Tuesday 31 January 2012

Bantu bayi tidur lena




BANGUN malam akibat tangisan bayi adalah satu keadaan normal bagi pasangan suami isteri yang beranak kecil.
Puncanya mungkin si kecil kembung perut, lampin basah atau diganggu makhluk halus?
Bagaimanakah ibu bapa dapat membendung masalah ini?
Kajian tidur antarabangsa yang dijalankan oleh Johnson & Johnson dan Asia Pacific Paediatric Sleep Alliance (APPSA) pada akhir tahun lepas mendapati seramai 997 ibu bapa melaporkan bayi mereka mengalami kesukaran untuk tidur lena.
Sebanyak 47 peratus atau hampir setengah daripada ibu-ibu yang terlibat dalam kajian tersebut memberitahu, mereka tidak mempunyai rutin waktu tidur yang sama bagi kebanyakan malam.
Sebanyak 45 peratus atau hampir setengah ibu bapa pula berpendapat bayi mereka mempunyai masalah tidur manakala 20 peratus lagi mengadu bahawa waktu untuk menidurkan bayi adalah terlalu sukar.
waktu tidur
Pakar Perunding Kanak-kanak Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, waktu tidur kanak-kanak di negara ini secara puratanya pada pukul 9 malam ke atas. Ia sebenarnya mengganggu waktu tidur bayi.
Berbeza dengan negara seperti Australia dan United Kingdom, kanak-kanak akan tidur sebelum 8 malam atau secara puratanya, 13 jam.
Di Jepun dan Korea pula, kebanyakan ibu bapa melakukan rutin khusus untuk menidurkan bayi.
"Kekurangan rutin waktu tidur teratur dan menikmati tidur yang baik dalam jangka masa panjang akan menjejaskan daya ingatan, kebolehan belajar dan kesihatan bayi," katanya.
Dr. Norzila menambah, kepentingan rutin waktu tidur yang tetap adalah bertujuan membantu kanak-kanak mengenali waktu malam serta menetapkannya sebagai masa untuk berehat dan tidur.
Selain itu, bayi memerlukan tidur yang berkualiti untuk membantu tumbesaran dari segi perkembangan sosial, kongnitif dan fizikal.
Katanya, waktu tidur bayi yang baru lahir adalah selama 16 hingga 20 jam, manakala bayi yang berusia dua hingga tiga bulan menikmati waktu tidurnya lebih kurang 12 hingga 14 jam.
Justeru itu, Dr. Norzila menasihatkan ibu bapa supaya menidurkan anak lebih awal iaitu sebelum 9 malam dan melakukan rutin tidur untuk bayi.
"Kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja. Kesesakan lalu lintas dan kekangan masa akan menyebabkan mereka sampai lewat di rumah. Kebanyakan bayi pula akan menghabiskan masa dengan bermain, merangkak dan berjalan ketika ibu bapa mereka di rumah. Justeru, si ibu perlu memainkan peranan penting dalam mencari masa yang sesuai untuk menidurkan mereka," ujarnya.
Tambah Dr. Norzila, waktu menidurkan bayi sebenarnya bergantung kepada rutin ibu bapa itu sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu menidurkan mereka sebelum melakukan kerja-kerja rumah.
Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Sdn. Bhd Asia Pasifik, Robert Kwon berkata, tiga langkah boleh dilakukan dalam rutin menidurkan bayi.
Robert menjelaskan tiga cara mudah iaitu mandian air suam atau mengelap bayi dengan menggunakan kain lembap suam. Kemudian, lakukan urutan lembut untuk merehatkan bayi dan diakhiri dengan aktiviti waktu tidur bayi yang sunyi seperti menyanyi, bercerita atau bercakap dengan perlahan.
menikmati
"Tujuan utama tiga langkah ini diwujudkan adalah untuk memudahkan bayi menikmati waktu tidur malam yang berkualiti tanpa ada sebarang gangguan.
"Amalan rutin tiga langkah ini sememangnya memberi kesan mendalam terhadap perkembangan minda dan tumbesaran bayi pada masa hadapan," ujarnya.
Robert turut menggalakkan ibu bapa menyertai bengkel rutin tidur bayi anjuran Johnson's Baby pada 8 April depan. Bengkel ini bertujuan memberi panduan tentang teknik memandi dan mengurut bayi untuk tidur dan pembesaran yang sihat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari www.facebook.com/iLoveJohnsonsbaby.com.

Degupan kencang tanda tidak normal

Oleh ZUHAYATI YAZID



Kadar degupan jantung yang tidak normal adalah sebahagian daripada simptom serangan strok. - Gambar hiasan


SERANGAN strok atau angin ahmar boleh mengubah kehidupan seseorang sepanjang hayat.
Ini kerana mangsa serangan strok yang terselamat daripada maut kebiasaannya akan mengalami lumpuh dan lemah anggota badan sama ada sebelah tubuh atau keseluruhan badan.
Ini menyebabkan pesakit memerlukan rawatan dan penjagaan berterusan lebih-lebih lagi jika terlantar di katil.
Di Malaysia, strok merupakan punca kematian yang ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser.
Malangnya hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.
Satu masalah paling kerap menyebabkan strok ialah Fibrilasi Atrium (FA) iaitu keadaan degupan jantung tidak normal berpunca daripada kegagalan impuls elektrik jantung semula jadi.
Apabila ia berlaku, jantung berdegup dengan lebih laju.
Menurut Perunding Kanan Pulmonori dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai, FA merupakan rentak jantung tidak normal yang paling kerap berlaku.
Ia memberikan kesan terhadap keupayaan jantung menjalankan tugasnya.
"Keadaan itu disebabkan wujudnya aktiviti elektrikal yang tidak terkawal di atrium kiri jantung dan mengganggu pusat isyarat elektrik yang berfungsi untuk mengawal kadar denyutan jantung.
"Keadaan ini menyebabkan kadar denyutan jantung dan nadi menjadi luar biasa dan tidak stabil," ujarnya.
Kadar denyutan jantung seseorang yang normal katanya, ialah 60 hingga 100 kali seminit.
Manakala dalam keadaan FA ruang atas jantung berdegup antara 350 hingga 700 kali seminit.
Keadaan ini mengakibatkan aliran darah berkurangan antara 20 hingga 30 peratus dalam sesetengah keadaan.
Kata beliau, FA memberikan kesan yang berbeza kepada para pesakit.
Malangnya ramai yang tidak sedar mereka mengalami masalah FA dan penyakit itu sebenarnya lebih mencabar daripada pesakit jantung yang lain.
Katanya, keadaan itu menyebabkan proses mengepam darah dari jantung ke seluruh badan akan terjejas.
"Pesakit akan berasa letih dan lemah. Sebahagian darah mungkin tertinggal dan bertakung dalam atrium dan akan membentuk darah beku.
Menurutnya, darah beku akibat FA mungkin terpecah dan bergerak ke otak serta bahagian tubuh yang lain, Ini yang menyebabkan strok atau kerosakan serius kepada organ lain seperti jantung (lemah jantung).
Tambah beliau, pesakit FA mempunyai risiko lima kali ganda untuk mendapat strok berbanding mereka yang tidak mempunyai penyakit struktur atau organik jantung.
Ditanya mengenai simptom-simptom penyakit itu, beliau menegaskan seseorang yang menghidapi FA biasanya mudah berdebar secara tiba-tiba, merasa cepat letih, lemah dan juga sukar untuk bernafas.
Selain itu, penglihatan juga mungkin kelihatan kabur dan leher mudah berdenyut serta berpeluh selain panas badan.
Satu cara untuk mengetahui sama ada degupan jantung normal atau tidak ialah dengan mengira dan merasa denyutan nadi di pergelangan tangan.
Jika denyutan terlalu cepat atau tidak sekata, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun pesakit FA kini tidak perlu gusar kerana terdapat penemuan baru di mana syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare baru-baru ini, melancarkan ubat terbaru yang dinamakan Xarelto sebagai perlindungan terhadap ancaman penyakit tersebut.
Xarelto yang juga dikenali sebagai rivaroxaban adalah ubat antipenggumpal oral yang dicadangkan pengambilannya sekali sehari pada dos yang ditetapkan tanpa perlu melakukan pemeriksaan darah secara rutin.
Pengurus Besar Bayer Healthcare Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Axel Bouchon berkata, Malaysia adalah negara pertama di Asia dan yang ketiga di dunia meluluskan penggunaan pil itu.

