“Masih jelas di fikiran saya ketika hari pertama menghantar anak sulung ke tadika. Sebagai ibu bapa, kami sangat teruja mahu menyekolahkan anak. Macam-macam perasaan bercampur melihat si anak berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran serba baru buatnya. Sudah tentu rasa gembira, namun perasaan sebak sukar dinafikan. Sudah besar rupanya dia dan masih terbayang bagaimana rupanya saat dilahirkan...”

Ia mungkin sekali salah satu pengalaman yang paling sukar untuk mereka yang buat pertama kalinya bergelar ibu ayah. Ketika menghantar anak ke tadika anak akan mengamuk atau menangis.

Namun, ia lumrah bagi anak-anak yang baru melangkah ke dunia baru ini iaitu memasuki tadika atau pra sekolah. Ia berlaku disebabkan anak hanya mengenali dan mempercayai anda. Guru atau pengasuh merupakan orang asing bagi mereka. Persekitarannya juga berbeza dari apa yang mereka kenali sebelum ini. Ini boleh menyebabkan mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan tadika. Anak juga perlu belajar (melalui pengalaman) bahawa anda akan datang untuk menjemputnya dan guru-guru atau pengasuh adalah orang yang menyayangi mereka dan boleh dipercayai.

Proses Penyesuaian
Jika anda memahami tentang pembangunan awal kanak-kanak serta kepentingan enam tahun pertama, sudah pasti anda akan menggunakan kesempatan yang ada untuk menanamkan minat anak terhadap ilmu pengetahuan di samping memastikan dia membangun dengan baik dari segi fizikalnya,rohaninya, emosinya serta fisiologinya. Anda mungkin sekali memastikan anak suka dan boleh membaca pada umur 3 tahun dan boleh memegang pensel, membuat coretan, memahami konsep 1,2, 3 (Anda faham bahawa membaca serta semua kemahiran yang anda ajar itu adalah potensi yang harus diserlahkan dan sedikit pun tidak bertentangan dengan fitrahnya, lebih-lebih lagi bila ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh rasa gembira) Kemahiran-kemahiran ini menyebabkan anak rasa lebih yakin malah lebih matang. ( otaknya membangun bila ia digunakan).

Anak juga akan berasa lebih yakin jika dia dapat mengurus dirinya dengan baik dan dapat berkomunikasi dengan baik. Keyakinan dirinya membolehkan dia menyesuaikan diri dengan situasi baru lebih cepat. Dengan itu pastikan anak anda sudah boleh berdikari sedikit.

Jika anda memahami pendekatan yang digunakan di tadika dan sentiasa mengambil tahu tentang aktiviti yang dilakukan, anak anda akan rasa bahawa anda memberi sokongan kepadanya. Anak akan sering rasa teruja bila ibu dan ayah mengulangi apa yang guru ajar di tadika. Saat-saat bersama ibu ayah berbincang tentang apa yang dipelajari atau membaca buku berkaitan bukan saja akan memperkukuhkan kemesraan antara anak dan ibu bapa malah akan membantu pembentukan keyakinannya. Ini menyebabkan anak suka ke tadika dan dengan itu dapat menyesuaikan dirinya dengan cepat.

Sebelum, menghantar anak ke tadika, pastikan anak telah dimaklumkan bahawa dia akan ke tadika atau sekolah baru. Ceritakan betapa tadika dan sekolah adalah tempat yang menyeronokkan di mana dia akan belajar banyak perkara baru dan mempunyai ramai kawan. Bawalah anak melawat tadika atau sekolah tersebut agar dia tahu apa yang menarik di situ. Terus bercerita tentang tadika atau sekolah sehingga malam sebelum ke tadika atau sekolah agar anak terus teruja untuk ke sekolah.

Pada hari pertama, pastikan anda mengucapkan selamat tinggal dengan segera. Anda tidak perlu berlegar-legar memerhati anak anda. Anak anda mungkin sedang menangis dan jika anda tidak kuat semangat, anda akan masuk kembali untuk menenteramkannya. Ini akan menyebabkan anak akan beranggapan yang anda akan sentiasa bersamanya dan anda akan respons setiap kali dia menangis. Ini juga akan menyukarkan guru atau pengasuh untuk menyesuaikannya dengan keadaan baru dan anak mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menjadi stabil.

Yakinlah dengan kebolehan guru dan pengasuh untuk menenteramkan anak anda. Menangani tangisan serta amukkan anak tadika merupakan lumrah pekerjaan guru serta pengasuh. Tambahan pula,mereka pasti sudah bersedia dengan aktiviti-aktiviti untuk menarik minat anak anda. Elakkan meninggalkan anak anda tanpa disedarinya. Anak perlu rasa yang dia diperlukan dan disayangi dan bukan ditinggalkan. Anak perlu faham bahawa ketika dia ke sekolah, ibu dan ayah mempunyai urusan sendiri yang perlu disempurnakan. Dia juga harus faham bahawa ibu dan ayahnya harus pergi tetapi akan kembali untuk menjemputnya. Jangan menjanjikan ganjaran.

Contohnya“ Kalau Ana berhenti menangis nanti ibu belikan mainan bila balik nanti”. Ini hanya akan menggalakkan perlakuan yang sama iaitu setiap kali dia menangis ketika hendak ke sekolah, ibu mesti memberi hadiah. Lebih baik meraikan kejayaannya berada di tadika tanpa tangisan atau amukkan. Jika boleh dan dibenarkan,pada hari pertama, jemputlah anak lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Untuk beberapa hari seterusnya, jemputlah anak seperti yang dijanjikan malah datanglah beberapa minit awal. Ini pasti akan menggembirakan anak anda.

Proses penyesuaian serta tempohnya berbeza dengan setiap anak. Ada yang dapat menyesuaikan diri serta merta, ada yang akan mengambil masa yang lama untuk stabil malah ada yang akan menangis atau mengamuk sebaik saja sampai di selekoh masuk ke tadika. Ada juga anak yang begitu seronok ke tadika sehingga yang menangis bukanlah dirinya tetapi ibunya, (Anakku dah besar rupanya..!.)Dengan itu ibu bapa harus sabar, tegas dan tabah mengharungi tangisan dan amukkan hari pertama persekolahan, teruslah menghantar dan menjemput anak walau dalam tangisan dan amukkan kerana lama kelamaan dia akan berhenti bersikap begitu.