Sudah lama berkahwin tetapi masih belum ada anak? Penyelesaiannya, ambil sahaja anak angkat. Jawapan yang cukup mudah. Tapi pernahkah anda fikirkan implikasinya? Membawa masuk individu bukan darah daging ke dalam rumah kita sebenarnya tidak semudah yang disangka.
Bagi ramai orang, setiap kali ingin mengambil anak angkat, mereka selalunya berjanji akan menjaga anak angkat tersebut sebaik mungkin. Berusaha memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi walaupun lahir anak sendiri selepas kehadiran anak angkat.
Hakikatnya, siapa pun anak itu, anak angkat, anak sendiri waima anak saudara, mereka adalah insan sama seperti kita. Berhak untuk dikasihi dan disayangi. Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak beriman seseorang itu melainkan apabila dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya pada dirinya sendiri,” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ya, betul, ibu bapa angkat perlu memberikan kasih sayang dan penjagaan yang sewajarnya kepada anak angkat tersebut termasuklah memberi perhatian kepada keperluan fizikal, emosi dan keselamatan.
Pada masa yang sama, tanggungjawab pendidikan ke atas anak angkat juga tidak boleh diabaikan. Pendidikan yang diberikan mestilah sama seperti mendidik anak sendiri bersesuaian dengan hadis yang bermaksud, “Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka kedua-dua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi,” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi, sebagai ibu bapa walaupun bukan ibu bapa sebenar anak tersebut, kitalah yang bertanggung jawab mendidiknya setelah dia sah menjadi anak angkat kita.
Ketahuilah bahawa sebenarnya dalam hal memelihara anak angkat, bab agama paling utama. Islam tidak menggalakkan mengambil anak angkat tanpa sebarang ikatan kerana mereka dianggap sebagai orang asing di dalam rumah. Maka, segala batasan termasuk aurat perlu dijaga dengan sempurna kerana mereka bukan muhrim. Dari segi pembahagian harta pula, Islam telah menetapkan bahawa anak angkat tidak berhak mewarisi harta pusaka. Jika ibu bapa angkat masih ingin memberi mereka harta, hendaklah diberi secara hibah.
Walau bagaimanapun, anak angkat boleh dijadikan mahram dengan cara ibu angkat menyusukan anak tersebut jika anak tersebut diambil sejak lahir. Harus diingat, anak angkat tetap bukan anak kita sekali pun kita sayang sangat padanya. Hukumnya tetap tidak sama dengan anak sendiri. Anak angkat adalah ajnabi (bukan anak sendiri) manakala anak sendiri adalah mahram.
Dalam keadaan tertentu, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.
Perkara Yang Perlu Diketahui Jika Mengambil Anak Angkat.
Selidik latar belakang bayi atau kanak-kanak tersebut terlebih dahulu.
Faktor latar belakang ini penting supaya keluarga angkat dapat membuat persediaan mental dan fizikal semasa membesarkan anak tersebut kerana anak tersebut berpotensi mengikut tingkah laku ibu bapa kandungnya.
Beritahu Status Sebenar Anak Seawal Mungkin.
Agar hubungan antara keluarga angkat dengan anak angkat tidak terjejas, seelok-eloknya janganlah berahsia. Beritahu anak angkat siapa dia yang sebenarnya apabila dia sudah boleh faham. Misalnya, ketika dia sudah mula bersekolah. Kebenaran ini perlu diberitahu secara berperingkat-peringkat dengan cara bijak lagi berhemah. Hal ini supaya anak angkat tersebut dapat menilai sendiri kasih sayang yang dicurahkan oleh keluarga angkat kepada dirinya. Selain itu, hal ini juga akan memudahkan urusan perkahwinan (bagi anak angkat perempuan) untuk mencari wali yang sebenar dalam urusan pernikahan apabila tiba masanya kelak.
Bataskan Pergaulan.
Batas pergaulan dan aurat antara keluarga angkat dengan anak angkat perlulah dijaga kerana mereka bukan mahram.
Nafkah Kepada Anak Angkat
Pemberian nafkah kepada anak angkat dan anak sendiri serta keperluan-keperluan lain tetap tertakluk pada ibu bapanya. Tiada perbezaan di antara anak sendiri dan anak angkat. Akan tetapi sekiranya ibu bapa angkat tidak mahu lagi menanggung anak angkat tersebut maka hendaklah menyerahkan semula anak angkat itu kepada ibu bapanya atau warisnya yang sah atau mana-mana individu atau pertubuhan yang bertanggungjawab ke atas anak angkat tersebut.
0 comments:
Post a Comment