Baik, buruk yoga pada kesihatan



Sikap pengajar yoga yang memaksa para pengamal senaman itu melakukan aksi di luar kemampuan dikatakan penyumbang kepada kecederaan. - Gambar hiasan


JIKA sebelum ini ketika yoga difatwakan haram untuk diamalkan oleh umat Islam ia telah mencetuskan isu dan polemik di negara ini. Kini, perkara yang sama juga berlaku di New York, Amerika Syarikat (AS).
Tetapi, bagi masyarakat barat isunya tentu bukan soal halal haram atau yang berkaitan akidah tetapi yang membabitkan kesihatan.
Para pengamal yoga di kota raya itu ada yang tersinggung, terkejut malah akan yang terus menghentikan amalan itu apabila satu artikel yang disiarkan dalam seksyen majalah akhbarNew York Time edisi Ahad mendakwa aktiviti yoga memudaratkan tubuh pengamalnya.
Sedangkan di New York, sudah menjadi pemandangan biasa bagi golongan wanita profesional muda dan langsing ke pejabat sambil mengepit tikar yoga di ketiak mereka.
Mereka berpusu-pusu menyerbu pusat yoga sama ada sesudah subuh sebelum waktu bekerja bermula atau ketika masa rehat makan tengah hari.
Matlamatnya ialah untuk kekal langsing, cantik dan sihat.
Di AS, malah di Britain jutaan penduduknya mengamalkan yoga setiap hari. Tetapi artikel dalam New York Time menyatakan yoga boleh merosakkan badan mula mencetuskan keraguan di kalangan para pengamal terbabit dan dikatakan akan menjejaskan industri itu secara keseluruhannya.
Artikel yang bertajuk Bagaimana yoga boleh merosakkan tubuh anda itu dikatakan telah menyebabkan pengamal-pengamal senaman itu di AS berfikir dua kali.
Rencana yang dimuatkan dalam beberapa muka surat dalam seksyen majalah akhbar New York Time keluaran hari Ahad itu ditulis oleh penulis sains kanan akhbar itu, William Broad.
Dalam artikelnya Broad mendakwa para pelajar dan juga para jurulatih yoga mencederakan diri mereka apabila terlalu didorong oleh cita-cita melampau dan kurangnya pengetahuan terhadap sesuatu pergerakan yoga.
Dia memetik pandangan bekas pengamal yoga veteran Glenn Black, yang mengalami kecederaan belakang serius selepas beberapa tahun mengamalkan amalan yoga.
Black berkata: "Orang ramai sepatutnya meninggalkan amalan yoga kerana ia cenderung untuk mendatang kecederaan yang serius."
Sudah tentu artikel Broad dan pandangan Black itu mendapat tentangan dan kritikan daripada wakil-wakil dari industri yoga yang membabitkan AS$5 bilion setahun dan kira-kira 20 juta pengikutnya - bertambah lima kali ganda berbanding 10 tahun lalu.
Sensasi, memalukan dan mengelirukan itu antara reaksi terhadap artikel itu daripada para pengamal dan pengikut yoga.
"Saya terperanjat. Yoga telah mengubah hidup saya dan saya suka berlatih yoga - ia menjadikan saya lebih sihat dan lebih tenang. Badan saya terasa lebih segar," katanya Jurutera Sistem, Susan Davies, 28, yang menyertai kelas di Central Park dua kali seminggu.
Katanya, dengan mengamalkan yoga hidupnya lebih seimbang, yakin dan lebih berkesan di tempat kerja.
"Kawan-kawan saya yang melakukan yoga juga berkata demikian," kata Davies.
Paula Tulsi yang mengendalikan pusat yoga di Manhattan berkata, kontroversi itu cukup besar kesannya.
"Mereka yang berada di keliling saya menjadi gila kerana ramai yang mahu mencuba yoga. Tetapi sekarang mereka takut kerana fikir yoga memberikan kesan buruk. Ia sesuatu yang tragik dan menyakitkan hati.
"Ini merupakan satu penghinaan kepada komuniti yoga," katanya.
Terapi urut Eddie Rodriguez, yang mengendalikan pusat terapi fizikal pula berpendapat kebanyakan pusat yoga terlalu sesak.
Orang ramai pula katanya, tidak sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga tidak terlatih walaupun mereka kelihatan seperti berpengalaman.
"Saya menggalakkan pelanggan saya mencuba yoga. Tetapi hanya setelah dicadangkan oleh orang lain. Bukannya terus ke studio yoga disebab tawaran tertentu," katanya.
Namun cerita mengenai kesan buruk yoga tidak sukar untuk ditemui di New York.
Pengurus Seni, Elizabeth Bennett, 45, memberitahu cakera lehernya terseliuh selepas didakwa dibuli oleh jurulatih yoga di sebuah studio di New York.
"Apabila saya teragak-agak malakukan sesuatu posisi, dia mengatakan saya pondan. Terdapat ramai pengajar yang terlalu mendesak pelajar melakukan sesuatu di luar kemampuan hanya untuk menjaga ego mereka," katanya.
Walaupun memiliki insurans kesihatan, dia terpaksa membelanjakan duit sendiri AS$8,000 untuk rawatan akupuntur dan fisioterapi selama sebulan bagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung.
Bennett menambah, mereka yang mempercayai bahawa yoga adalah sumber untuk menyembuhkan bukannya mencederakan kini tentunya was-was dan mula berhati-hati dalam memilih pusat yoga.
Pakar anatomi juga memberi amaran - seperti mana rencana Broad - tentang risiko melakukan aksi luar biasa ketika yoga yang boleh menjejaskan tulang belakang dan menghalang aliran darah ke kepala sama ada secara drastik atau beransur-ansur.
Pakar Anatomi, David Patane telah berhadapan dengan kira-kira 10 pesakit yang berhadapan dengan kecederaan akibat yoga.
Katanya, zaman komputer telah memberikan banyak masalah penyakit membabitkan bahagian belakang.
Katanya, duduk terlalu lama misalnya sudah cukup untuk memberikan tekana kepada tulang belakang.
Katanya, ini kan pula posisi-posisi sukar dalam yoga terutama yang membabitkan leher.
Perkara itu katanya, bukan sahaja melemahkan leher tetapi juga tulang belakang.
Pembantu Eksekutif, Megan Branch, 22, mengalami ketegangan bahagian belakang tahun lalu hanya kerana melakukan aksi superman - iaitu meniarap sambil mengangkat tangan dan kaki serentak.
Disebabkan dia berada dalam kelas yang terlalu sesak - kira-kira 70 pelajar - dia terpaksa berbaring di tempat yang kurang selesa.
"Saya rasa sesuatu berlaku pada belakang saya. Kemudiannya saya terus sukar bergerak," katanya.
Masalahnya, terdapat banyak kelas yoga di New York tidak memiliki tenaga pengajar bertauliah.
Kelas yoga komuniti yang menawarkan harga AS$5 antara yang mempunyai ramai pengikut.
Tetapi ia tidak mempunyai pakar untuk membetulkan posisi pelajar atau memberi amaran kemungkinan apa yang mereka lakukan boleh mendatangkan kecederaan.
Di New York, yoga kini menjadi satu industri ekoran permintaan yang meningkat. Sijil untuk menjadi jurulatih atau tenaga pengajar yoga pula boleh didapati dengan mudah. Tidak perlu lesen rasmi untuk mengendalikannya.
Pengajar-pengajar yoga boleh mendapat tauliah hanya dengan mengikuti kursus secaraonline selama 200 jam.
Ramai pengajar yang sudah tamat latihan tidak tahu antara otot dan hamstring," kata Emilia Conradson yang menukar daripada mengajar yoga kepada perniagaan terapi badan yang turut merawat kecederaan akibat yoga.
"Pemahaman mereka mengenai tubuh badan kurang. Sedangkan yoga ialah tentang fizikal dan spiritual dan ia perlu selamat," katanya.
Salah seorang pengajar yoga Even Tulsi yang marah dengan artikel Broad itu bagaimanapun mengaku bahawa pengajar tidak berpengalaman punca pelajar yoga mengalami kecederaan.
"Bukan yoga yang tidak elok, tetapi cara mengajar yoga yang mencetuskan masalah," katanya.
Jurugambar profesional, Naomi Harris, 38, sebelum ini teruja dengan pas tanpa had untuk menyertai kelas yoga berhampiran rumahnya di Manhattan.
"Ia bercadang untuk mengamalkannya betul-betul. Selama enam bulan saya pergi lima kali seminggu dan merasa cukup baik," katanya.
Tetapi, satu hari dia terjatuh ketika di rumah yang menyebabkan lututnya bengkak.
Namun dia terus juga ke kelas yoga untuk beberapa hari, tetapi lututnya bertambah buruk.
Imbasan mendapati berlaku koyakan teruk pada tisu yang menyambung dua bahagian lututnya yang memerlukan pembedahan.
Katanya, pakar bedah bertanya apa yang dia lakukan, dan sebaik dia memberitahu melakukan yoga lima kali seminggu doktor itu berkata: "Itulah dia!"
Doktor tersebut memberitahu, dia melihat banyak kecederaan akibat yoga yang kemungkinan berpunca daripada posisi lutut dilipat ke bawah badan yang di kenali sebagai pigeon pose.
Selepas melakukan pembedahan, Harris terpaksa bertongkat. Suatu hari dia terserempak dengan pengajarnya dan bertanya apa sudah jadi.
Harris memberitahu yang doktor berkata ia berpunca akibat terlalu banyak melalukan yoga.
Tetapi pengajar itu berkata, dia cedera ketika melakukan yoga kerana karmanya buruk.
"Kini saya antiyoga," kata Harris.

