Tahun lepas, selama hampir setengah tahun ruangan ini telah memperkenalkan inisiatif belajar melalui aktiviti bermain sebagai suatu usaha penting dalam proses mendorong dan menyokong perkembangan kanak-kanak dalam usia praformal 0-6 tahun. Semua aktiviti bermain utama sudah kita teliti dan perbahaskan dan kelima-limanya sudah jelas kepada anda para pengikut setiap ruangan ini.
Walau bagaimanapun, perbincangan tentang topik bermain dalam dunia kanak-kanak perlu kita teruskan kerana beberapa sebab. Pertama sekali seperti yang selalu saya terangkan dalam ruangan ini, penyelidikan demi penyelidikan terus dijalankan agar kita lebih memahami tentang dunia si kecil kontemporari. Oleh itu, dapat-dapatan sahih terbaru perlu diketahui oleh ibu, bapa dan pendidik prasekolah yang bertanggungjawab ke atas proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Kedua, dapatan penyelidikan terbaru sering kali memberi perspektif baru kepada kita. Lazimnya dapatan-dapatan penyelidikan sosio-saintifik terbaru tentang dunia kanak-kanak akan menyangkal pendapat-pendapat lama yang sudah lapuk dan tidak lagi relevan dalam suasana hari ini. Pada masa yang sama, dapatan-dapatan ini juga membantu menambah pemahaman kita sambil memberi panduan-panduan berguna tentang cara terbaik untuk terus menyokong dan mendorong perkembangan kanak-kanak 0-6 tahun.
Akhir sekali, topik bermain dalam dunia kanak-kanak perlu dikupas dan benar-benar difahami oleh semua pihak yang terlibat dalam menjaga, membesarkan dan mendidik kanak-kanak pada usia praformal mereka. Seperti yang sudah kita tekankan tahun lepas, walaupun aktiviti bermain adalah sesuatu yang semula jadi serta menjadi kegemaran dan tabiat si kecil perempuan dan lelaki, hakikatnya ia adalah aktiviti yang begitu memberi faedah dan manfaat lebih-lebih lagi apabila kita benar-benar memahaminya.
Oleh itu, bulan ini dan untuk beberapa bulan akan datang kita akan sekali lagi meneroka aktiviti bermain dalam dunia si kecil berpandukan dapatan-dapatan penyelidikan yang sahih tetapi melalui kaca mata dan perspektif yang berbeza. Semoga pemahaman kita akan meningkat dan kita boleh mencari jalan terbaik untuk menjadikan aktiviti bermain sebagai sesuatu yang bukan hanya memberi kegembiraan dan kesenangan kepada kanak-kanak, tetapi juga memberi faedah dan mendatangkan manfaat jangka panjang.
Untuk memulakan penerokaan kali ini, izikan saya berkongsi cebisan e-mel yang telah dihantar oleh seorang pembaca setia ruangan ini tahun lepas berkaitan insiatif ‘bermain untuk belajar’. Seperti lumrah, paparan ini telah disunting dan diolah semula demi kesesuaian makna, ketepatan erti dan untuk melindungi identiti penulis.
Benarkah Bermain Memberi Faedah Dan Mendatangkan Manfaat Setiap Masa?
“Saya tertarik dengan perbincangan tentang aktiviti bermain dalam ruangan ini. Walaupun saya tidak ada kelulusan dalam pendidikan kanak-kanak, pengalaman dengan empat orang anak lelaki saya menimbulkan sedikit keraguan tentang artikel-artikel berkenaan topik ini. Saya kurang setuju dengan pendapat Tuan bahawa semua jenis aktiviti bermain dapat membantu kanak-kanak belajar dan juga memberi kesan positif kepada mereka.”
“Misalnya, anak-anak lelaki saya kerap bermain bersama-sama. Anak saya yang sulung 9 tahun, yang kedua dan ketiga adalah kembar dan kedua-duanya 6 tahun. Yang bongsu pula 4 tahun. Tetapi, anak-anak saya akan tahan sekejap sahaja kerana setiap kali mereka bermain bersama-sama pasti mereka akan bertengkar dan kemudian berkelahi. Memang saya sedar anak lelaki suka bermain lasak tetapi tidak tepat kalau kita katakan aktiviti bermain membawa kesan positif setiap masa.”
“Kanak-kanak perempuan mungkin dapat main bersama-sama elok-elok. Tetapi, saya lihat mereka juga selalu bertelingkah dan kemudian pulaukan sesama sendiri sampai ada yang menangis, merajuk, termasuk juga yang mengamuk. Ini saya lihat sebab saya ramai adik-beradik yang semua sudah bernikah dan ada anak.”
“Sekarang saya selalu pening kepala di rumah. Saya selalu terpaksa jadi pengadil untuk perhatikan anak-anak bermain dan hentikan apabila mereka bertengkar dan berkelahi. Nasib baik jugalah saya guru sekolah rendah jadi saya ada pengalaman sedikit-sebanyak tentang disiplin dan sebagainya. Boleh saya minta komen tentang perkara ini?”
