar. Tanya padanya apakah kemahiran yang dia suka, atau bidang yang diminatinya, dan letakkan usaha untuk merangsang anak-anak untuk belajar dalam perkara yang diminatinya (walaupun subjek itu tidak terdapat di sekolah). Kerana akan sampai satu ketika, apabila telah dia melihat sokongan dan dorongan ibubapanya untuk dia belajar, maka dia akan meminati apa sahaja cabang ilmu yang bermanfaat untuk dirinya.
Pokoknya, kesemua usaha yang kita lakukan ini hanyalah usaha semata-mata. Tiada yang dapat merealisasikan hasilnya melainkan Allah swt. Berdoalah lagi dan lagi, setiap hari, agar kita dan anak-anak kita akan diberikan oleh Allah swt dengan hakikat ilmu yang sebenar. Aameen :)
p.s: Sekadar berkongsi. Pada minggu lepas, saya terjumpa sebuah laman web yang menawarkanbahan bantu untuk ibubapa mengajar anak-anak membaca seawal usia 3 bulan. Sampai ke saat saya menulis artikel ini, saya telah menggunakan trial version bahan bantu ini, selama 5 hari, kepada anak-anak saya Nabilah (4 tahun 11bulan) dan Ahmad (1 tahun 1 bulan). Kedua-dua anak saya cukup gembira menonton bahan bantu mengajar tersebut.
Nabilah dengan excited nya akan menyebut setiap perkataan walaupun tidak disuruh. Ahmad pula akan merengek setiap kali sesi pembelajaran tamat, kerana dia mahu menontonnya lagi dan lagi. Setiap kali Ahmad melihat perkataan “laugh”, dia sudah tersenyum lebar sambil ketawa. (Seolah-olah dia sudah boleh membaca perkataan tersebu

Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?


Semua ibu bapa mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka.  Orang biasanya tidak tanya berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang diperolehi anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM.  Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi tajuk perbualan dikalangan jiran tetangga, sanak saudara dan rakan sejawat.  Tekanan inilah yang menyebabkan ramai ibu bapa cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.  Yang mampu, sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh guru-guru pakar.  Tekanan yang diterima dari masyarakat ini membuatkan ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya cemerlang. 

Sebelum kita menekan anak-anak cuba semak diri kita dahulu.  Adakah kita telah memainkan peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan kecemerlangan tersebut? 
Berikut adalah perkara yang perlu diteliti dan dipraktikkan:

Menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan, tempat belajar dll.
Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa.  Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi kita tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah rendah.  Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh membuatkan seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan serta minat belajar.  Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan anak memberi alasan untuk tidak belajar dan sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan guru.  Pakaian atau beg koyak boleh membuatkan anak malu dengan rakan-rakan dan tidak gembira untuk ke sekolah.  Oleh itu sebagai ibu bapa, tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini sentiasa, bukan sekadar diawal tahun sahaja.

Sediakan satu bilik atau satu ruangan untuk anak-anak belajar di rumah.  Pastikan ruangan ini selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan.  Pastikan juga cahaya mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke semasa bagi mengekalkan motivasi diri anak dan mood belajar mereka.

Tidak ragu-ragu untuk disiplinkan anak
Pelajar cemerlang adalah pelajar yang berdisiplin.  Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik, pengurusan masa, pengurusan diri serta tingkah laku mereka.  Galakkan anak-anak mengemas biliknya sendiri meskipun ada pembantu rumah yang boleh melakukannya.  Pupuk sifat bertanggung jawab dan berdikari dalam diri anak.  Duduk dengan anak dan bicangkan jadual harian mereka.  Terangkan pada anak-anak betapa pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar, beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan sebagainya.  Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab anak-anak bukannya robot yang boleh menepati waktu setiap hari.  Anak cemerlang adalah mereka yang ada peraturan sama ada di rumah atau di luar.  Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka. 

Mengawasi dan menemani anak
Ibu bapa boleh meningkatkan komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan menemani anak ketika waktu belajar mereka.  Untuk anak-anak peringkat sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan apabila anak-anak mula meningkat ke sekolah menengah secara beransur-ansur ibu bapa biarkan anak-anak berdikari.  Dengan cara ini tabiat belajar dalam masa yang ditetapkan menjadi kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta kemahuan mereka.

