Dalam kehidupan ini, ada masanya kita memerlukan bantuan daripada pakar. Jika demam, kita jumpa doktor. Begitu juga, apabila memerlukan bantuan mengenai kewangan atau pelaburan, kita mungkin patut berjumpa pakar pelaburan profesional seperti remisier, perancang kewangan, ejen unit amanah dan penasihat pelaburan. Banyak pelabur baru bersedia untuk melabur tetapi mungkin tidak tahu daripada mana hendak bermula.

Manakala sesetengah pelabur pula mungkin tahu di mana atau bagaimana hendak melabur tetapi tidak tahu sama ada apa yang dilakukan adalah betul atau tidak. Tidak kira sama ada anda pelabur baru atau berpengalaman, berbincang dengan pakar pelaburan profesional memang boleh membantu.

Memilih pakar pelaburan profesional merupakan satu keputusan yang besar. Ingat, setiap pakar pelaburan profesional mempunyai bidang pengkhususan tersendiri. Misalannya, tugas remisier ialah membantu anda membeli saham. Ejen unit amanah diperlukan jika anda ingin membuat pelaburan dalam unit amanah. Perancang kewangan boleh membantu anda membuat bajet. Manakala penasihat kewangan pula memberikan khidmat nasihat mengenai produk pelaburan seperti saham. Di sini, kami senaraikan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan ketika memilih pakar pelaburan profesional.

Kelayakan
Tanya mengenai kelayakan profesional mereka atau ketahui lebih lanjut mengenai jenis pelanggan mereka. Pilih mereka yang biasa dengan keadaan kewangan yang anda hadapi. Teliti tentang pengetahuan mereka mengenai industri dan produk pelaburan dan tanyakan berapa lama mereka sudah berada dalam bidang tersebut.

Penting! Anda hanya patut berurusan dengan perancang kewangan, penasihat pelaburan dan remisier yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, atau ejen unit amanah yang berdaftar dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia.

Pengalaman
Kadang-kadang, seseorang pakar pelaburan profesional mungkin mempunyai reputasi yang hebat dan terkenal berdasarkan cerita daripada mulut-ke-mulut. Tetapi jangan hanya bergantung kepada cakap-cakap orang semata-mata. Jangan malu bertanya mengenai pengalamannya dalam perkhidmatan atau produk pelaburan, mahupun bidang kepakaran yang berbeza. Rujuk portfolionya untuk mengetahui prestasinya dengan lebih lanjut.

Komunikasi
Selain mempunyai pengetahuan, penting juga mempunyai pakar runding atau penasihat pelaburan yang boleh menerangkan kepada anda dengan jelas mengenai perancangan atau produk pelaburan. Bagi orang biasa, pelaburan ialah satu topik yang boleh mengelirukan. Seorang profesional pelaburan yang baik akan cuba memberikan penjelasan yang mudah dan senang difahami oleh pelanggannya.

Anda dan pakar runding atau penasihat profesional pelaburan perlu sentiasa berkomunikasi. Jika berasa ragu, jangan teragak-agak untuk bertanya. Seorang pakar pelaburan profesional yang baik sentiasa mengalu-alukan soalan supaya dia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda. Lebih penting lagi, meraka akan melayan apa sahaja soalan termasuk soalan yang paling asas. Bertanya soalan yang betul boleh membantu membina pemahaman yang baik mengenai pelaburan anda, memilih produk pelaburan yang betul dan paling penting, membuat keputusan berdasarkan maklumat.

Komunikasi tidak harus terhenti selepas perjumpaan pertama atau kedua. Malah, anda dan pakar pelaburan profesional sepatutnya sentiasa berhubungan dan saling memaklumkan tentang perkembangan terkini pelaburan tersebut.

Mengutamakan Keperluan Pelanggan
Seorang pakar pelaburan profesional yang baik sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan terlebih dahulu. Ketika perjumpaan, tumpukan perhatian terhadap proses dan tingkah lakunya semasa menasihati anda.

