DALAM era kemajuan dan pembangunan ibu bapa masa kini mesti mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak yang dikenali sebagai kemahiran keibubapaan.
Kemahiran ini mestilah sejajar dengan cabaran semasa dalam membentuk keluarga berkualiti. Cabaran pada masa kini begitu hebat dengan ancaman pelbagai gejala sosial.
Lantaran itu, anak-anak sangat mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, persekitaran dan budaya semasa. Melalui rakan sebaya anak-anak mudah terjebak dengan pelbagai gejala seperti merokok, dadah, zina dan lumba haram.
Melalui persekitaran mereka juga mudah terpengaruh dengan kafe siber yang terdedah dengan pelbagai gejala sosial jika tidak dipantau.
Kenyataannya, tiada sekolah yang dapat memberikan latihan secara khusus kepada ibu bapa dalam melatih diri mendidik anak-anak iaitu kemahiran keibubapaan. Begitu juga tiada universiti yang menawarkan kursus bagi ibu bapa yang ingin belajar kemahiran keibubapaan untuk mendidik anak-anak dengan baik.
Senario keluarga di Malaysia berhadapan dengan pelbagai masalah. Antaranya gaya hidup banyak berubah berbanding gaya hidup keluarga tradisi. Kepesatan pembangunan yang tidak seimbang menimbulkan pelbagai cabaran dalaman mahupun luaran sesebuah keluarga.
Institusi keluarga menjadi semakin rapuh dengan pelbagai cabaran antaranya pembangunan sosio ekonomi pesat menyebabkan terdapat keluarga tidak dapat melaksanakan peranan dengan berkesan bagi menjamin keharmonian keluarga dalam mendidik, membentuk akhlak, membimbing, memberi kasih sayang serta perhatian kepada anak.
Pembangunan pesat ekonomi menyebabkan ibu bapa yang bekerja tidak dapat menumpukan pendidikan anak-anak di rumah menyebabkan anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Ibu bapa tidak dapat menerapkan nilai-nilai yang baik dalam keluarga kerana kesibukan dan kesuntukan masa. Anak-anak lebih dipentingkan ilmu dunia daripada bekalan akhirat. Sebagai contoh, anak-anak dihantar ke kelas tuisyen untuk mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Kajian mendapati, ibu bapa kurang menitikberatkan anak-anak ke kelas al-Quran, kelas bimbingan agama dan yang membabitkan pendidikan iman, ibadat, akidah dan akhlak berbanding kelas tuisyen yang menjurus kepada peperiksaan. Masyarakat harus melihat keseimbangan ini perlu wujud untuk dipraktikkan dalam kehidupan.
Keseimbangan antara pendidikan dunia dan akhirat sangat penting bagi mewujudkan jasmani, emosi, rohani dan intelek yang seimbang. Pendidikan ini harus dilakukan secara berterusan melalui bimbingan, didikan dan nasihat daripada ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat. Memahami dan menyedari nilai-nilai kekeluargaan juga semakin longgar. Pembentukan sebuah keluarga di bandar tidak lagi dilingkungi oleh datuk, nenek dan saudara-mara terdekat yang boleh memerhati dan menasihati anak buahnya dalam setiap perilaku buruk.
Ibu bapa saja bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Perkembangan jasmani, rohani dan minda mestilah diseimbangkan dengan perkembangan iman, ibadah dan akhlak. Jika perkembangan ini tidak seimbang, sudah pasti akan memungkinkan beberapa masalah besar dalam keluarga. Rasulullah bersabda; “Syurga itu ada di bawah telapak kaki ibu.” (Riwayat Muslim).
Memetik panduan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan, ibu bapa Muslim bertanggungjawab mendidik anak dalam enam aspek pendidikan iaitu moral, fizikal, intelektual (kognitif), psikologi, sosial dan seksual. Sekiranya anak-anak diberi pendidikan dalam semua aspek terbabit anak-anak akan menjadi pewaris yang baik kepada ibu bapa.
Oleh itu ibu bapa perlu memelihara diri dan keluarga daripada terjerumus dengan gejala sosial yang membawa kepada gejala maksiat. Perkara paling penting mendidik anak-anak dengan akidah, beriltizam dengan hukum agama, berakhlak mulia dan memastikan mereka melaksanakan ibadat bagi menjauhi maksiat.
Sehubungan itu, ibu bapa juga harus memahami kecenderungan emosi anak agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial yang sukar ditangani. Pendidikan yang salah menyebabkan anak terjerumus ke jalan yang tidak baik.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di rumah juga mestilah seimbang yang juga menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.
Pendidikan akhlak mendapat kedudukan tinggi dalam Islam. Pendidikan akhlak juga sangat penting diambil perhatian oleh guru di sekolah. Selain itu, anak-anak juga boleh dididik dengan sirah, tokoh dan tamadun Islam.
Kenyataannya, anak-anak adalah perhiasan hidup. Jika perhiasan hidup sudah tidak boleh dijadikan perhiasan lagi, ibu bapa akan menghadapi masalah dan tekanan dalam kehidupan. Hidup tidak lagi tenang dan tenteram. Jiwa tidak lagi bahagia yang ada hanyalah sengsara. Oleh itu, sebelum terlambat pendidikan keibubapaan boleh diperoleh melalui pembacaan, pengalaman orang yang lebih tua dan panduan mendidik berasaskan agama.
Oleh itu, pendidikan yang berterusan adalah satu tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul oleh setiap ibu bapa. Setiap anak mestilah diberikan pendidikan seimbang dunia dan akhirat. Pendidikan gaya demokratik iaitu menggunakan komunikasi dua hala di mana anak-anak diberi peluang menyatakan pandangan, pendapat dan pendirian. Apa yang lebih penting anak-anak mestilah diberi nasihat, diawasi dan dipantau setiap masa sehinggalah mereka boleh berdikari.
> Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu
0 comments:
Post a Comment