Showing posts with label kemahiran keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label kemahiran keibubapaan. Show all posts

Thursday, 10 May 2012

Disiplin pelajar makin serius?




Dalam sebuah kelas, beberapa pelajar sedang dihukum kerana melanggar disiplin. Malangnya hanya dua yang mendengar, yang lain tidak mengendahkan dan menyimpan hasrat membalas dendam kerana didenda.
Natijahnya, guru berkenaan menerima berita buruk, keretanya dibakar selain menerima ugutan yang mengancam nyawa dan keluarga.
Kisah di atas menunjukkan betapa gawat masalah disiplin di kalangan pelajar di kebanyakan institusi pendidikan di negara maju.
Walaupun dikatakan hebat dalam pelbagai aspek, hakikatnya mereka masih gagal menangani masalah dalaman serta emosi yang melanda generasi muda di sekolah.

Meskipun melakukan pelbagai kempen, ceramah serta proses pembaikan diri menerusi kelas praktikal, mereka masih gagal menangani sebahagian besar pelajar bermasalah.
Lebih buruk lagi, apabila ada segelintir masyarakat seolah-olah menyokong tindakan pelajar terbabit dengan alasan, terlalu banyak kongkongan dan larangan diberikan kepada mereka.
Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas kebanyakan masyarakat. Mereka kesal ada pihak cuba membela pelajar terbabit sedangkan masalah disiplin wajar ditangani segera supaya tidak merosakkan keseluruhan institusi persekolahan serta masa depan.
Pertikaian dua golongan ini terus mencetuskan dilema dan perang mulut selain memeningkan pakar kaji selidik pendidikan yang ditugaskan mencari resolusi terbaik menangani isu berkenaan.
Mereka bukan saja mahu mencari mekanisme bagi menghentikan konflik dua kelompok ini tapi membantu pelajar bermasalah agar tidak terus bermasalah.
Perunding psikologi, Kendra Van Wagner, berkata masalah disiplin pelajar adalah normal di semua institusi pendidikan di seluruh dunia serta dianggap satu proses pembelajaran.
Bagaimanapun, jika ia membabitkan soal keselamatan atau ancaman kepada orang lain, ia bukan lagi normal, malah perlu ditangani segera.
“Masalah disiplin bukanlah sesuatu yang ganjil bagi semua institusi pendidikan. Dengan jumlah pelajar yang ramai, mustahil tiada di kalangan mereka yang tidak akan mencetuskan masalah.
“Bagaimanapun, perlu dilihat masalah apa ditimbulkan. Jika sudah melebihi batas, tindakan sewajarnya mesti diambil bagi mencegahnya lebih buruk.
“Pada tahap ini, soal keselamatan adalah keutamaan utama dan kompromi hanya boleh dilakukan jika mereka mahu mengikut kata atau tindakan yang sudah ditetapkan,” katanya.
Isu disiplin pelajar adalah antara cabaran baru masyarakat di negara maju.
Tambah menakutkan lagi, apabila pelajar bermasalah ini jika tidak diberi rawatan segera boleh meragut nyawa individu tidak bersalah melalui tindakan luar dugaan seperti tembakan rambang di sekolah.
Emosi tidak stabil pelajar boleh dilihat, justeru guru mahupun institusi pendidikan perlu peka terhadap perubahan supaya langkah berjaga-jaga boleh diambil.
Menurut Wagner, kebanyakan pelajar bermasalah selalunya bersikap sambil lewa, memberontak, tidak mengendahkan amaran, mengasingkan diri atau melawan.
Mereka juga dikatakan tidak mesra dengan ibu bapa selain menghabiskan masa dengan menonton filem aksi ganas mahupun berpeleseran.
Menurutnya, jika pelajar sudah menunjukkan perubahan ketara, ibu bapa wajar melaporkan kepada pihak berkuasa atau sekolah, bukan berdiam diri.
“Pemantauan awal menerusi kaedah perubatan atau psikologi boleh memperbaiki semula emosi pelajar.
Beliau mengakui institusi pendidikan dan guru kini menghadapi tugas mencabar kerana bukan saja bertanggungjawab mendidik, malah terpaksa membuka mata memantau tindak- tanduk pelajar.
“Semua pihak mengambil pendekatan saling menyokong serta mencari jalan bagaimana membantu pelajar ini.
“Sudah tentu kita tidak mahu tragedi demi tragedi berlaku. Menyelamatkan mereka dengan pantas boleh menyelamatkan keadaan.
“Institusi sekolah adalah tempat untuk melahirkan bakal pemimpin, bukan pencetus huru-hara,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kerancakan pelbagai pihak mencari jalan ‘mengubati’ pelajar bermasalah, ada pihak kurang bersetuju dengan alasan diskriminasi.
Penyelidik bebas psikologi remaja dan kanak- kanak, Gail McHugh, berkata jika pelajar tidak diberikan sedikit kebebasan melakukan tuntutan hati, mereka akan menjadi golongan pasif.
Menurutnya, tindakan segelintir guru atau pengurusan sekolah yang suka memberi tekanan serta tidak menghormati hak serta emosi pelajar adalah faktor mereka menimbulkan masalah.
“Menjadi guru atau pentadbir sekolah bukan bermakna anda boleh menggunakan kuasa sesuka hati untuk menghukum. Ada kalanya kesalahan dilakukan kecil tapi diperbesarkan.
“Ia bukan saja menjatuhkan maruah tapi juga menimbulkan rasa tidak puas hati. Malah saya berpendapat, tindakan menghukum ini ada kalanya tidak adil.
“Ketiadaan pihak yang mahu mempercayai atau memberi peluang menyebabkan pelajar ini lebih suka mengambil tindakan fizikal bagi melunaskan rasa sakit hati,” katanya.
Susunan Ruhaiza Rusmin