Sukar tidur amat berisiko


LONDON 31 Jan. - Satu kajian baru mendapati, golongan yang sukar tidur malam berisiko enam kali lebih tinggi menghidap kencing manis dan penyakit jantung.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Genetics itu sekali gus memperlihatkan kesan lebih serius akibat gangguan tidur selain keletihan dan cepat marah.
Penyelidikan melibatkan hampir 20,000 koresponden itu mendapati, simptom-simptom kencing manis boleh dilihat pada seseorang individu yang mengalami gangguan tidur hanya selama tiga malam.
Penemuan terbaru itu boleh menjelaskan kajian sebelum ini yang menunjukkan mengapa individu yang bekerja pada waktu malam lebih terdedah kepada kencing manis jenis 2 dan penyakit jantung.
Saintis berkata, protein yang rosak dikenali sebagai MT2, boleh menganggu hubungan antara kitaran biokimia, fisiologi dan kelakuan dengan pengeluaran hormon insulin, mengakibatkan kawalan luar biasa kepada paras gula dalam darah yang digelar kencing manis jenis 2.
Profesor dari Kolej Imperial London, Philippe Froguel berkata, kawalan gula dalam darah merupakan satu daripada kebanyakan proses yang mengawal kitaran biologi badan.
"Kajian ini boleh memahamkan kita tentang bagaimana genetik yang membawa komponen utama dalam kitaran badan, boleh mempengaruhi risiko kencing manis individu tertentu.
"Kita juga dapat mengenal pasti jenis genetik MT2 yang sangat jarang ditemui yang membawa kesan lebih besar berbanding jenis biasa yang ditemui sebelum ini," katanya.
Pengarah Pusat Diabetes United Kingdom, Dr Iain Frame berkata, kajian genetik seperti yang dilakukan itu sangat berguna kerana ia menjelaskan bagaimana bentuk genetik seseorang boleh mempengaruhi risiko mereka menghidap kencing manis jenis 2.
"Risiko kepada penyakit itu tidak dikawal oleh satu genetik. Kita juga tahu perubahan genetik lain seperti faktor cara hidup besar kemungkinan boleh memberi kesan kepada keadaan kompleks ini," katanya. - AGENS

