Friday, 27 January 2012

Kekasih rupanya suami orang


Saya bertemu kekasih melalui Facebook. Pada mulanya kami berkawan saja namun akhirnya saya jatuh cinta padanya. Tutur kata yang banyak memberi semangat membuatkan saya merasakan dialah lelaki terbaik.
Bermula dengan perkenalan di alam maya, kami berjumpa. Bermulalah detik cinta yang pada mulanya nampak gembira, namun di penghujungnya membawa gundah gulana.
Pada saat saya membina mimpi keindahan untuk hidup bersama kekasih, dia mengaku sudah beristeri dan bapa kepada dua anak. Isterinya pula mengandung anak ketiga. Hati saya remuk redam namun cinta menguasai segala-galanya dan saya amat sukar melupakan kekasih walaupun tahu dia suami orang.
Dia bersungguh-sungguh menyatakan keinginannya untuk memperisterikan saya dan sudah melamar beberapa kali. Saya buntu dan perlukah menerima lamarannya untuk menjadi isteri kedua?
Bolehkah saya hidup bermadu? Saya terperangkap dengan keadaan yang tidak diingini ini. Bantulah saya.
—————-
Cinta yang bermula dari ruang siber seperti Facebook menjadi semakin biasa kerana proses kesejagatan teknologi maklumat memungkinkan segalanya termasuk soal perasaan dan hati.
Berbalik kepada persoalan sama ada adik sanggup menjadi isteri keduanya, semua jawapan terletak pada adik. Paling utama, adik perlu ikhlas untuk mendengar suara hati dan kemampuan diri sendiri. Sudah mampukah adik dari aspek emosi, rohani, fizikal dan minda untuk berkongsi suami dengan seorang wanita lain?
Isu poligami boleh menjadi isu yang sangat sensitif kepada wanita. Banyak perkara yang perlu adik lakukan jika hidup bermadu. Antaranya menghormati madu, berkompromi, berbaik sangka, berterus terang dan jujur terhadap diri sendiri atau kepada suami dan madu adik. Kesediaan ini penting untuk adik memasuki alam hidup bermadu.
Suami pula penting dalam mencorakkan kehidupan satu atau dua rumah tangga yang dibina. Keadilan terhadap semua isteri perlu wujud. Hidup berpoligami bukan setakat mempunyai lebih daripada seorang isteri, tetap membabitkan suami bersifat adil dan saksama dari segi hak dan tanggungjawab terhadap isteri yang sudah dimadukan. Setiap daripada isteri diberikan hak sama rata agar tidak berlaku diskriminasi.
Jika adik mengambil keputusan untuk tidak menerima lamaran kekasih itu, adik perlu belajar secara perlahan-lahan untuk melupakannya. Ia memang sukar tetapi lambat laun adik akan belajar melupakannya.
Kata bermadah mengatakan: “Kesusahan tidak semuanya seksaan dan yang paling pahit itu bukan semuanya racun. Tetapi ada kalanya lebih berguna daripada kesenangan yang terus-menerus.”
Ini adalah untuk kebaikan diri adik, kekasih dan keluarganya. Perasaan cinta seperti air hujan, lebat mencurah, tapi pasti akan berhenti. Cinta juga adalah perasaan hebat. Namun, masa akan menghilangkan perasaan ghairah cinta itu dan membantu adik nanti untuk perlahan-lahan belajar melupakan kekasih.
Penuhkan masa lapang adik dengan melakukan aktiviti yang boleh mengalihkan perasaan daripada mengingati kekasih. Dalam kehidupan ini, banyak pengorbanan perlu kita lakukan. Selain itu, berdoalah kepada Allah s.w.t supaya adik dapat menemui kebahagiaan dalam hidup.
Doa memberi kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian kepada orang yang ketakutan. Apapun keputusan yang diambil, Dr doakan kebahagiaan adik.
Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More