Saturday, 28 January 2012

mengeluarkan tahi telinga


WAJARKAH tahi telinga dikorek atau dikeluarkan pada setiap minggu?
Mungkin ada antara anda yang akan mengorek telinga anak hampir setiap minggu semata-mata untuk mengeluarkan tahi telinga dan memastikan telinga anak anda sentiasa bersih.
Bagaimanapun, sedarkah anda bahawa perbuatan mengorek telinga itu boleh menjejaskan kesihatan telinga dan dikhuatiri boleh memudaratkan pendengaran?
Tidak kiralah sama ada anda menggunakan putik kapas, pengorek telinga diperbuat daripada besi, pin, kunci kereta atau apa saja bahan untuk mengorek atau mengeluarkan tahi telinga, hakikatnya, perbuatan mengorek telinga memang tidak perlu dilakukan. Ini kerana, tahi telinga mampu bertindak sebagai pelindung sama ada terhadap serangga mahupun debu kotoran.
cotton bud
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Dr Aminuddin Saim, berkata dalam keadaan normal, tahi telinga akan keluar sedikit demi sedikit kerana lapisan kulit telinga mempunyai mekanisme yang akan mengeluarkannya secara berterusan. Justeru, beliau berkata, anda tidak perlu mengorek telinga atau mengeluarkan tahi telinga dengan bahan yang sering kali digunakan untuk tujuan itu.
“Apabila tahi telinga itu sudah terkeluar dan terlihat, anda boleh membersihkannya tetapi jangan pula mengorek telinga dalam-dalam kerana ini boleh menjejaskan kesihatan telinga anak anda,” katanya ketika ditemui, di ibu negara, baru-baru ini.
Dr Aminuddin berkata, korek telinga bukan saja tidak perlu dilakukan di kalangan kanak-kanak, malah setiap individu tidak sepatutnya mengorek telinga. Beliau berkata, lazimnya, ibu bapa menggunakan putik kapas untuk mengorek telinga anak-anak mereka tetapi bahan itu boleh menyebabkan tahi telinga semakin terbenam, melecet atau luka pada kulit telinga dan putik kapas tertinggal di dalam telinga.
Katanya, ada juga yang mengorek telinga dengan pengorek telinga diperbuat daripada besi dan ini lebih berbahaya kerana ia boleh menyebabkan luka dan dikhuatiri boleh tertembus pada gegendang telinga dan seterusnya memudaratkan pendengaran.
“Mengorek telinga memang boleh menyebabkan seseorang menjadi khayal kerana telinga mempunyai banyak saraf dan ia begitu sensitif. Justeru, mengorek telinga kadangkala menjadi amalan atau tabiat seseorang.
“Sebaik-baiknya hentikan amalan itu kerana dikhuatiri boleh menjejas atau memudaratkan kesihatan telinga, terutama gegendang telinga”, katanya.
Dr Aminuddin berkata, tahi telinga ialah satu bahan di dalam telinga yang terdiri daripada serumen (lilin telinga) iaitu kelenjar yang dikeluarkan oleh telinga. Katanya, hasil campuran keretin, debu, kotoran, lelemak dan bulu telinga akan membentuk tahi telinga.
Dr Aminuddin berkata, tahi telinga boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu keras dan lembut dan
sebahagian besar masyarakat Asia mempunyai tahi telinga jenis keras. “Keras atau lembut tahi telinga bergantung kepada faktor genetik dan lelemak yang terkandung di dalam tahi telinga,” katanya.
Beliau berkata, tahi telinga bertindak sebagai pelindung kepada telinga anda kerana lendir atau
cecair yang terkandung di dalamnya boleh menyebabkan debu terlekat, kesukaran dimasuki serangga dan mengelakkan jangkitan serangga.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak mengorek telinga anak mereka dengan apa juga bahan kerana bimbang ia boleh menyebabkan luka dan kurang ketahanan untuk bertindak sebagai pelindung.
“Telinga yang terluka akan mudah ditumbuhi dan dijangkiti kulat serta bakteria. Selain itu, amalan mengorek telinga juga dikhuatiri boleh menyebabkan kerosakan pada gegendang telinga,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Aminuddin berkata, ada segelintir individu yang mengalami masalah tahi telinga tidak terkeluar dengan sendiri dan keadaan ini dikenali sebagai keratosis obsturans. Katanya, mereka yang mengalami masalah ini perlu berkunjung ke hospital untuk membolehkan pakar telinga, hidung dan tekak mengeluarkan tahi telinga.Lazimnya, telinga pesakit akan dimasukkan ubat titik atau minyak zaitun bagi membolehkan doktor menggunakan sejenis alat bagi menyedut tahi telinga mereka.
Kanak-kanak yang mengalami masalah itu selalunya akan berasa tidak selesa dan kurang mendengar kerana tahi telinga mereka keras dan tidak terkeluar sebagaimana dalam keadaan normal. “Bagaimanapun, keadaan seumpama itu amat jarang berlaku kerana lazimnya, tahi telinga akan terkeluar dengan sendiri,” katanya.