Saturday 28 January 2012

virus cacar air mudah berjangkit


Sindrom varicella kongenital ancam nyawa ibu, janin pada awal kehamilan.
Jika ada ahli keluarga atau jiran diserang cacar air pada saat anda sedang hamil, lebih baik jika anda mengambil langkah proaktif iaitu menjauhkan diri daripada mereka buat seketika. Lebih wajar jika ibu hamil diasingkan hingga jangkitan disahkan bebas sepenuhnya.
Walaupun demam yang disebabkan virus Varicella Zoster ini lebih tinggi kadar jangkitan di kalangan kanak-kanak, wanita mengandung perlu lebih berwaspada kerana selain berbahaya kepada orang dewasa, bayi mereka turut mempunyai risiko lahir tidak normal apabila terdedah kepada penyakit ini.
Pakar perbidanan dan sakit puan sebuah pusat perubatan, Dr Jameaton Abdullah berkata, berbanding kanak-kanak yang mudah sembuh, jangkitan pada usia dewasa amat berbahaya dan boleh membawa komplikasi buruk seperti meningitis (radang selaput otak) serta ensefalitis (radang otak).
Katanya, bagi ibu hamil, jangkitan cacar air bukan saja mengancam nyawa mereka malah bayi dikandung juga mempunyai dua peratus risiko mengalami kecacatan yang disebut sebagai sindrom varicella kongenital.
“Kadar jangkitan lebih tinggi di kalangan kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun. Keadaan antibodi membolehkan mereka cepat sembuh dan parut mudah hilang. Namun disebabkan ia mudah berpindah menerusi air liur, hingus atau terkena cecair me lepuh daripada penghidap, sesiapa saja berpotensi dijangkiti.
“Dalam kes wanita mengandung, sindrom varicella kongenital menjadi ancaman kepada janin terutama pada peringkat awal kehamilan iaitu kurang 20 minggu. Keadaan si ibu pula, jika tidak dipantau atau mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin boleh terdedah kepada pneumonia.
“Antara risiko kepada bayi adalah kecacatan mata, inflamasi dalam lapisan mata, kecacatan sistem saraf, otak terbantut, bukaan pundi kencing atau pembuangan air besar tidak berfungsi serta kaki atau tangan bayi tidak berkembang pada tahap sepatutnya,” katanya.
Jameaton berkata, sindrom itu boleh dikesan menjangkiti bayi di dalam perut menerusi ujian ultrasound yang akan menunjukkan kandungan berlebihan cecair amnion, ketidaknormalan hati serta pembengkakan tisu bayi. Ujian darah juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran virus. Disebabkan risiko cacar air begitu besar, setiap individu disarankan me ngambil vaksin bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan sama ada sejak kanak-kanak mahu dewasa, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Bagi wanita, mereka tidak boleh hamil hingga empat bulan selepas suntikan pertama.
“Terdapat vaksin yang boleh melindungi individu daripada jangkitan cacar air yang sudah bertahun-tahun diperkenalkan di negara maju. Walaupun di sini individu tidak diwajibkan mengambil suntikan berkenaan, sebagai langkah terbaik ia wajar dimasukkan dalam jadual imunisasi anak.
“Jika ketika kecil individu berkenaan tidak mendapat vaksin berkenaan, mereka masih belum terlambat mengambilnya sekarang. Kebiasaannya dua suntikan dilakukan dalam tempoh enam minggu untuk golongan dewasa. Langkah pencegahan wajar diambil untuk kesejahteraan diri dan keluarga,” katanya.
Kebiasaannya cacar air berlaku sekali seumur hidup individu disebabkan tubuh pesakit membina sistem imun terhadap virus Varicella sekali gus menyebabkan 90 hingga 95 peratus pesakit tidak akan mendapat serangan ulangan. Begitupun, virus itu boleh datang kembali dan menjadi aktif dalam bentuk kayap (zoster) yang menyakitkan.
Risiko cacar air kepada si kecil
Sebelum lahir (dalam kandungan) – Kecacatan mata, inflamasi dalam lapisan mata, kecacatan sistem saraf, otak terbantut, bukaan pundi kencing atau pembuangan air besar tidak berfungsi serta kaki atau tangan bayi tidak berkembang sepatutnya.
Kurang setahun – Jika bayi kurang sebulan, risiko kematian sangat tinggi.
Satu hingga 12 tahun – Simptom tidak serius kerana pada tahap ini tubuh memberi tindak balas cepat.
Antara 13 hingga 49 tahun – Walaupun sistem imun tubuh semakin meningkat, ia memberi reaksi negatif kepada virus Varicella hingga membawa gejala lebih teruk.
Melebihi 50 tahun – Semakin tua individu, bertambah serius gejala yang perlu dihadapi termasuk komplikasi lain seperti meningitis, ensefalitis dan pneumonitis (radang paru-paru).
FAKTA
Ciri-ciri cacar air

  • Mudah merebak




  • Walaupun lepuh sudah sembuh, virus masih kekal pada badan pesakit dan boleh menyerang semula selepas beberapa tahun dipanggil kayap.




  • Vaksin cacar air boleh diambil pada bila-bila masa, tidak kira berapa umur anda dan kesannya tahan lama. Kajian menunjukkan ia mampu memberi perlindungan hingga 20 tahun!




  • Vaksin boleh diberikan selepas kita terdedah kepada pesakit cacar air. Mengambil vaksin dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas terdedah kepada pesakit boleh meminimumkan kesan cacar air.




  • Kegatalan akan membentuk kuping. Penyakit masih boleh berjangkit selagi ada kuping yang belum tertanggal.



  • Tanda serangan

  • Demam, selesema, hidung berair dalam tempoh dua tiga hari.




  • Timbul lepuh kecil (vesikel)




  • Bintik berair itu akan merebak ke seluruh badan.




  • Seluruh tubuh boleh ditumbuhi bintik termasuk kulit kepada, tapak kaki, lidah dan kemaluan.




  • Gatal-gatal.




  • Kebiasaannya mengambil masa 10 hingga 20 hari untuk sembuh.



  • Cara jangkitan

  • Percikan air liur.




  • Hingus.




  • Terkena cecair vesikel.




  • Tersentuh barang penghidap.



  • Saranan doktor

  • Asingkan pesakit dengan ahli keluarga lain.




  • Cuci barang peribadi pesakit berasingan.




  • Elakkan menggaru bahagian berair bimbang bintik terus merebak.




  • Ambil ubat seperti yang disarankan.




  • Jaga kebersihan diri.




  • Dapatkan suntikan vaksin yang memberi perlindungan hingga bertahun-tahun.




  • Untuk meminimumkan kegatalan, sapukan losyen Calamine pada ruam atau mandikan dengan air suam yang dicampur segenggam soda bikarbonat.




  • Banyak berehat dan minum banyak air kosong.