Sabar dalam mengajar
Mengajar anak sendiri memerlukan kesabaran yang tinggi.  Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar anak-anak dalam pelajaran mereka.  Mereka geram kerana anak-anak mungkin tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan sebagainya.  Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka tidak mungkin seperti kita.  Lagi dimarah lagi tertutup minda dan buntu fikiran mereka.  Mereka akan lebih takut untuk buat salah lalu tidak mahu mencuba.  Kalau mampu, ajarlah anak-anak strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori dan sebagainya.  Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan diri mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran adalah kunci segalanya.

Selalu berbincang dengan guru kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah
Kenali siapa guru anak-anak kita dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan mereka.  Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya dan sebagainya.  Apabila berpeluang tawarkan diri untuk melibatkan diri dalam PIBG dan aktiviti sekolah.  Dengan cara ini guru-guru tahu siapa kita dan mereka juga akan berikan perhatian yang lebih baik kepada anak-anak kita.  Malah kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan meningkatkan ‘self-esteem’ mereka.  Anak-anak juga akan lebih menjaga disiplin serta pelajaran mereka kerana mereka sedar bahawa perkembangan diri mereka cepat dimaklumkan oleh guru kepada ibu bapa.  Komitmen anak-anak secara langsung akan meningkat terhadap pelajaran mereka.

Ikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah
Jangan tunggu hingga anak bawa pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak.  Kerana ketika itu sudah agak terlambat untuk bertindak.  Ibu bapa hendaklah mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa.  Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada.  Cari penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal mungkin.  Kalau anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah mereka ke kelas-kelas tuisyen untuk subjek-subjek tertentu yang mereka perlu dibantu.  Kalau anak-anak lemah dari segi sahsiah maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk motivasi.  Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal dalam pelajaran mereka.  Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada kebolehan dan masa depan.  Pemikiran yang salah sebegini akan membuatkan mereka hilang minat dan malas untuk berusaha.  Akhirnya, mereka fikir buat apa belajar kalau sudah tahu diri akan gagal.  Mereka mulalah terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial. 

Kenali rakan-rakan anak dan ibu bapa mereka
Rakan-rakan adalah orang penting kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti serta imej mereka.  Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka bermasalahlah nanti.  Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli sesuatu yang mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya.  Simpan nombor telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa mereka.  Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu bapa agar semuanya dapat ambil berat akan perkembangan anak-anak.  Ia memudahkan kita menasihati bukan sahaja anak kita tetapi juga rakan-rakan mereka kelak.  Begitu juga dengan ibu bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu untuk menegur dan menasihati anak kita.  Dengan cara ini anak kita dan rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran hanya kerana utamakan pergaulan.

Sentiasa mengintai peluang yang boleh memajukan anak
Dalam kehidupan kita seharian terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka.  Ibu bapa cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan untuk kebaikan anak-anak.  Kecemerlangan anak-anak dalam bidang yang tiada kaitan dalam pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum, sukan, persatuan dan sebagainya boleh menjadi perangsang untuk mereka cemerlang dalam bidang pelajaran. 

Disamping itu, program-program seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh menjadi faktor yang meningkatkan lagi pelajaran mereka.  Ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah megikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan.  Ada diantara anak-anak mendapat lonjakan markah yang cukup ketara setelah mendapat bimbingan dan motivasi.

Jadikan budaya membaca sebagai suatu amalan
Masyarakat Malaysia terkenal sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila bahan bacaan tersebut berbentuk ilmiah.  Penyakit ini menular dari generasi ke generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang tidak mantap ilmunya.  Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam budaya membaca bermula di rumah.  Adakan masa tertentu untuk membaca seisi keluarga.  Bawa anak-anak ke perpustakaan dan ke kedai-kedai buku.  Minat membaca bermula dari ibu bapa sendiri.  Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat membaca ini maka usah letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak semata-mata.  Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak.

Memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anak dan hormati waktu belajar mereka
Adalah tidak adil apabila anak yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan dan emosi mereka.  Misalnya, anak-anak yang bersekolah disuruh masuk bilik dan belajar sedangkan ibu bapa asyik menonton televisyen, abang berinternet, kakak bergayut di telefon, adik kecil bising dengan mainannya.  Semua ini memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu belajar.  Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari keluarga.  Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu belajar maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti keilmuan.  Ahli keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk membaca akhbar, majalah, buku dan sebagainya.  Kalau berinternet sekalipun, pastikan masa itu digunakan untuk mencari maklumat bukan untuk berhibur.  Adik kecil boleh gunakan masa tersebut untuk melukis dan mewarna.  Malah, ibu bapa boleh gunakan masa belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu.  Dengan cara begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat mereka berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya. 

Meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak
Tidak ada ibu bapa yang tidak mahu lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita.  Namun begitu, ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian anak-anak mereka.  Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu tinggi hingga anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka mereka mula rasa tertekan.  Anak-anak mudah rasakan diri mereka tidak berguna apabila gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa dan murung.  Keadaan bertambah parah apabila ibu bapa mula marah-marah setiap kali anak-anak gagal mendapat markah yang baik.  Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam mula dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar tuisyen”, “hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah memang dasar anak pemalas!” dan macam-macam lagi.  Cuba renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan dan puaskan perasaan kita dengan cara begitu.  Adakah ia menjadikan anak kita lebih bijak?  Pastinya tidak.  Adakah ia akan mengubah cara anak kita belajar? Mungkin juga tidak.  Ia hanya akan melukakan lagi hati anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka.  Oleh itu, bincanglah dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu mereka untuk capai matlamat tersebut.  Inilah yang terbaik sebab anak-anak merasakan sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa.

Tidak merendah-rendahkan kebolehan anak di hadapan orang lain
Manusia mudah percaya apa yang dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu mempunyai pengaruh atas dirinya.  Begitulah juga anak kita.  Kerap kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya tanpa berselindung lagi mereka terus menceritakan keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan anak kepada saya di depan anak-anak mereka.  Misalnya, “anak saya ni malaslah”. “Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi.  Wajah anak tiba-tiba berubah.  Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah diri, kecewa, marah dan sebagainya.  Lebih buruk lagi mereka percaya itulah mereka dan tiada apa yang boleh dibuat sebab mereka telah dilahirkan begitu.  Akibatnya, anak tidak akan bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan kekalkan sikap tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka percaya itulah diri mereka yang sebenar. 

Kesilapan sebegini dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa mereka sedari.  Jadi mulai hari ini, kalau mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran mereka.  Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus lebih kepada kelebihan mereka.  Sekiranya ada kelemahan dan keburukan yang mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan nasihatlah secara baik.  Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal peribadi mereka, tegurlah secara individu tanpa kehadiran sesiapa termasuk adik beradik yang lain.  Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas, buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara terang-terangan untuk memberi pengajaran kepada yang lain.  Tegur perbuatannya bukan orangnya.

Tidak membanding-bandingkan kebolehan
Ibu bapa perlu ingat bahawa kemampuan anak-anak adalah berbeza.  Tidak semua boleh berjaya dalam bidang akademik.  Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai melukis, bijak bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir bertukang, dan sebagainya.  Oleh itu kenapa mesti dibandingkan pencapaian mereka?  Kalau adik dibandingkan dengan kakak dan abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa tidak cukup sayangkan mereka.  Kalau perbandingan dibuat dengan rakan-rakan, mereka akan rasa rendah diri pula.  Oleh itu, membandingkan anak tidak membantu kecemerlangan mereka.  Adakah ini bermakna kita tidak boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada anak-anak?  Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan.  Ibu bapa, lazimnya, menyebut kelebihan dan kejayaan orang lain kepada anak-anak hanya apabila marah, geram dan kecewa dengan tindakan dan tingkahlaku mereka.  Lain pada masa itu, kita lupa dan tidak ambil kisah.  Sebab itulah anak-anak menolak cara ibu bapa ini.  Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak, jangan sama sekali dibandingkan dengan sesiapa.  Cukup sekadar menegur dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka.  Waktu lain, ketika tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka berceritalah tentang kejayaan orang lain serta bagaimana mereka capai kejayaan tersebut untuk anak jadikan panduan dan tauladan.  Saat sebegini adalah lebih mudah untuk anak menerimanya kerana mereka lebih terbuka.