emosi kanak-kanak tak sama


Ibu bapa perlu membimbing, fahami perasaan anak ketika usia semakin meningkat supaya pemikiran tidak terganggu
Kehadiran anak dalam sebuah perkahwinan memberikan makna besar kepada insan bergelar ibu dan bapa. Permata hati disambut riang gembira. Saban hari bertukar ganti, daripada telapak kaki sebesar dua jari hingga ke pandai ‘berdiri sendiri’, ibu bapa kadang kala terasa semakin jauh dengan anak yang dilahirkan.
Senario seperti ini bukan perkara baru, malah segelintir ibu bapa sendiri mengakui, semakin anak itu membesar, semakin sukar dikawal pergerakan mereka. Seorang teman menyebut ‘kalau masih kecil, bolehlah dipukul, ditampar, tapi bila sudah besar, dia pula yang memukul aku nanti’.
Realitinya bayi yang lahir ke dunia ini diciptakan memiliki emosi yang tidak sama. Ibu bapa tidak boleh menyangka sekiranya perangainya baik, maka anaknya akan mengikut perangai yang serupa. Sedikit sebanyak mungkin ada benarnya kerana pendidiknya adalah kita sebagai ibu bapa.
Tetapi pengaruh luaran kadangkala memberikan impak lebih besar kepada anak itu nanti. Sebab itulah mendidik anak perlu dilakukan mengikut zaman mereka berada, dan tidak sesuai mengamalkan didikan ‘zaman dulu’ kepada anak zaman ini.
Bagaimanapun, ramai pakar kanak-kanak bersetuju, andai emosi anak ditangani dengan baik sejak kecil, pergerakan mereka ‘lebih mudah dikawal’, umpama menekan alat kawalan jauh. Emosi yang stabil membantu melahirkan anak lebih cemerlang, emosi yang terganggu pula melahirkan anak sebaliknya.
Emosi dikaitkan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam kehidupan seseorang. Ia menunjukkan pelbagai aspek termasuk negatif atau positif, kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat dan perancangan.
Pensyarah Psikologi Perkembangan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mastura Badriz, berkata ilustrasi emosi yang terlihat dalam kehidupan harian kanak-kanak berfungsi sebagai satu cara bagi komunikasi untuk memberitahu dan menyatakan keperluan mereka.
“Segelintir anak yang menangis, besar kemungkinan mereka berasa takut dan memerlukan perlindungan daripada ibu bapa mereka. Kanak-kanak selalunya belum mengenali konsep masa. Sama ada sekejap atau lambat, asal saja ibu bapa tiada depan mata mereka akan mula menangis.
“Kadangkala ibu bapa selalu merungut ‘budak ni, aku tak ada depan mata seminit pun menangis’. Mereka hanya tahu, bila tiada ibu bapa depan mata, maka sudah tidak selamat,” katanya pada Seminar Celik Emosi anjuran Hal Ehwal Wanita (Helwa), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini.
Beliau berkata, kanak-kanak menyuarakan ‘isi hati’ menerusi emosi yang ditonjolkan dan ibu bapa selalunya adalah idola kepada mereka. Segelintir ibu bapa yang marah terhadap anak andai menjerit, tetapi pada masa sama si ibu atau ayah tetap mengherdik seperti ‘mak kata jangan menjerit’.
Penggunaan intonasi yang tinggi, sedangkan ibu inginkan anak bersuara rendah, menjadi anak berkenaan keliru dengan apa yang diperkatakan. Memandu atau menangani emosi anak ke arah positif adalah perlu dalam usaha melahirkan anak yang seimbang.
“Setiap anak itu unik dan tersendiri. Along dan angah mungkin mempunyai emosi yang berlainan. Dalam usaha mengenali anak, ibu bapa perlu memahami emosi mereka kerana kita tidak mahu anak membesar dalam emosi yang terganggu.
“Ada anak yang sensitif tetapi ada anak yang merajuk mahu dirinya dipujuk serta dirayu. Andai betul caranya, kita ‘melayan’ emosi mereka, si kecil akan membesar merasa dirinya dihargai dan diperlukan, bukan dibiarkan bersendirian dan dibenci,” katanya.
Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:
Gembira - Membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.
Marah - Membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.
Takut - Rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.
Sedih - Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.
Geli - Selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.
Cemas - Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.
Malu - Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.
Rasa bersalah - Wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ’standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.
Rasa bangga - Tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.
Perkembangan Awal Emosi (bayi 0-15 bulan)
Emosi asas (positif dan negatif) berkembang secara ‘gradual’ terutama dalam tempoh enam bulan pertama dan selalunya ditonjolkan menerusi memek muka dan ‘eye contact’:
- gembira/seronok - senyum, pipi terangkat, mata berbentuk bulan sabit. Contoh - bila diagah.
- terkejut - angkat kening, mulut terbuka luas, bulatkan mata. Contoh - berhenti menangis bila dengar bunyi muzik atau suara jeritan
- minat - merenung, mengerutkan kening dan bibir. Contoh - merenung wajah ibu, melihat persekitaran
- marah - mengerut dan memasamkan muka, kening turun naik, mata tajam. Contoh ‘mengamuk’ bila mengantuk atau lapar, bila objek ‘dirampas’ daripada tangan.
- Sedih - muka masam dan layu, dagu tertolak ke hadapan. Contoh - ditinggalkan ibu
- Geli- berkerut kening, jelir lidah. Contoh - ‘menolak’ jenis makanan tertentu, menangis bila buang air.
Bayi antara 3 - 8 minggu sudah boleh tersenyum- perkembangan awal emosi positif
Bayi 12- 20 minggu - senyum pada wajah dan suara dikenali; senyum bila merasakan persekitaran ‘dikuasai’, mula ketawa.
- Enam bulan pertama bayi masih belum mempunyai rasa sayang/ kasih pada sesuatu/seseorang.
- Perasaan kasih mula terbentuk ketika usia antara 7 hingga 9 bulan - melalui hubungan ikatan kasih sayang, sentuhan, belaian dengan orang yang paling hampir seperti ibu dan ayah, menunjukkan rasa tidak senang/takut dengan kehadiran ‘orang asing’.
Emosi anak tatih (16-36 bulan)
Emosi turun naik seperti ‘roller coaster’
Usia 2 tahun : sudah tahu menunjukkan emosi dan emosi yang ditunjukkan memang disengajakan - tidak ragu-ragu untuk melakukannya.
Mahu ‘bebas’ tetapi tidak mahu ditinggalkan bersendirian - rasa diri ’sudah besar’ tetapi mahu dibelai.
‘reject syndrome’ - dalaman kanak-kanak bukan ‘menentang’ ibu bapa.
‘temper tantrum’ (tidak mampu meluahkan perasaan sepenuhnya dalam bentuk perkataan/verbal)
Berbagai bentuk perasaan takut: bunyi bising, suara binatang, bilik gelap, ‘hilang’ ibu bapa, perubahan persekitaran dan sebagainya (takut pada apa saja yang ‘dianggap’ bahaya).
Emosi anak prasekolah (36 bulan hingga ke usia enam tahun)
Usia 3-4 tahun sudah boleh memahami perkaitan antara emosi dan persekitaran/ sebab yang mempengaruhi emosi.
Mula belajar mengawal emosi yang turun naik.
Pemahaman terhadap emosi orang lain terbatas hanya kepada emosi yang ditunjukkan melalui memek muka.
Perasaan takut yang terbentuk berkait dengan imaginasi dan khayalan berserta perkembangan daya kreativiti dan pemikiran abstrak. Contohnya takut hantu, takut jatuh.
Lebih berdikari, kurang physical contact dengan ibu bapa.
Lebih banyk bercakap untuk mencurah perasaan/menangani perasan.
Perkembangan emosi kanak-kanak usia pertengahan (7-14 tahun)
Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan.
Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks : perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu.
Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik - takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah.
Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai.
Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak ‘out of control’; belajar mengawal perasan.
Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut.
Mula memahami keperluan kumpulan.