‘Puan Dzarina’
Saya bersetuju dengan pemerhatian ‘Puan Dzarina’ kerana pada ketika ini kita masih lagi kurang data penyelidikan tentang masa dan tenaga yang kanak-kanak gunakan untuk bermain serta kita masih tidak banyak statistik tentang aktiviti bermain yang menjadi pilihan kanak-kanak Malaysia dan di rantau Asia Tenggara.
Ada banyak pemboleh ubah (variables) yang perlu diteroka misalnya gender, umur, kaum, latar belakang famili, tahap sosio-ekonomi keluarga dan lain-lain lagi. Tanpa data dan statistik yang mencukupi, kita tidak akan dapat benar-benar memahami aktiviti bermain serta fungsi dan implikasinya dalam dunia si keil.
Lebih menarik lagi, pemerhatian yang dibuat oleh pembaca ini juga ada kebenaran yang disokong oleh dapatan penyelidikan terkini oleh para penyelidik luar negara. Mungkin tidak jelas perbincangan kita sepanjang tahun lalu, tetapi saya beberapa kali menyebut bahawa aktiviti bermain memang membantu kanak-kanak belajar tetapi pada waktu yang sama aktiviti berkenaan perlu menepati beberapa kriteria sebelum ia dilihat sebagai sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat.
Beberapa Keadaan Bila Mana Aktiviti Bermain Tidak Memberi Kesan Positif
Para penyelidik di University of London khasnya, percaya bahawa aktiviti bermain akan memberi kesan positif hampir setiap masa dan ketika kepada kanak-kanak. Akan tetapi, mereka juga mengenal pasti beberapa keadaan bila mana aktiviti bermain tidak memberi kesan yang positif malah boleh mendatangkan keburukan kepada kanak-kanak.
Keadaan yang pertama adalah aktiviti ‘bergaduh olok-olok’ (play fighting) yang selalu menjadi aktiviti pilihan kanak-kanak lelaki sebagai aktiviti bermain kumpulan. Di tadika misalnya, aktiviti seperti ini tidak digemari oleh para pendidik prasekolah kerana sebab-sebab yang anda pasti boleh teka.
Jelas sekali, aktiviti bergaduh atau berkelahi olok-olok bukan hanya bising tetapi ia sudah pasti akan mengganggu ketenteraman kanak-kanak lain yang tidak terlibat sama. Malah tanpa pengawasan dan pemantauan oleh orang dewasa, ia mungkin berubah menjadi pergaduhan atau perkelahian sebenar dalam sekelip mata!
Satu lagi keadaan bila mana aktiviti bermain tidak memberi kesan positif juga berkait rapat dengan gender kanak-kanak. Seperti pemerhatian pembaca tadi, kanak-kanak perempuan juga cenderung berkelahi dan bertengkar dengan cara mereka sendiri. Ia lazimnya berlaku apabila mereka bermain bersama-sama dalam kumpulan dan salah seorang atau sebilangan daripada mereka dipulaukan oleh kumpulan majoriti.
Dalam keadaan ini, pihak yang dipulaukan sudah pasti akan berasa marah dan mungkin bertindak secara fizikal jika dia/mereka diejek atau ditekan oleh kumpulan majoriti. Kanak-kanak perempuan juga cenderung bersosial, oleh itu apabila dipulaukan mereka tidak ada jalan lain kecuali untuk berkasar melahirkan rasa tidak puas hati mereka.
Keadaan terakhir bila mana aktiviti bermain mungkin mendatangkan kesan yang tidak positif adalah apabila kanak-kanak yang kurang kemahiran sosial bermain dengan kanak-kanak lain. Seorang anak kecil yang kurang kemahiran sosial (selalunya yang terlalu manja atau terlalu nakal) berkemungkinan akan mengganggu aktiviti bermain kanak-kanak lain.
Ini tidak pula bererti kanak-kanak yang kurang kemahiran sosial perlu dijauhi oleh kanak-kanak lain. Namun realitinya kanak-kanak akan cepat membentuk kumpulan (clique) antara mereka dan mereka akan memilih kanak-kanak lain yang serupa untuk dijadikan ‘ahli’ kumpulan. Dalam keadaan ini, si kecil yang merasa tersisih sudah pasti akan memberontak atau membuat kacau kerana dia merasakan dirinya dibuang dan tidak diterima oleh rakan sebaya.
Sebagai kesimpulan, walaupun aktiviti bermain dalam dunia si kecil akan selalu memberi kebaikan kepadanya, ada waktu-waktunya aktiviti bermain juga boleh membawa kesan yang kurang elok dan tidak positif. Oleh itu, sebagai ibu, bapa dan pendidik prasekolah yang prihatin kita perlu sama-sama mengambil masa dan mencari peluang untuk mewujudkan suasana bermain yang positif untuk anak-anak di bawah jagaan kita.
Jangan lupa bersama ruangan ini bulan hadapan untuk menambah pengetahuan tentang aktiviti bermain dalam dunia si kecil dengan mencerna idea-idea daripada salah seorang pakar pendidikan praformal yang tersohor di dunia – Profesor Jerome Bruner dari Amerika Syarikat.
0 comments:
Post a Comment