  • Sumber:Berita Harian

    bayi biru tanda masalah jantung


    Ada bayi yang dikesan hadapi masalah jantung sejurus dilahirkan dan ada selepas berusia beberapa minggu atau bulan.
    Bayi baru lahir yang dalam keadaan kebiru-biruan selalu dikaitkan dengan masalah jantung berlubang. Sebenarnya permasalahan jantung bagi bayi dan kanak-kanak lebih besar.
    Walaupun memang warna bayi yang kebiru-biruan atau pucat membawa tanda masalah jantung tetapi ada juga bayi kelihatan sihat tetapi kemudiannya dikesan berhadapan masalah jantung.
    Ada dua jenis masalah jantung yang dihadapi bayi; lahir dengan masalah jantung dan satu lagi keadaan, dikesan mendapat masalah jantung apabila sudah berusia beberapa minggu atau bulan.
    Bayi yang berhadapan dengan keadaan berwarna biru atau pucat dikaitkan dengan masalah ‘tetralogy of fallot’. Bayi itu berhadapan dengan masalah jantung yang dinamakan ‘congenital heart defects’ atau masalah jantung konjenital. Ia adalah kecacatan bentuk jantung atau adanya saluran darah yang besar berdekatan jantung. Perkataan ‘konjenital’ itu bermaksud, ‘lahir dengannya’ atau ‘sejak lahir’.
    Secara umum ada dua jenis masalah jantung konjenital. Perunding Kardiologis Kanak-kanak, Dr Azam Mohd Noor berkata, kecacatan itu biasanya disebabkan ‘septal defects’ atau lubang antara dinding kiri dan kanan laluan darah antara dua bahagian jantung, manakala satu lagi dikenali sebagai ‘patent ductus arteriosus’ atau salur darah yang terbuka antara aorta dan arteri pulmonari yang tidak tertutup selepas lahir sebagaimana sepatutnya. Keadaan ini akan membuatkan terlalu banyak darah mengalir ke paru-paru.
    “Itu antara dua keadaan yang umum tetapi ada banyak lagi jenis kecacatan jantung misalnya masalah seperti tidak bersambung, tersalah letak duduk arteri, injap tidak terbentuk dan salur darah tersekat atau sempit,” katanya.
    Masalah jantung bayi juga ada yang boleh dikesan sejak lahir. Tetapi dalam sesetengah kes seperti membabitkan sempitan pada urat besar yang membawa darah dari jantung, ia tidak akan kelihatan untuk beberapa tahun dan beberapa perubahan bahaya pada tubuh (lesions) seperti sedikit kecacatan pada ventrikal mungkin tidak menunjukkan masalah.
    “Malah, ada bayi yang sejak lahir kelihatan sihat, tetapi apabila usianya masuk empat ke lima minggu, mula menunjukkan tanda-tanda masalah jantung. Antaranya kelihatan penat seperti orang berlari marathon. Ketika menyusu, dia nampak penat, berpeluh-peluh. Begitu juga apabila sudah pandai berjalan, dia akan cepat penat,” katanya.
    Dilihat dari sudut lebih global, masalah jantung konjenital sebenarnya tidak terlalu menakutkan daripada pandangan statistik. Di Amerika, hanya lapan daripada setiap 1,000 kelahiran berhadapan dengan masalah ini. Di Malaysia pula hanya mencatatkan empat kes dalam 1,000 kelahiran tetapi jumlah ini semakin bertambah setiap tahun. Ia sesuatu yang sepatutnya diberikan perhatian kerana membabitkan kos pembedahan sangat mahal bagi sesetengah kes.
    “Bukan semua kes masalah jantung konjenital ini memerlukan pembedahan tetapi jika itu yang diperlukan, di hospital swasta kosnya mencapai antara RM20,000 hingga RM25,000 dan tidak dilindungi insurans. Jika di hospital kerajaan, hanya Institut Jantung Negara menawarkan pilihan pembedahan tetapi pesakit harus mengikut giliran. Pesakit yang benar-benar dalam keadaan kronik akan diutamakan, tetapi pesakit yang tidak kronik pun, dalam proses menunggu mereka terdedah kepada pelbagai risiko jangkitan yang akhirnya membuatkan mereka meninggal dunia sebelum tarikh pembedahan,” kata Dr Azam.
    Bagaimana kecacatan jantung terjadi?
    Secara ringkas, jantung yang sihat terbahagi kepada empat kamar rongga, dua di kanan dan dua di kiri. Kedua-dua bahagian ini digunakan untuk tugas yang berlainan untuk melaksanakan fungsi asas jantung - mengepam darah ke seluruh tubuh. Sebelah kanan menggerakkan darah ke dalam saluran arteri pulmonari dan membawa ke paru-paru. Di sebelah kiri, jantung mengepam darah ke aorta. Dari oarta ada pelbagai lagi salur darah yang menyebarkan darah ke seluruh bahagian tubuh.
    Jantung bayi akan mula berdenyut pada hari ke 22 selepas ‘conception’. Ketika ini, jantung hanyalah berbentuk tiub yang ringkas. Antara hari ke 22 dan ke 24, jantung mula membengkok ke kanan dan bertaut secara sendiri untuk membentuk lengkok (loop). Hari ke 28 selepas ‘conception’ lengkok itu terbentuk dan tiub secara samar membentuk seperti jantung dengan struktur yang bertindak balas dengan dua bahagian jantung dan salur darah yang membawa darah keluar masuk darinya.
    Tetapi jika mesej genetik yang mengarahkan pertumbuhan dan pergerakan sel awal jantung ini bercampur aduk, sebahagian daripada otot jantung gagal terbentuk. Atau jika proses membengkok dan lengkok tidak berjalan sebagaimana sepatutnya, jantung akan membentuk sambungan yang abnormal.
    Tanda yang harus anda perhatikan
  • Secara umum, jika secara genetik anda memang datang dari keluarga yang berhadapan dengan masalah jantung konjenital, selalunya kandungan anda akan dipertimbangkan untuk menjalani ujian imbasan janin bagi mengetahui adakah bayi anda berhadapan dengan masalah jantung. Ujian itu dikenali sebagai ‘echocardiography’. Begitupun kata Dr Azam, ujian sebegitu pun tidak akan menjamin pengesanan secara terperinci.“Melalui ujian begitu, doktor mungkin tahu ada masalah lubang pada jantung tetapi kita tidak tahu di bahagian mana secara tepat. Doktor akan mempersiapkan ibu bapa dengan pendekatan psikologi bagi mereka menangani masalah ini,”katanya.

  • Jika anda tidak memiliki sejarah keluarga berkaitan masalah jantung konjenital, perhatikan jika bayi anda berubah warna beberapa hari, minggu atau bulan selepas dilahirkan. Kecacatan jantung yang serius mungkin akan muncul kemudian, Bayi ketika ini akan berwarna biru, pucat di sekeliling mata, bibir dan kuku jari.

  • Bengkak di bahagian kaki, perut atau sekeliling mata

  • Cepat penat ketika menyusu yang membuatkan berat badan tidak bertambah

  • Faktor
    Punca masalah jantung konjenital terjadi tidak diketahui secara tepat, tetapi beberapa faktor keliling dan genetik dikenal pasti menyumbang kepada masalah ini termasuklah:
    1. Genetik - masalah kromosom. Ini biasanya terjadi pada pasangan yang berusia kerana mereka berisiko untuk melahirkan bayi sindrom down.
    2. Penyakit ibu ketika hamil - Diabetes yang kronik akan mengganggu perkembangan jantung janin. Anda boleh mengurangkan risiko ini dengan mengawal diabetes.
    3. Ubat-ubatan - Sebaiknya berikan senarai ubat yang anda ambil kepada doktor perbidanan yang merawat, jika anda berhasrat untuk hamil. Ada sesetengah ubat yang diambil membawa kepada risiko jantung konjenital seperti lithium dan isotretinoin. Selain itu, pastikan anda mengambil ubat-ubatan yang doktor sarankan, Jangan makan ubat herba atau apa saja ubat tanpa nasihat doktor.
    4. Jangkitan ketika hamil - Ibu yang dijangkiti penyakit seperti rubella. Penting untuk ibu-ibu merancang kehamilan dan bertemu doktor sebelum hamil. Anda boleh diberi vaksin rubella sebelum hamil.
    Rawatan
    Rawatan bergantung kepada masalah. Jika ia membabitkan lubang yang terlalu besar, rawatan terbaik adalah pembedahan tetapi jika ia hanya membabitkan lubang yang kecil, ia akan menerusi prosedur non-surgical dinamakan ‘catheterization’. Doktor akan memasukkan tiub (catheter) untuk menutupnya.
    “Jika membabitkan catheterization ia akan dibuat bila-bila masa. Risikonya lagi tinggi jika bayi masih kecil. Jika ia membabitkan pembedahan, doktor akan mengambil kira berat badan bayi bukan usia,” katanya.
    Sumber: Berita Harian