anak bestari asuhan ibu bapa penentu kejayaan

Jangan terkejut apabila anak anda menyatakan atau bertanyakan sesuatu perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran anda. Otak kanak-kanak bertindak seperti span yang membantu mereka menyerap segala yang dipelajari.
Sebagai ibu bapa, tugas kita ialah untuk merangsang minda anak-anak dengan memberi peluang kepada mereka untuk membina asas yang kukuh sebagai persediaan untuk menempuh alam persekolahan dan tumbesaran seterusnya.
Tempoh pembangunan mental yang paling intensif dan sensitif dalam zaman kanak-kanak ialah dari peringkat bayi hingga mencapai usia 10 tahun.
Pembangunan mental membabitkan dua matlamat utama. Pertama - untuk memahami simbol (seperti warna, gambar, abjad dan nombor) dan yang kedua - untuk memahami jumlah (seperti banyak, sedikit dan sebagainya.
Pengetahuan asas ini akan membolehkan mereka menimba kemahiran yang lebih rumit seperti bertutur, membaca, mengira, melukis dan menghargai muzik.
Segala yang dilihat, didengar dan dilakukan membawa pengajaran kepada kanak-kanak semasa bayi, mereka diasuh untuk memahami kesan memasukkan mainan ke dalam mulut atau menyepahkan mainan di merata tempat. Peranan kita dalam proses pembelajaran mereka akan meningkat apabila mereka membesar.
Kemahiran bercakap dan menguasai bahasa dengan baik sangat penting untuk berkomunikasi dengan orang lain. Kebolehan ini merupakan sebahagian daripada kemahiran yang dapat membantu mencegah salah laku apabila mereka dewasa.
Proses membina kemahiran bertutur dan menguasai bahasa, seharusnya dimulakan daripada usia sembilan bulan hingga anak-anak mencapai usia tujuh tahun.
Selepas itu proses pembelajaran bahasa menjadi semakin rumit. Jadi pastikan anda berbual mesra dengan anak-anak walaupun mereka mungkin belum dapat memahami sepenuhnya apa yang anda perkatakan.
Anda boleh bercerita, menyanyikan lagu kanak-kanak dan berpantun seloka sambil menyelitkan unsur-unsur pendidikan. Sebagai contoh, seni kata lagu popular kanak-kanak Pok Amai-Amai yang berbunyi:
Pok amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Tepuk ramai-ramai,
Nanti malam upah susu.

Susu lemak manis,
Santan kelapa muda;
Adik jangan menangis,
Emak banyak kerja.

Daripada seni kata lagu ini mengajar anak-anak tentang pantun dua kerat, empat kerat dan nasihat supaya adik jangan menangis kerana ibu perlu menguruskan banyak kerja rumah.
Menyanyi sambil bertepuk tangan melatih anak-anak kecil menghargai rentak muzik dan menguasai bahasa dengan baik. Kita boleh melatih anak-anak yang lebih besar untuk mengulangi cerita, nyanyian atau pantun untuk adik-adik yang lebih kecil kerana cara ini dapat membantu membina kemahiran mendengar dan menguatkan daya ingatan mereka.
Dengan menggunakan alat bantuan membaca yang sesuai seperti buku dan sebagainya lagi, kita membantu anak-anak memahami perkataan bertulis yang juga melambangkan bahasa. Kita boleh mengajar anak-anak membaca dengan mengenal abjad serta bunyinya, mengeja nama dan beberapa nombor dalam bentuk tulisan.
Kegiatan matematik boleh membantu anak-anak memahami bahawa nombor melambangkan hitungan objek dan mengajar mereka mengira serta memahami konsep sedikit, banyak, kurang, lebih atau sama.
Melukis adalah satu cara paling menyeronokkan untuk meniru dan mengambarkan idea. Dengan menconteng kertas menggunakan pensil warna, mereka mula mencuba warna, bentuk dan tekstur. Lama kelamaan, mereka akan menghargai kegiatan seni lukis dan menggunakan pelbagai bahan untuk mewujudkan bentuk-bentuk berlainan.
Selain kegiatan seni lukis, muzik juga dapat membantu pembangunan anak-anak secara keseluruhan. Dengan menyanyi, bermain dan bergerak mengikut rentak, kita membantu mereka menghargai muzik.
Pepatah lain padang, lain belalang, lain orang, lain ragam menggambarkan hakikat bahawa kanak-kanak mempunyai keupayaan dan minat yang berlainan. Namun, pertumbuhan mental mereka berlaku secara berperingkat.
Menjelang usia dua tahun, kita akan mendapati anak-anak berlagak seperti ‘pembantu kanan.’ Mereka berminat untuk melibatkan diri dalam semua kerja rumah yang kita lakukan, kerana mereka menyangka semua yang kita lakukan adalah permainan.
Mereka mahu menolong kita mengemas mainan, menyapu atau mencuci pinggan mangkuk sambil bermain air. Pujian patut diberikan setiap kali mereka melakukan kerja dengan sempurna.
Rumah boleh dijadikan gedung ilmu untuk anak-anak pra sekolah. Peluang pembelajaran terdapat dalam setiap aspek kehidupan di rumah. Sambil melipat kain kita boleh mengajar anak mengenal warna, jenis pakaian seperti seluar, baju, kain, stokin, sapu tangan dan sebagainya.
Sambil menguruskan kerja rumah kita boleh menunjukkan pelbagai kegunaan sesuatu peralatan. Sebagai contoh, selain untuk makan, sudu juga boleh digunakan untuk menyeduk gula, membancuh minuman, mengumpil penutup tin susu dan sebagainya.
Dalam usia tiga tahun, anak-anak bertukar menjadi seperti ‘rama-rama’ yang gemar bercampur-gaul dan cuba berkawan dengan orang dewasa dan kanak-kanak sebaya. Mereka sudah boleh membuat ayat menggunakan tiga atau empat patah perkataan dan lebih petah bercakap mengenai banyak perkara.
Oleh kerana mereka sudah pandai berinteraksi dengan kita, perbualan dengan mereka menjadi lebih bermakna. Masa yang diluangkan bersama mereka boleh kita gunakan untuk membaca buku cerita, menyanyi dan menguji daya ingatan mereka dengan meminta mereka menyebut perkataan-perkataan dalam pantun atau menyanyi yang sengaja tidak disebutkan.
Pada masa yang sesuai kita boleh membawa mereka berjalan-jalan di taman untuk melihat tumbuh-tumbuhan, serangga, ranting kayu dan batu-batu yang bertaburan di atas tanah. Sambil berjalan, kita boleh bercerita mengenai segala yang kita lihat dan menjawab pelbagai pertanyaan yang mungkin diajukan oleh anak-anak kita.
Menjelang hari jadi tahun keempat, anda sudah boleh melihat semua bakat yang terpendam dalam diri anak-anak anda. Daripada ‘rama-rama,’ mereka bertukar menjadi ‘penyiasat.’ Bersedialah untuk menjawab pelbagai pertanyaan yang bukan saja remah tetapi ada kalanya meleret-leret. Antaranya “Papa pergi mana?'’ Setelah diberitahu papa pergi kerja, mereka menyambung pertanyaan “kenapa papa pergi kerja?'’ Kalau dijawab untuk mencari duit, mereka akan sambung “kenapa nak cari duit?'’ Pertanyaan yang bertali-arus ini menguji kesabaran kita.
Tetapi di peringkat ini juga kita dapat melihat kemajuan yang membanggakan. Mereka bukan sahaja mengetahui nama penuh mereka tetapi juga semua ahli keluarga dan ramai saudara mara lain.
Lebih penting lagi, mereka dapat menguasai keadaan. Kita boleh membiarkan mereka membuat pilihan seperti jenis buku dan rancangan televisyen yang digemari serta menentukan segala kegiatan seni dan kraf yang diminati. Kita juga boleh berkongsi perasaan dengan mereka.
Sebaik sahaja memasuki alam prasekolah, mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran mainan yang lebih rumit, membaca buku ejaan dan menerima idea-idea yang lebih mencabar daya pemikiran mereka.
Kebanyakan kanak-kanak dalam usia pra sekolah boleh bercakap dengan jelas, kecuali perkataan-perkataan yang sukar disebut bunyinya. Ada juga yang pandai mengarang cerita dan melawak. Begitu banyak yang dipelajari. Walaupun anak anda sudah mencapai banyak kemajuan dalam masa yang singkat dan menjadi seorang ‘pakar,’ dia masih mahu anda memahami perasaannya dan mendengar ceritanya, pada masa yang sama dia mahu bermain dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Oleh kerana dia baru belajar mengenal erti buruk dan baik, anda perlu bersabar menghadapi sifat ‘loyar buruk’ anak anda.
Menjelang kemasukannya ke sekolah rendah, dia sudah boleh berdikari. Fikirannya lebih matang, mahu berkongsi idea, perasaan dan pengalamannya, mendengar ceritanya mengenai apa dilakukan dan dipelajari di sekolah juga mengenai kawan-kawan baru dan sebagainya.
Selain menjadikan diri kita sebahagian daripada proses tumbesaran mereka, kini tibalah masanya untuk mereka menjadikan kita sebahagian daripada kehidupan mereka. Inilah ganjaran yang paling membahagiakan kita sebagai ibu bapa yang membesarkan mereka.
Sumber:Utusan Malaysia