Ganjari bukan sahaja hasilnya tapi juga usahanya
Manusia hanya berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan hasilnya.  Sekiranya ibu bapa faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa, putus asa dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam UPSR atau 8A dalam PMR.  Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang apa keputusan yang bakal diperolehi sebab itu urusan tuhan.  Yang perlu dibimbangkan adalah usaha anak.  Dorong anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan.  Nyatakan dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan bukan perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah berusaha bersungguh-sungguh.  Sebagai bukti, kita berikan ganjaran terhadap usahanya dan bukan sekadar hasilnya.  Misalnya, kita berjanji untuk berikan ganjaran tertentu sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka.  Namun begitu, sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar dapat 4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau amaun yang berbeza.  Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak kalau dia dapat 8A dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50 ringgit.  Sebaliknya kalau dia tidak dapat 8A, kita tetap berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma dapat RM30 sahaja.

Sentiasa doakan kejayaan anak
Doakanlah kejayaan anak-anak sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan sahaja.  Doa ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul.  Elakkan dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak kerana kata-kata kita itu merupakan satu doa.  Doakan anak kita setiap kali kita teringatkan mereka.  Misalnya ketika kita sibuk dipejabat tiba-tiba terdetik di hati apa agaknya anak sedang buat di rumah?  Ketika itu terus berdoa dalam hati dan insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul nanti.  Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya terdengar doa ibu.  Saya datang dari keluarga yang miskin dan  dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.  Ibu saya biasanya turun awal pagi untuk mencari nafkah dan pulang lewat petang dan ada ketikanya malam.  Satu ketika, sedang saya tidur-tidur ayam terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku mempunyai tiga anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah aku salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga ini.”  Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya tuhanku.. biarlah salah seorang dari penyelamat keluarga itu adalah aku”.  Kemana sahaja saya pergi dan apa sahaja saya lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa ibu itu.  Ia menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan dalam hidup saya.  Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka doalah dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka.  Seelok-eloknya ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan doa kita untuk mereka itu.

Jaga Sumber Makanan
Kita adalah apa yang kita makan.  Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat dan bersih untuk anak-anak kita.  Makanan akan menjadi darah daging mereka.  Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak yang bermasalah, gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya.  Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara sepenting ini.  Mulai hari semaklah sumber pendapatan kita dan pastikan ia diredhai dan diberkati Allah s.w.t.

Tidak berputus asa dalam mengharap rahmat dan pertolongan Allah.
Anak-anak adalah amanah Allah dan ujian untuk kita.  Oleh itu tidak perlu kita berputus asa apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha untuk melihat mereka cemerlang.  Kalau satu usaha tidak berjaya carilah usaha yang lain.  Kalau satu pendekatan tidak berkesan maka ubahlah kepada pendekatan yang lain.  Tidak ada satu cara yang tepat dalam membantu anak-anak ke arah kecemerlangan.  Lain anak lain kemahuannya, lain penerimaanya dan lain kebolehannya.  Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan sehingga kita dapat kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak kita.  Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula kedekut untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak ke program-program motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan sebagainya.  Selagi hayat dikandung badan jangan sesekali berputus asa dalam mengharap rahmat Allah.  Apa juga yang datang ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri serta ujian dari Allah untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa.

Perlu diingat, anak-anak perlu seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah dan kerohanian.  Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya.  Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membangunkan emosi, sahsiah dan rohani mereka.  Kalau kita malu apabila anak-anak gagal dalam pelajaran maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak solat, kurang adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. 
SEKIAN.