    budak, bayi juga kena migrain


    Sewaktu kebanyakan kita melalui zaman kanak-kanak, istilah sakit kepala tidak pernah wujud. Tetapi hari ini, anak-anak sering mengadu sakit kepala. Malah, bukan sesuatu yang luar biasa apabila seorang kanak-kanak mengunjungi pakar tiga kali sebulan kerana sakit kepala.
    Sakit kepala masalah yang sangat biasa dan dialami semua orang. Tetapi, sakit kepala di kalangan kanak-kanak yang belum pandai bercakap tentunya lebih meresahkan ibu bapa dan anak itu sendiri.
    Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Roliza Ibrahim, berkata bukan saja kanak-kanak berusia setahun ke atas mengalami sakit kepala, malah bayi.
    “Bayi akan memberitahu sakitnya dengan menangis dan merengek. Tetapi jika berusia lebih setahun, dia mungkin memberitahu kesakitannya dengan menggosokkan mata, menarik rambut atau memukul kepala sendiri,” katanya.
    Bagaimanapun, kanak-kanak juga suka berlakon. Jika dia pernah sakit kepala sekali atau mendengarnya daripada kawan-kawan, setiap kali mengalami kesakitan dia akan mengatakan dia sakit kepala walaupun sebenarnya tidak.
    Justeru, ibu bapa harus tahu dengan pasti, adakah anak sememangnya sakit kepala atau sekadar berlakon. Cara pa ling mudah, anda tanya anak bagaimana rasa sakit yang dialaminya?
    Biasanya kanak-kanak yang benar-benar mengalami sakit kepala akan memberitahu kepalanya terasa berdenyut-denyut, diikuti muntah dan jika sakit kepalanya sangat kuat, dia tidak boleh bangun. Sakit kepala ada beberapa jenis.
    Biasanya kebanyakan kanak-kanak mengalami sakit kepala disebabkan masalah tekanan dan sakit kepala kerana masalah migrain. Selain itu masalah penglihatan dan resdung juga menyebabkan sakit kepala. Jika diserang demam denggi juga boleh sakit kepala.
    “Ada juga kes sakit kepala sebenarnya simptom terhadap penyakit lain. Misalnya ketumbuhan dalam otak atau meningitis. Kanak-kanak ini biasanya sakit kepala dan muntah. Tetapi ia kes yang sangat jarang berlaku,” katanya.
    Secara umum, sakit kepala yang di alami kanak-kanak adalah sakit kepala disebabkan tekanan dan migrain. Dr Roliza berkata, sakit kepala disebabkan tekanan biasanya mudah sembuh jika punca tekanan itu dapat dikenal pasti.
    “Misalnya, anak kita berasa tertekan setiap kali hendak ke sekolah. Jika perhatikan, pada hari cuti dia tidak pula sakit kepala,” katanya.
    Beliau berkata, kadangkala apabila diserang sakit kepala, anak lebih selesa bersendirian dalam bilik gelap dan se nyap untuk melegakan kesakitan.
    Cahaya lampu hanya akan menambahkan kesakitan. Jika itu berlaku ibu bapa harus memahami keada an anak.
    Sakit kepala disebabkan migrain pula biasanya diwarisi daripada keluarga. Jika ibu bapa adalah pesakit migrain, anak-anak juga berisiko berhadapan masalah sama.
    Sakit kepala disebabkan migrain terbahagi kepada dua jenis, ‘common migrain’ dan ‘classical migrain’.
    ‘Classical migrain’ adalah sakit kepala yang disertai amaran iaitu aura.
    Aura adalah gangguan visual yang menyebabkan seseorang itu terasa disuluh dengan cahaya. Sakit kepala jenis ini berlaku dalam kepala.
    ‘Common migrain’ pula sakit kepala yang tidak disertai aura. Sakitnya itu terjadi di sebelah bahagian kepala saja.
    Common migrain tidak begitu sakit, tetapi berpanjangan. Biasanya keadaan ini dicetuskan pelbagai faktor seperti makanan, tekanan atau melakukan aktiviti fizikal terlalu lasak.
    “Sakit kepala boleh diubat dengan mudah dengan hanya mengambil panadol, tetapi dos yang diberikan mestilah sesuai dengan usia dan berat badan kanak-kanak itu. Jika sakit kepala terlalu kerap menyerang dan mengganggu pelajaran, pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan harus dibuat,” katanya.
    FAKTA
    Sakit kepala


  • Kebanyakan sakit kepala berlaku di luar tengkorak, dalam saraf, salur darah dan otot yang melindungi kepala dan tengkuk.







  • Otot atau salur darah boleh bengkak, sempit atau melalui perubahan yang menstimulasi atau memberi tekanan pada saraf keliling.





  • Migrain


  • Saraf ini menghantar mesej rasa sakit kepada otak yang menyebabkan sakit kepala.







  • Disebabkan tekanan dan ketegangan fikiran.







  • Oleh sebab salur darah di bawah kulit kepala berkembang, menyebabkan serat saraf yang ada kaitan dengannya membengkak serta mengeluarkan bahan kimia rasa sakit.







  • Membabitkan sistem saraf automatik sehingga menyebabkan pesakit berasa loya, muntah, cirit, seram sejuk, kabur penglihatan dan lebihan sensitiviti kepada cahaya dan bunyi.







  • Biasanya diwarisi dalam keluarga.Tanda migrain







  • Sakit kepala (di sebelah atau kedua-dua belah kepala).







  • Sakit berdenyut.







  • Semakin sakit jika melakukan sebarang aktiviti.







  • Rasa mual yang mungkin diikuti dengan muntah.







  • Sensitif pada cahaya dan bunyi.







  • Jika tidak dirawat, ia boleh berlanjutan empat hingga 72 jam (berbeza antara individu).







  • Serangan mungkin berlaku beberapa kali sebulan atau hanya sekali setahun.





  • Sumber: Berita Harian

    urutan kasih sayang::untuk kesihatan bayi



    Urutan bayi kini menjadi teknik popular kerana kebaikannya dari segi perubatan, fisiologi dan emosi.Sentuhan lembut yang diberikan kepada si kecil bukan sahaja menggalakkan pertambahan berat dan koordinasi otot badan bayi, bahkan menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan bayi.
    Pengarah Bersama Institut Penyelidikan Sentuhan di Miami, Florida, Dr. Maria Hernandez-Reif, berkata kaedah urutan ini bukan sahaja baik untuk bayi normal, tetapi juga bayi yang memerlukan jagaan perubatan dan berkeperluan khas.

    Berdasarkan kepada kajian yang telah dijalankan, urutan bayi dianggap sebagai terapi sentuhan terbaik, malah memberi sumbangan signifikan kepada peningkatan dan perkembangan bayi yang menerima rawatan perubatan Sindrom Down, Palsi Serebrum, Asma dan Austisme.
    “Melalui sentuhan ia bukan sahaja meningkatkan fungsi motor dan memperkemaskan otot kanak-kanak seumpamanya, tetapi juga merangsang sistem pengedaran darah yang dapat memberi kebaikan kepada jantung, pernafasan dan sistem perkumuhan,'’ katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sentuhan Bantu Bayi Yang Berkeperluan di Yayasan Kiwanis Syndrom Down, Petaling Jaya, baru-baru ini.
    Program anjuran bersama Johnson & Johnson dan Yayasan sempena sambutan ulang tahun ke 10 Program Sentuhan Johnson’s baby di Asia Pasifik.
    Katanya, secara psikologinya, sentuhan ini akan membuatkan perasaan ibu lebih terjamin kerana dapat menyumbang sesuatu yang lebih penting kepada bayi. Ini secara tidak langsung dapat merapatkan kemesraan ibu terhadap si anak.
    “Kaedahnya mudah dan bahan yang boleh digunakan juga murah, tertakluk kepada pilihan ibu bapa sendiri. Urutan untuk si kecil ini boleh menggunakan minyak atau losen bayi,'’ terangnya lagi.
    Beliau berkata, kaedah ini melibatkan urutan di seluruh anggota badan bayi menggunakan sentuhan yang sederhana kuat (cukup untuk mengubah warna kulit bayi dari merah ke cerah).
    “Seelok-eloknya ia dilakukan secara berulang-ulang selama 15 minit selepas mandi atau sebelum tidur.
    “Sebaik-baiknya, urutan ini dilakukan ketika bayi dalam keadaan selesa dan tidak lapar kerana bayi mempunyai jangkamasa penumpuan yang pendek,'’ ujarnya lagi.
    Bagaimanapun, pastikan tangan kita dibasuh bersih dan kuku dipotong pendek sebelum melakukan urutan kepada bayi anda kerana kulit bayi sangat halus dan sensitif.
    Ada pelbagai kajian saintifik dijalankan ke atas urutan bayi dan semuanya membuktikan kaedah ini boleh mengekalkan kulit cantik bayi yang halus dan lembut.
    Lebih penting, urutan ini juga boleh merehatkan badan dan minda bayi, sekali gus membantu mereka tidur lebih baik.