Cabaran ayah abad ke-21



Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my


Tip lelaki moden pikul tanggungjawab ketua keluarga

ZAMAN sudah berubah. Cabaran lelaki bergelar ayah dalam era digital tidak sama jika dibandingkan waktu bapa membesarkan kita dulu. Biarpun tanggungjawab teras sebagai ketua dan pelindung keluarga tidak pernah berubah, faktor persekitaran yang berpunca daripada perubahan gaya hidup dan kehendak diri boleh mempengaruhi lelaki dipanggil ayah, abah atau papa ini.

Perubahan persepsi dan nilai termasuk fokus keterlaluan dalam mengejar definisi kejayaan dan kesempurnaan hidup, jika tidak dikawal mampu menjadikan bapa tersasar daripada tanggungjawab utama menjadi ketua keluarga. Kehidupan yang dilihat makin kompleks ditambah pula dunia dihimpit isu keruntuhan nilai, akhlak dan beban ekonomi menjadikan tugas sebagai ayah makin mencabar pada abad ke-21.
Tentunya dalam soal ini, bapa moden perlu lebih fokus serta bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mendidik anak, lelaki zaman sekarang harus memilih kaedah terbaik melahirkan insan seimbang. Tentunya pengalaman sendiri termasuk pengajaran yang diperoleh ketika membesar wajar dijadikan panduan dalam merencana hidup si kecil.

Bapa moden juga harus bijak mengenal pasti bentuk perubahan dalam pendedahan, tuntutan, keutamaan dan keperluan si kecil yang sama sekali berbeza berbanding ketika dirinya membesar. Perkembangan teknologi, kepesatan pembangunan dan peningkatan taraf hidup memberi kesan langsung kepada persekitaran si kecil dan semua ini perlu diawasi agar tidak memberi kesan negatif dalam hidup anak.

Soal keperluan material atau wang ringgit dalam membesarkan anak juga harus ditangani secara bijak oleh lelaki moden. Kuasa RM dalam kehidupan zaman penuh mencabar ini tidak dapat disangkal. Bapa moden perlu bijak menyusun strategi ekonomi, mencari perlindungan dan kebebasan kewangan yang diperlukan setiap kali mengatur bajet untuk si kecil dan keluarga.
Direnung kembali saat bergelar papa, detik itu tentunya memberi seribu makna dalam hidup lelaki matang. Zuriat yang dilahirkan datang bersama pakej tanggungjawab yang bukan kecil.

Sebagai bapa, masa depan si kecil termasuk soal nilai, pendidikan dan tingkah laku yang hendak dipupuk semuanya terletak di bahu ayah. Inilah tanggungjawab tradisi seorang lelaki bergelar bapa yang perlu dilaksanakan dalam apa cara sekalipun dalam melengkapkan pengertian serta aprisiasi dari anugerah yang diperturunkan Allah.

Jika dilihat sekarang (mungkin sesuatu yang boleh dibanggakan), bapa moden lebih banyak menghabiskan masa bersama anak. Istilah participatory fatherhood jelas merungkai karektor bapa moden. Ketepi sifat dan bengis ayah pada zaman silam - walaupun ia sebenarnya menjadi teknik mendidik paling berkesan pada era dahulu kala, bapa moden cenderung mendekati anak sebagai rakan sendiri malah sanggup menggantikan ibu melakukan kerja-kerja rumah.

Bapa moden yang mewakili kelompok usia awal 30-an hingga 40-an sekarang dilihat terbabit secara aktif dalam soal penjagaan anak atau parenting. Mungkin ada juga segelintir lelaki masih terikat dengan identiti ayah zaman silam, lelaki hari ini lebih terbuka dan menyedari pentingnya terbabit secara langsung dalam proses membesarkan anak.
Lelaki moden mula melihat kepentingan terbabit secara aktif dalam proses penjagaan anak, bukannya menyerahkan bulat-bulat kepada isteri atau dalam kes lebih teruk kepada pembantu rumah. Tidak hairanlah lelaki moden hari ini cenderung mencari bahan bacaan panduan membesarkan anak selain sama memikul rutin penjagaan si kecil seperti menukar lampin, membuat susu dan memandikan anak.

Bapa moden juga aktif mengambil tahu perkembangan anak-anak baik dari aspek fizikal mahupun rohani. Jika anak bersekolah, bapa mengambil inisiatif mengambil tahu apa yang dipelajari si kecil atau bertanyakan soal siapa rakan-rakan si anak. Bapa juga mengambil berat soal pencapaian akademik anak di sekolah - amat berbeza berbanding dulu apabila ibu saja yang dilihat sering menandatangani kad kemajuan atau prestasi anak.