Tips Memotivasi Anak Belajar


02JAN
 Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memotivasi anak belajar.
1. Penetapan matlamat. Sekiranya anak-anak mempunyai cita-cita yang tinggi dan jelas, mereka akan mempunyai semangat belajar yang tinggi berbanding dengan anak-anak yang kabur tentang cita-cita dan matlamat hidup. Bantu mereka untuk menentukan matlamat dan cita-cita, perkukuhkan dari semasa ke semasa.
2. Menyediakan tempat belajar yang mempunyai persekitaran belajar yang sesuai untuk pembelajaran. Tidak semestinya bilik khas yang mewah, meja makan juga boleh dimanfaatkan sebagai meja belajar. Yang penting cukup cahaya, pengudaraan yang baik, jauhkan daripada kebisingan, tv, video games dan seumpamanya ketika belajar.
3. Menetapkan masa, dan belajar bersama. Ibu bapa perlu berbincang dan menetapkan masa belajar anak. Peruntukkan masa belajar bersama anak-anak bagi mendorong semangat belajar.
4. Menghargai usaha anak. Memuji pencapaian dan bukan hanya memuji kemampuan otak. Kadang-kadang kepintaran anak tak seberapa menyerlah, oleh itu dengan memuji usaha yang dilakukan akan meningkatkan prestasi mereka untuk pencapaian yang seterusnya. Contohnya “Tahniah kerana Farid telah berusaha menulis dengan kemas sekali”… ini adalah kata-kata pengukuhan untuk mengekalkan tabiat baik anak tersebut.
5. Gunakan perkara-perkara kesukaan mereka untuk mendorong diri mereka belajar. Katakan mereka suka bermain games, beri peluang mereka bermain games minda setelah selesai 1-2 jam belajar. Sekiranya mereka suka sesuatu barang permainan, hadiahkan permainan tersebut setelah mereka dapat menunjukkan sesuatu pencapaian yang memuaskan atau menunjukkan prestasi yang baik.
6. Tidur dan rehat yang mencukupi. Nampak macam remeh, tetapi tidur yang cukup juga mampu meningkatkan motivasi anak belajar serta bersedia menghadapi pembelajaran keesokan harinya……
Demikianlah beberapa langkah mudah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mendorong anak belajar … Semoga ianya dapat dipraktikkan.

Tips Penyediaan ke Musim Persekolahan


Musim sekolah yang baru bakal tiba dan setiap kelurga pasti akan menghadapi pelbagai cabaran baru rutin harian. Bunyi jam loceng, kerja sekolah dan rumah, sukan, aktiviti dan cuti persekolahan dan pelbagai acara akan mula menonjolkan diri dan menjerit meminta perhatian.
Untuk mengelakkan kecelaruan, omaQ.org ingin berkongsi idea untuk menjadikan tahun 2012 tahun persekolahan yang paling seronok! Jom kita cuba idea ni:
1. Biasakan keluarga dengan jadual baru
Minggu ketiga bulan Disember ini, bolehlah mulakan setiap hari seolah-olah sudah mula persekolahan. Tidur awal dan bangun awal. Mulalah juga membuat pelan menu untuk Januari dengan mencuba menu yang mereka mungkin akan suka dan terus letak dalam pelan menu anda.

2. Kalender untuk semua

Letakkan satu kalender di lokasi yang selalu di lihat ahli keluarga contohnya di tempat telefon atau pintu luar peti sejuk. Buat aktiviti seperti dalm entri kami sebelum ini untuk isikan tarikh-tarikh penting untuk semua ahli keluarga. Nanti bila sudah mula sekolah, semua boleh isi aktiviti tambahan mengikut jadual baru. Mungkin setiap ahli keluarga boleh pilih satu warna supaya senang untuk mudah dikenal pasti siapa yang terlibat dalam aktiviti pada hari itu. Boleh juga tulis menu harian nanti!

3. Buat perancangan sebelum membeli

Sebelum membeli, buat inventori apa yang ada dan tiada untuk memeulakan persekolahan, kemudian buat senarai barangan yang diperlukan bagi semua anak-anak yang akan ke sekolah. Sekiranya berkemampuan, beli awal untuk elakkan kesesakan di kedai dan kehabisan saiz.

4. Simpan semua dokumen penting

Pastikan semua dokem penting seperti kad pengenalan ibu bapa, sijil lahir, gambar bersaiz paspot/IC, kad prestasi dan surat menyurat berkenaan persekolah di tempatkan dalam satu fail. Buat salinan bagi persedian sekiranya diperlukan nanti. Anda juga boleh menelefon sekolah untuk memastikan apa dokumen yang diperlukan.