    kematian di dalam katil bayi


    undefined
    Utusan Malaysia - 
    KEMATIAN di dalam katil bayi atau dalam bahasa Inggerisnya ‘cot death’ bermaksud seseorang bayi yang berumur kurang daripada setahun dijumpai mati di tempat tidurnya (cot).
    Kes ini jarang diketahui oleh ibu bapa di negara ini. Malah kadar kematian bayi di Malaysia yang disebabkan oleh kematian di dalam katil bayi jarang direkodkan.
    Pada masa ini pakar-pakar sains tidak tahu apakah sebabnya sebilangan kecil kanak-kanak kurang daripada setahun boleh mati dalam keadaan begini.
    Apa yang diketahui ialah kebanyakan bayi yang terlibat adalah bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (pramasa) dan kurang berat ketika dilahirkan.
    Ibu bapa yang mempunyai tabiat menghisap rokok juga memberi ancaman terhadap kesihatan bayi mereka dan sedikit sebanyak menyumbangkan kepada punca kejadian tersebut.
    Bagaimanapun, tindakan ibu bapa untuk mengelakkannya seperti yang disenaraikan di bawah telah mengurangkan kadar kematian di dalam katil bayi di negara-negara Barat.
    Untuk mengelakkan kematian dalam kot:
    * Tidurkan bayi terlentang atau mengiring (bukannya meniarap).
    * Pastikan bilik tidur tidak terlampau panas.
    * Jangan membedung bayi terlampau ketat.
    * Jauhkan bayi daripada asap rokok.