Tidak hairanlah, disebabkan terbatasnya peranan ayah dalam proses pembesaran anak, ada antara kita memiliki persepsi bapa sebagai individu yang sukar difahami atau distant figure. Ayah dikatakan individu yang sukar didekati, dingin dan tidak beremosi. Amat malang berlakunya situasi sebegini kerana sedar atau tidak, kesannya dirasai hinggalah si anak sudah berumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.

Mungkin banyak puncanya jika disoroti mengapa ayah menjadi insan yang sukar dimengertikan atau umpama terlalu ‘jauh’ dari keluarga sendiri. Mungkin faktor bebanan kerjaya dan tumpuan terhadap usaha mencari wang demi membina keluarga ketika usia mudanya, bapa terlupa soal hubungannya dengan si anak. Selain itu, sifat seperti terlalu mengejar kesempurnaan dan enggan menerima pandangan orang lain misalnya, menambah lagi tekanan dalam hubungan.

Bagaimanapun, ayah biar apapun persepsinya, tetap ayah. Mana mungkin jasa dan pengorbanan ayah dibalas ganti dan jika ayah menjadi insan yang terlalu ‘jauh’, sebagai anak berusahalah memperbaiki hubungan. Ini kerana mungkin apa yang terpendam dalam hati masing-masing perlu dirungkai kerana bak air, kasih sayang dalam sesebuah keluarga tidak akan putus.

Berita baik menunggu golongan papa hari ini ialah kita masih belum terlambat untuk membuat perubahan. Andai diuji godaan zaman moden hingga bapa hilang pertimbangan, segeralah kembali ke pangkal jalan. Tidak ada manusia yang sempurna, namun jadilah bapa penyayang, prihatin dan paling penting, teman baik kepada anak sendiri.

Selamat Hari Bapa!

Catatan seorang papa

DETIK 12.30 pagi 27 November 2004 mengubah segala-galanya dalam hidup papa dan mama. Kehadiran kamu, Mikhail Muiz Zakwan disambut penuh syahdu disulami perasaan yang sukar digambarkan.

Pertama kali menyentuh, mendukung dan mengazankanmu dalam keheningan pagi di hospital, hati menjadi tenang setenang riak wajah comelmu.

Percayalah Mikhail, membesarkanmu memberi pengalaman tidak ternilai. Daripada memandi dan menukar lampinmu, semuanya suatu pengajaran dan pembelajaran baru dalam hidup papa.

Dari hari ke hari hingga usia kamu menginjak lima tahun tidak lama lagi, keletah, kenakalan, gelak tawa, tangisan dan percakapanmu menjadi sebahagian daripada hidup papa.

Jika dulu kamu perlu didukung apabila bersiar-siar atau membeli belah, kini papa dan mama bagai main ‘kejar-kejar’ dengan kamu. Dalam memikul amanah sebagai ayah, papa mahu menjadi papa penyayang dan teman yang memahami. Namun kadangkala papa perlu menjadi guru membimbing dan bersikap tegas.

Namun, percayalah Mikhail, ini semua dilakukan untuk membentuk nilai positif dan jati diri kamu sebagai insan berguna. Papa berjanji, setiap detik kita bersama akan menjadi kenangan manis buat kita sekeluarga.

Papa masih ingat kali kenangan Hari Bapa tahun lalu. Petang itu, kepulangan papa disambutmu di muka pintu. Papa masih terbayang kerianganmu melafazkan ‘Happy Father’s Day’ kepada papa lalu kamu menghulur sekeping kad ucapan. Sungguh terharu...

Mikhail, ingatlah, kamu adalah permata hati papa. Papa berharap Mikhail membesar menjadi anak soleh yang tidak lupa tanggung jawab kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara.

Dari Papamu,
Araz 12




Tip jadi bapa hip pada abad ke-21!

1. Sayangi wanita bergelar isteri dan ibu kepada cahaya mata anda.


Cukup lojik memulakan senarai 10 tip ini dengan elemen pertama iaitu isteri anda. Jika bukan kerana isteri anda yang melalui tempoh getir sembilan bulan, anda tidak akan menjadi seorang papa. Sayangi isteri dan berikan sokongan dalam apa juga segenap aspek. Jika isteri anda hamil, prihatinlah dengan perubahan fizikal dan emosi yang dilaluinya. Peruntukkan masa privasi bersama isteri biarpun anak sudah beranak lima. Bantu isteri dalam melakukan semua tugas rumah dan menjaga anak.

2. Berbincang dengan isteri setiap masa.

Dalam mencari kerukunan rumah tangga, tidak ada pilihan melainkan anda dan isteri berbincang mengenai apa saja perkara. Jika membabitkan soal penjagaan anak, anda wajar bertanya isteri masalah yang dihadapinya. Jika isteri bekerjaya, atur jadual harian supaya keperluan anak anda dipenuhi setiap masa. Jangan jadikan bebanan kerja di pejabat sebagai alasan menyerahkan segala-galanya kepada isteri.

3. Tunjukkan kasih sayang kepada isteri dan anak.

Bapa moden harus bebas daripada stereotaip sukar didekati atau individu yang tidak beremosi. Tidak ada salahnya memberi ciuman kepada isteri dan anak setiap pagi sebaik bangun dari tidur. Kemesraan dan hubungan erat yang terjalin antara anggota keluarga akan hanya memberi satu keputusan - anda kecapi bahagia sehingga usia tua.

4. Habiskan masa bersendiri dengan anak.

Tidak salahnya anda menghabiskan masa bersendiri dengan anak - hanya anda berdua! Bawa anak melakukan aktiviti yang digemarinya atau sekadar beriadah bersama di taman tema, jogging di pagi hari atau membaca buku untuk anak anda. Dengan cara ini, anak akan lebih mengenali si kecil dan mengesan karektor atau kecenderungan anak.

5. Kongsi hobi anda bersama anak.

Dedahkan si kecil hobi atau kegiatan masa lapang anda. Tidak salah berkongsi minat seperti bermain alat muzik, bersukan, berkhemah atau bermain catur dengan si kecil. Dengan cara ini, anak anda akan lebih bersikap terbuka dan sedia berkongsi apa saja perkara bersama anda.

6. Jangan abaikan si kecil hanya kerana beliau anak perempuan.

Tidak dinafikan, ada bapa cenderung memencilkan anak hanya kerana jantinanya perempuan. Anak perempuan juga memerlukan bapa sama seperti anak lelaki. Tidak salah menghabiskan masa bersama anak perempuan termasuk mengajarnya bagaimana menggunakan peralatan pertukangan. Anak perempuan juga perlu diajar situasi berdepan dengan golongan dewasa baik lelaki atau perempuan.