Teliti sama ada dia :
1. Mahu mendapatkan gambaran sebenar mengenai kedudukan dan keperluan anda
2. Bertanya banyak soalan kepada anda
3. Membuat penyelidikan
4. Menyatakan tentang sebarang kepentingan atau penggabungan dengan syarikat, produk dan perkhidmatan yang boleh menyebabkan timbulnya masalah konflik kepentingan.

Sesetengah pelabur baru mungkin tertanya-tanya, “Jika saya melabur secara kecil-kecilan sahaja, bolehkah saya mendapat layanan yang sama daripada profesional pelaburan sepertimana pelabur yang lain?” Jawapannya adalah BOLEH! Tidak kira berapa jumlah yang dilaburkan, anda sepatutnya mendapat layanan yang sama daripada pakar pelaburan profesional tersebut. Untuk mengetahui sama ada anda mendapat layanan yang saksama, periksa sama ada mereka kerap menghubungi anda.

Tahap Profesional Yang Tinggi
Tanggapan pertama itu adalah sangat penting. Bagaimana pakar pelaburan profesional memperlihatkan dirinya dan mengendalikan perjumpaan dengan anda merupakan petunjuk terhadap tahap profesionalismanya. Penting untuk memilih orang yang selesa bersama dan membuat anda yakin bahawa dia seorang yang bagus dalam kerjanya.

Selain itu, pilihlah pakar pelaburan profesional yang bersesuaian dengan gaya pelaburan dan personaliti anda. Pilih orang yang bukan sekadar menerima pesanan sahaja tetapi mempunyai falsafah pelaburan yang berpadanan, bersikap objektif apabila mengalami tekanan dan mengutamakan kepentingan anda.

Pakar pelaburan profesional yang baik juga sepatutnya peka dan mengikuti perkembangan ekonomi terkini. Anda juga digalakkan untuk bertanya sama ada dia sentiasa meningkatkan tahap profesionalismanya dengan mengikuti kursus dan program latihan.

Bayaran Dan Lain-lain Caj
Sama seperti doktor dan mekanik, pakar pelaburan profesional mengenakan bayaran untuk perkhidmatan dan nasihat yang diberikan. Sebaik-baiknya, selesaikan dahulu soal bayaran permulaan, bayaran perkhidmatan profesional, komisen atau kos lain yang terbabit dan rekodkannya secara bertulis untuk mengelakkan sebarang perselisihan di kemudian hari. Anda mesti tegas meminta pakar pelaburan profesional anda menyatakan setiap bayaran dan caj serta menerangkannya dengan jelas. Anda berhak mengetahui apa yang telah dibayar dan wajar menerima tahap perkhidmatan yang sepadan dengan bayaran tersebut.

Sebenarnya, tidak ada seorang pakar pelaburan profesional yang sesuai dengan setiap pelabur. Setiap pakar berbeza-beza, dan begitu juga pelabur yang berlainan antara satu sama lain. Sebagai pelabur, kadangkala pakar pelaburan profesional tidak sesuai dengan gaya pelaburan atau tahap perkhidmatannya tidak memenuhi kehendak anda. Justeru, jika menghadapi situasi ini, sentiasa ingat bahawa sebagai pelabur, anda mempunyai pilihan untuk beralih kepada pakar pelaburan profesional yang lain.

Kesimpulannya, seorang pakar pelaburan profesional sepatutnya membantu dan membimbing anda dalam membuat keputusan. Sebagai pelabur, anda perlu memainkan peranan yang sepatutnya. Ini bermakna, anda perlu tahu apa yang diinginkan daripada pelaburan itu, tahap risiko yang sedia diambil serta lengkapkanlah diri dengan pengetahuan yang sewajarnya.

Jika anda hendak mengetahui samada lesen seorang perancang kewangan/penasihat pelaburan profesional atau remisier adalah sah, hubungi Jabatan Pelesenan Suruhanjaya Sekuriti di talian 03–6204 8000.