5. Kurangkan stress waktu pagi
Bagaimanakah keadaan setiap apgi dirumah anda? Kusut atau ceria? Buat persedian awal untuk mengelakkan kelam-kabut sebelum ke tempat kerja dan sekolah anak-anak.
Pada sebelah malam, pastikan bahan-bahan sarapan berada ditempat yang mudah diambil, sediakan baju dan isi beg dengan segala keperluan.
6. Buat percubaan
Mungkin bunyi dan nampak remeh dan kelakar, tapi apa kata cuba buat ‘trial and error’ bagi cara dan masa yang akan diambil untuk anak ke sekolah. Pastikan dimana van/bas sekolah akan mengambil anak dan pada jam berapa. Sekiranya ‘car-pool’ pastikan jadualnya. Jangan lupa ambil nombor telefon yang penting!
7. Kemaskini sistem di rumah anda
Tahun baru persekolahan akan mempercepatkan tempo setiap keluarga. Jom kitabuat kemaskini dirumah untuk memamstikan semuanya akan dipermudahkan menjelang Januari nanti.
Kemas rumah
Pastikan rumah anda boleh dikemas setiap hari dalam masa 15 minit. Walaupun tidak ‘tip-top’ , memadai ia adalah sentiasa sedia untuk tetamu.

Jimat masa di dapur

Buat pelan menu untuk mengelakkan soalan cepumas ‘malam ni makan apa ya?’ Anda juga boleh cuba memasak dan membekukan makanan.
Kemaskini semua kertas/surat/dokumen
Seperti saranan awal tadi, mulalah untuk membuat sistem fail di rumah anda. Ini akan memudahakan anda kelak dan mengurangkan stress anda.
Masa untuk bersedia untuk tahun persekolahan akan tiba. Jom pastikan ia bebas kelam kabut!

Anak Dan Sekolah



Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh
PELAJAR_BARU
Salam tahun baru untuk semua . Hari ini sudah masuk masuk hari kedua sesi persekolahan dibuka. Alhamdulillah kita lihat ramai sekali ayah ibu yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Terutama anak-anak yang mula memasuki sesi pembelajaran 2009 ini. Bagi sesetengah anak-anak, sesi persekolahan menjadikan mereka satu pengalaman yang begitu menakutkan kerana berjumpa dengan ramai orang yang mereka tidak kenali, ditinggalkan ibu bapa di sekolah dan sebagainya.
Namun bagi sesetengah anak-anak, mereka sememangnya menantikan saat menikmati persekolahan, terutama ketika kali pertama menjejakkan kaki mereka ke kawasan sekolah. Tidak kira sama ada masuk ke Tahun 1 atau pun prasekolah. Tetapi satu persoalan yang timbul mengapa anak-anak ini takut untuk ke sekolah?
Sebenarnya masalah begini bukanlah satu masalah yang serius. Jika diteliti, cara pendidikan awal ibu bapa terhadap anak-anak akan memberikan impak yang besar ketika anak-anak ingin memulakan langkah mereka di alam persekolahan. Teknik bersosial kepada anak-anak perlu dilatih ketika mereka dalam usia masih kecil. Ini akan memberikan pendedahan kepada mereka bagaimana menyesuaikan diri dengan ramai orang dan juga situasi yang dialaminya.
Amat jauh bezanya anak-anak ini jika mereka dilatih dengan cara bersosial sejak dari kecil. Mereka lebih positif apabila menghadapi situasi sebegini. Bahkan mereka tidak akan kekok untuk membina hubungan dan mencari kawan sesama mereka. Mereka pandai menyesuaikan diri dengan kanak-kanak sebaya mereka. Tetapi sekiranya dari kecil mereka tiada pendedahan ini, anak-anak akan memberikan gambaran yang negatif walaupun hakikatnya zaman persekolahan begitu menyeronokkan. Perkara sebegini hanya perlu disedari oleh ibu bapa ketika di awal usia mereka agar mereka lebih bersedia untuk menerima pengalaman baru dalam kehidupan mereka.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More