7. Anggaplah anak sebagai teman sendiri.

Bagaimana mahu mendekati si kecil andai dirinya ketakutan jauh sekali meluahkan perasaan kepada anda? Bapa moden perlu menjadikan anak sebagai rakan dengan perhubungan lebih santai atau tidak terlalu menekan. Namun, jangan terlebih-lebih kerana bimbang anak tidak takutkan anda pula. Biarpun anda boleh menjadi pendengar setia, pastikan anda tegas dan anak mendengar kata.

8. Jadi idola kepada anak sendiri.

Tunjukkan contoh baik kepada anak anda. Jika anda mahu anak berdisiplin, tunjukkan perilaku sama. Ingat, anak cekap memerhati dan meniru perlakuan anda.

9. Makan bersama setiap kali berpeluang.

Bagi anda yang bekerjaya, mungkin sukar untuk pulang ke rumah dan menikmati makan malam bersama anak setiap malam. Namun, setiap waktu terluang terutama pada hujung minggu, pastikan anda makan bersama seisi keluarga. Ketika bersama, bermacam cerita boleh disampaikan kepada anak termasuk perkara berbangkit seperti soal kerjaya anda, persekolahan dan aktiviti mingguan.

10. Ikuti perkembangan semasa dan kecenderungan generasi muda sekarang.

Usah terbelenggu dalam dunia sendiri, bapa moden seharusnya bersifat lebih terbuka dan mengikuti perkembangan dunia terutama yang melingkari kehidupan generasi muda. Kenali apa itu i-Pod, web tv mahupun ruang sembang siber. Ini penting supaya anda dapat mengawal selain mengetahui kecenderungan atau minat anak anda.
Sumber : BHarian 2009/06/20

Cabaran menjadi ibubapa abad ke-21

Anak-anak adalah antara anugerah kurniaan Allah yang tidak ternilai harganya. Alhamdulillah saya dan isteri telah dikurniakan dua cahaya mata, satu kurniaan yang sebenarnya merupakan amanah dan tanggungjawab terbesar yang diberikan Allah kepada hambaNya. Bukankah anak-anak itu ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya?
Setiap kali melihat Mus’ab dan ‘Iffah, maka akan muncull persoalan-persoalan; Sejauh manakah aku menjadi ayah yang terbaik buat mereka? Adakah aku berjaya menjadi pendidik yang akan membentuk mereka menjadi Muslim dan Mukmin yang sejati? Adakah aku telah berusaha menjadi ketua keluarga yang terbaik dan membimbing ibu mereka untuk menjadi ibu yang terbaik?
Persoalan-persoalan ini lahir atas kebimbangan melihat kebejatan sosial masyarakat hari ini yang bukan sahaja melanda anak-anak muda tetapi semua lapisan masyarakat termasuk golongan dewasa yang terdiri daripada para ibubapa!! Di setiap lapisan masyarakat ini ada sahaja masalahnya yang tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada anak-anak generasi masa depan. Akhirnya, apakah yang kita wariskan kepada mereka?
Adakah kita merasa selamat akan masa depan anak-anak kita hari ini dengan keadaan masyarakat yang teruk dan memusnahkan? Hedonisme telah menjadi perkara asasi dalam kehidupan. Televisyen dan Wayang menjadi pendidik utama membentuk pemikiran, nilai dan sikap masyarakat. Masyarakat bergelumang dengan maksiat. Lalu mereka memandang maksiat yang dihalalkan sebagai perkara yang baik dalam kehidupan. Akhirnya jiwa masyarakat menjadi kurang sensitif terhadap kemungkaran dan memandang jelek kepada kebaikan.
Contoh yang sangat jelas boleh diambil daripada Akademi Fantasia; di awalnya ramai yang tidak bersetuju peserta lelaki dan perempuan Muslim dan Bukan Muslim duduk bersama dalam satu rumah, menari, menyanyi, makan minum, bergurau senda dan sebagainya. Tetapi lama kelamaan apabila ia ditayangkan pada setiap hari, malah sepanjang hari dan setiap tahun sehingga bersiri-siri lamanya, masyarakat sudah senyap daripada membantah, lalu menerimanya. Mereka tidak lagi memandang maksiat yang terang nyata itu sebagai maksiat dan dosa malah menyokongnya dengan bersungguh-sungguh, sehingga ada yang berkopiah dan bertudung turut sama bersorak menyokong penyanyi idaman mereka.
Inilah bahayanya Hedonisme yang dibenarkan berlaku dalam kaca TV, Filem, Wayang, Iphone, Facebook dan sebagainya. Berjaya menghilangkan jiwa yang sensitif dalam umat Islam hari ini!! Hal ini seterusnya menular kepada anak-anak muda, pelajar-pelajar, murid-murid di sekolah sehingga guru-guru turut sama pening menguruskan masalah disiplin di sekolah. Belum masuk lagi pergaulan anak-anak di sekolah yang sudah lagi tidak terkawal dan seolah-olah tiada batasannya. Keluar dating lelaki perempuan tidak lagi kelihatan salah, malah direstui ibubapa yang tewas dan dayus dalam mendidik anak-anak mereka.
Maka, di manakah lagi jaminan anak-anak kita akan selamat dari perkara-perkara seperti ini?. Di sekolah, di bandar, di pekan, di kampung malah di mana-mana sahaja tergambar masyarakat yang sudah rosak akhlaknya, tiada pegangan, mempertuhankan hedonisme. Malah di rumah kita sendiri, kita membenarkan anak-anak dirosakkan dengan Televisyen melalui tayangan-tayangan drama, Filem-Filem, Astro, Foxtel dan sebagainya.
Maka cabaran Ibubapa abad ke21 adalah sangat besar. Mereka yang berkesedaran membentuk anak menjadi Muslim dan Mukmin yang terbaik perlu MENGHARUNGI ARUS KUAT JAHILIYYAH masyarakat yang telah membarah. Memerlukan objektif yang jelas dan strategi yang terancang dalam berperang dengan suasana yang haru ini.
Golongan Ibubapa ini tidak lagi boleh berpada dengan ilmu warisan ibubapa mereka dan sifat yang diharapkan terbentuk secara SEMULAJADI setelah berkahwin dan beranak kerana zaman sudah berubah.
Mereka perlu berusaha menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kefahaman Islam, membentuk peribadi Muslim yang menjadi Qudwah kepada anak-anak, meningkatkan kemahiran-kemahiran parenting dan akhirnya mendidik diri supaya istiqamah dan sabar dalam membentuk keluarga Muslim yang baik dan mendidik ahli rumah menjadi peribadi-peribadi Muslim yang cemerlang.
Inilah sebenarnya asas kepada perubahan dan pembaikan Umat Islam hari ini. Mahu tidak mahu ia perlu bermula dengan DIRI KITA SENDIRI seterusnya KELUARGA, RAKAN-RAKAN, MASYARAKAT dan NEGARA. Ingatlah firman Allah;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka”.
“MARI BERSAMA MEMBINA GENERASI HARAPAN”


Oleh:
Dr. Mohd Ihsanuddin Abas
Pengerusi
ISMA Australia

Minda: Tingkat kemahiran mendidik anak-anak

 
DALAM era kemajuan dan pembangunan ibu bapa masa kini mesti mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak yang dikenali sebagai kemahiran keibubapaan.
Kemahiran ini mestilah sejajar dengan cabaran semasa dalam membentuk keluarga berkualiti. Cabaran pada masa kini begitu hebat dengan ancaman pelbagai gejala sosial.

Lantaran itu, anak-anak sangat mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, persekitaran dan budaya semasa. Melalui rakan sebaya anak-anak mudah terjebak dengan pelbagai gejala seperti merokok, dadah, zina dan lumba haram.
Melalui persekitaran mereka juga mudah terpengaruh dengan kafe siber yang terdedah dengan pelbagai gejala sosial jika tidak dipantau.

Kenyataannya, tiada sekolah yang dapat memberikan latihan secara khusus kepada ibu bapa dalam melatih diri mendidik anak-anak iaitu kemahiran keibubapaan. Begitu juga tiada universiti yang menawarkan kursus bagi ibu bapa yang ingin belajar kemahiran keibubapaan untuk mendidik anak-anak dengan baik.

Senario keluarga di Malaysia berhadapan dengan pelbagai masalah. Antaranya gaya hidup banyak berubah berbanding gaya hidup keluarga tradisi. Kepesatan pembangunan yang tidak seimbang menimbulkan pelbagai cabaran dalaman mahupun luaran sesebuah keluarga.

Institusi keluarga menjadi semakin rapuh dengan pelbagai cabaran antaranya pembangunan sosio ekonomi pesat menyebabkan terdapat keluarga tidak dapat melaksanakan peranan dengan berkesan bagi menjamin keharmonian keluarga dalam mendidik, membentuk akhlak, membimbing, memberi kasih sayang serta perhatian kepada anak.

Pembangunan pesat ekonomi menyebabkan ibu bapa yang bekerja tidak dapat menumpukan pendidikan anak-anak di rumah menyebabkan anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Ibu bapa tidak dapat menerapkan nilai-nilai yang baik dalam keluarga kerana kesibukan dan kesuntukan masa. Anak-anak lebih dipentingkan ilmu dunia daripada bekalan akhirat. Sebagai contoh, anak-anak dihantar ke kelas tuisyen untuk mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Kajian mendapati, ibu bapa kurang menitikberatkan anak-anak ke kelas al-Quran, kelas bimbingan agama dan yang membabitkan pendidikan iman, ibadat, akidah dan akhlak berbanding kelas tuisyen yang menjurus kepada peperiksaan. Masyarakat harus melihat keseimbangan ini perlu wujud untuk dipraktikkan dalam kehidupan.

Keseimbangan antara pendidikan dunia dan akhirat sangat penting bagi mewujudkan jasmani, emosi, rohani dan intelek yang seimbang. Pendidikan ini harus dilakukan secara berterusan melalui bimbingan, didikan dan nasihat daripada ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat. Memahami dan menyedari nilai-nilai kekeluargaan juga semakin longgar. Pembentukan sebuah keluarga di bandar tidak lagi dilingkungi oleh datuk, nenek dan saudara-mara terdekat yang boleh memerhati dan menasihati anak buahnya dalam setiap perilaku buruk.

Ibu bapa saja bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Perkembangan jasmani, rohani dan minda mestilah diseimbangkan dengan perkembangan iman, ibadah dan akhlak. Jika perkembangan ini tidak seimbang, sudah pasti akan memungkinkan beberapa masalah besar dalam keluarga. Rasulullah bersabda; “Syurga itu ada di bawah telapak kaki ibu.” (Riwayat Muslim).

Memetik panduan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan, ibu bapa Muslim bertanggungjawab mendidik anak dalam enam aspek pendidikan iaitu moral, fizikal, intelektual (kognitif), psikologi, sosial dan seksual. Sekiranya anak-anak diberi pendidikan dalam semua aspek terbabit anak-anak akan menjadi pewaris yang baik kepada ibu bapa.

Oleh itu ibu bapa perlu memelihara diri dan keluarga daripada terjerumus dengan gejala sosial yang membawa kepada gejala maksiat. Perkara paling penting mendidik anak-anak dengan akidah, beriltizam dengan hukum agama, berakhlak mulia dan memastikan mereka melaksanakan ibadat bagi menjauhi maksiat.

Sehubungan itu, ibu bapa juga harus memahami kecenderungan emosi anak agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang sukar ditangani. Pendidikan yang salah menyebabkan anak terjerumus ke jalan yang tidak baik.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di rumah juga mestilah seimbang yang juga menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.

Pendidikan akhlak mendapat kedudukan tinggi dalam Islam. Pendidikan akhlak juga sangat penting diambil perhatian oleh guru di sekolah. Selain itu, anak-anak juga boleh dididik dengan sirah, tokoh dan tamadun Islam.

Kenyataannya, anak-anak adalah perhiasan hidup. Jika perhiasan hidup sudah tidak boleh dijadikan perhiasan lagi, ibu bapa akan menghadapi masalah dan tekanan dalam kehidupan. Hidup tidak lagi tenang dan tenteram. Jiwa tidak lagi bahagia yang ada hanyalah sengsara. Oleh itu, sebelum terlambat pendidikan keibubapaan boleh diperoleh melalui pembacaan, pengalaman orang yang lebih tua dan panduan mendidik berasaskan agama.

Oleh itu, pendidikan yang berterusan adalah satu tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul oleh setiap ibu bapa. Setiap anak mestilah diberikan pendidikan seimbang dunia dan akhirat. Pendidikan gaya demokratik iaitu menggunakan komunikasi dua hala di mana anak-anak diberi peluang menyatakan pandangan, pendapat dan pendirian. Apa yang lebih penting anak-anak mestilah diberi nasihat, diawasi dan dipantau setiap masa sehinggalah mereka boleh berdikari.
> Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More