    soal jawab::mulakan makanan bayi pada bulan ke-6


    undefined
    Utusan Malaysia 
    SOALAN: Saya tetap memberi susu ibu sahaja kepada bayi sejak dia lahir dahulu, dan bekalan susu saya masih bagus walaupun bayi sudah berumur sembilan bulan. Bayi saya sangat aktif, mampu merangkak dan sedang belajar berdiri dengan sokongan perabot.
    Adakah biasa bagi seorang bayi berusia sembilan bulan enggan memakan makanan pejal dan hanya ingin meminum susu ibu? Saya sudah mencuba pelbagai cara untuk menggalakkannya makan, tetapi dia selalu enggan.
    Akan tetapi, dia nampak berminat dengan makanan apabila melihat suami dan saya makan, walaupun apabila kami cuba menyuapkannya dia tidak mahu makan. Adakah bayi saya mendapat nutrien-nutrien yang mencukupi daripada susu ibu, memandangkan umurnya sudah hampir setahun?
    JAWAPAN: Susu ibu tidak memberi nutrien yang mencukupi untuk seorang bayi berumur sembilan bulan. Pada bulan keenam, pemberian makanan pelengkap mesti dimulakan.
    Pada mulanya, bayi mungkin memakan hanya sedikit, tetapi jumlah makanan yang diambil akan bertambah apabila bayi semakin mahir memakan makanan separuh pejal dan lama-kelamaan, makanan pejal.
    Adalah satu perkembangan yang baik apabila bayi anda berminat hendak makan apabila melihat ibu dan ayahnya sedang makan. Berikannya semangkuk makanannya sendiri dan biar dia cuba menyuap sendiri.
    Tidak kira berapa banyak makanan yang sebenarnya dapat memasuki perutnya. Ini adalah hanya untuk membantunya belajar menyuap sendiri. Lebih baik jika anda juga menyuap si bayi dengan menggunakan sudu pada masa ini. Walau bagaimanapun, anda harus teruskan penyusuan ibu atau memberi susu ibu yang diperah kepadanya.
    Memberi makan kepada seseorang bayi berumur sembilan bulan memang mempunyai cabarannya, tetapi dalam masa yang sama amat menyeronokkan juga. Pada umur ini, kebanyakan bayi sudah tumbuh beberapa batang gigi manakala otot-otot mulut dan lidah mereka bertambah kuat.
    Ini bermakna bayi lebih mudah mengunyah dan menelan makanan, dan anda boleh memberikannya makanan yang semakin pejal selain bubur, bijirin dan sayur-sayuran lecek yang si bayi selalu makan beberapa bulan yang lalu.
    Anda masih perlu berhati-hati dengan memastikan bayi tidak diberikan makanan yang sukar digigit, dikunyah atau ditelan.
    Pada umur ini, si bayi juga mampu memegang sebarang objek dengan kuat. Ini bermakna anda kini boleh mula mengajarnya bagaimana untuk menyuap sendiri.
    Berikan makanan seperti nuget ayam dan ikan tanpa tulang dalam potongan yang kecil (lebih baik jika dibuat sendiri supaya anda boleh memastikan ia tidak mengandungi garam, perisa atau bahan-bahan pengawet tambahan).
    Selain itu, anda juga boleh berikan buah-buahan atau sayur-sayuran yang dipotong kepada saiz yang sesuai dengan bayi. Rebus, tapis dan kisar beberapa biji tomato untuk mendapat sos tomato yang boleh dimakan dengan makanan tersebut.
    Ataupun, berikannya sebatang sudu plastik yang bersaiz kecil dengan semangkuk ubi kentang dan kacang pis yang dilecek. Berseronoklah memerhatikan si manja anda makan. Berikan perhatian anda apabila bayi makan, walaupun dia kini mampu menyuap sendiri.
    Si bayi hanya dapat memakan sedikit sahaja pada bila-bila masa, sebab saiz perutnya yang masih kecil. Jangan berasa kecewa jika dia enggan makan selepas memakan hanya satu dua sudu makanan.
    Terus berikannya makan setiap satu atau dua jam pada sepanjang hari, dan berikan susu ibu seperti biasa. Asalkan kadar tumbesaran si bayi adalah baik dan dia kekal aktif dan sihat sejahtera, anda tidak harus berasa terlalu risau dengan pemakanannya.
    Anda harus menjadikan waktu makan suatu pengalaman yang seronok dan gembira bagi si bayi. Jangan jadikan pengalaman ini terlalu susah bagi si bayi serta diri anda sendiri. Si bayi akan lebih ingin mencuba makanan-makanan baru dan memakan dengan cara yang lebih matang jika proses ini mudah dan menyeronokkan.
    SOALAN: Saya akan kembali bekerja tidak lama lagi, dan saya ingin terus memberi susu ibu kepada bayi saya yang berumur tiga bulan. Sebelum ini, saya memberi susu ibu apabila dikehendaki, jadi saya tidak tahu berapa banyakkah susu ibu yang harus saya simpan untuk setiap waktu penyuapan.
    Haruskah saya menjadualkan waktu penyuapan bayi (susu ibu yang diperah ke dalam botol) setiap dua hingga tiga jam (lebih mudah bagi pengasuh bayi saya) atau terus meminta supaya pengasuh menyuap bayi mengikut kehendaknya (iaitu apabila si bayi menangis)?
    JAWAPAN: Anda perlu mula memerah susu dan memberi bayi susu ibu menggunakan sudu atau botol sebelum anda kembali bekerja. Ini akan memberikan bayi anda masa yang lebih panjang untuk menyesuaikan dirinya dengan cara baru ini.
    Anda harus menyimpan seberapa banyak susu yang boleh diperah pada suatu masa yang tertentu dan susukan bayi apabila diperlukan. Ini akan memastikan bahawa bayi mendapat susu yang mencukupi.
    Anda juga mungkin perlu membuat sedikit kajian (dengan bantuan pengasuh) akan corak waktu penyuapan bayi. Tidak lama lagi, anda dan bayi anda memang akan dapat menyesuaikan diri kepada perubahan ini.
    Pastikan bahawa anda menyimpan susu yang diperah dalam bekas-bekas steril yang boleh ditutup dengan sempurna. Labelkan bekas dengan tarikh dan waktu supaya anda tahu berapa segar susu dalam sesebuah bekas.
    Jika tempat kerja anda mempunyai sebuah peti sejuk, anda boleh meletakkan bekasbekas tersebut di dalam peti sejuk beku. Susu ibu boleh disimpan pada suhu bilik sehingga lapan jam.
    Anda mesti meluangkan masa untuk menyusukan bayi anda sebelum bertolak ke tempat kerja dan apabila pulang pada waktu petang. Penyusuan waktu malam patutlah langsung daripada ibu.
    Lebih banyak bayi menghisap, lebih banyak penghasilan susu anda. Memerah susu tidak dapat memberi kesan yang sama pada penghasilan susu anda.
    Walaupun susu yang diperah dapat memberi segala faedah susu ibu, tetapi tiada gantinya untuk hubungan emosi kuat yang didapati apabila anda menyusukan bayi.
    Jika anda memerlukan lebih banyak maklumat tentang memberi susu ibu selepas kembali bekerja, program Smart Nutrition oleh Persatuan Pemakanan Malaysia telah mengeluarkan sebuah buku panduan penyusuan ibu bagi ibu-ibu yang mengandung dan baru bersalin.
    SOALAN: Bilakah harus saya memberi bayi saya makanan selain daripada susu ibu?
    JAWAPAN: Bayi sepatutnya diberi susu ibu sahaja selama sekurang-kurangnya enam bulan. Akan tetapi, untuk mengetahui bilakah masa yang tepat untuk memulakan makanan pejal, anda perlulah melihat perkembangan bayi.
    Tanda yang paling ketara yang boleh dilihat ialah bayi masih kelihatan lapar selepas menyusu (lapan hingga 10 kali penyusuan atau 32 oz/946ml susu formula sehari). Bayi anda mungkin kelihatan berminat atau berkelakuan aneh apabila anda makan.
    Bayi yang sudah bersedia untuk makan makanan pejal boleh mengangkat dan menyokong berat kepala sendiri. Berat badan bayi sekurang-kurangnya 6kg dan sudah dua kali ganda daripada berat lahir.
    Bayi menunjukkan sifat ingin tahu tentang dunia sekelilingnya, mengekori objek dengan mata dan tersenyum apabila melihat sesuatu.
    Bayi baru lahir akan menolak lidahnya ke luar mulut apabila sesuatu dimasukkan ke dalam mulut. Untuk memberi bayi makanan pejal, bayi perlulah dapat mengatasi refleks tolakan lidah yang kuat yang sedia wujud sejak lahir.
    Kebanyakan bayi bersedia untuk menerima makanan pejal sekitar usia empat hingga enam bulan. Anda tidak perlu melihat kalendar; cuma perhatikan tanda-tanda perkembangan bayi.
    Jika bayi merengek atau tidak menunjukkan minat untuk makan, kembalilah kepada penyusuan secara eksklusif untuk seminggu dua lagi dan cuba sekali lagi. Anda tidak perlu tergesa-gesa sebelum bayi berusia enam bulan.
    Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).
    SOALAN: Berapa banyak garam yang selamat ditambahkan ke dalam sayur kukus lecek untuk bayi saya yang berusia tujuh bulan?
    JAWAPAN: Garam berbahaya untuk bayi yang masih kecil, khususnya yang berusia di bawah empat bulan, kerana buah pinggang mereka masih belum matang dan tidak boleh mengumuhkan garam ke dalam air kencing.
    Diet yang mengandungi terlalu banyak garam boleh menyebabkan bayi mengalami pendehidratan yang, dalam keadaan yang terlampau, boleh menyebabkan kerosakan organ.
    Bayi memang memerlukan garam dalam jumlah tertentu di dalam dietnya tetapi ia sudah dibekalkan oleh susu ibu atau susu formula dan selepas empat bulan, ia boleh didapati daripada makanan yang tidak diproses seperti nasi, buah-buahan dan sayuran.
    Jangan tambahkan garam ke dalam makanan bayi sewaktu atau selepas memasak makanan tersebut.
    Anda juga perlu berhati-hati terhadap lain-lain perasa yang mengandungi garam, misalnya kicap, sos tomato, sos tiram dan sebagainya.
    Ia tidak perlu ditambahkan ke dalam makanan bayi sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia 12 bulan. Jika anda menyediakan hidangan untuk seluruh ahli keluarga, ketepikan bahagian untuk bayi sebelum menambah garam.
    Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon.
    Soalan: Bolehkah bayi (enam bulan ke atas) menjadi pemakan sayur (vegetarian)?
    Jawapan: Terdapat beberapa jenis falsafah pemakanan sayur. Diet yang paling ketat ialah vegan yang tidak mengandungi sebarang jenis makanan yang berasaskan haiwan, termasuk susu dan telur.
    Terdapat zat-zat tertentu yang tidak hadir atau terlalu kurang dalam diet pemakan sayur, terutamanya vitamin B12, zat besi dan protein.
    Adalah lebih mudah untuk memastikan pemakanan yang mencukupi untuk bayi anda jika dia tidak mengamalkan diet vegan.
    Akan tetapi, jika anda melakukan perancangan yang bijak dan berhati-hati, anda masih boleh memberikan pemakanan sayur yang berkhasiat dan pelbagai kepada bayi anda.
    Untuk melakukan perkara ini, anda perlu memastikan si bayi mengambil makanan daripada kumpulan makanan berikut pada setiap hari iaitu bijirin, susu dan hasil tenusu, kacang dan biji benih serta; kekacang, kacang dan hasil soya.
    Jika bayi anda tidak mengambil makanan daripada kumpulan makanan ini atas sebarang alasan (misalnya jika dia cerewet makan, tidak gemarkan tekstur atau rasanya, alah atau tidak toleransi terhadap makanan tertentu atau faktor budaya), maka anda perlu mendapatkan nasihat dari pakar pemakanan atau pakar diet.
    Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon

    mengeluarkan tahi telinga


    WAJARKAH tahi telinga dikorek atau dikeluarkan pada setiap minggu?
    Mungkin ada antara anda yang akan mengorek telinga anak hampir setiap minggu semata-mata untuk mengeluarkan tahi telinga dan memastikan telinga anak anda sentiasa bersih.
    Bagaimanapun, sedarkah anda bahawa perbuatan mengorek telinga itu boleh menjejaskan kesihatan telinga dan dikhuatiri boleh memudaratkan pendengaran?
    Tidak kiralah sama ada anda menggunakan putik kapas, pengorek telinga diperbuat daripada besi, pin, kunci kereta atau apa saja bahan untuk mengorek atau mengeluarkan tahi telinga, hakikatnya, perbuatan mengorek telinga memang tidak perlu dilakukan. Ini kerana, tahi telinga mampu bertindak sebagai pelindung sama ada terhadap serangga mahupun debu kotoran.
    cotton bud
    Pakar Telinga, Hidung dan Tekak di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Dr Aminuddin Saim, berkata dalam keadaan normal, tahi telinga akan keluar sedikit demi sedikit kerana lapisan kulit telinga mempunyai mekanisme yang akan mengeluarkannya secara berterusan. Justeru, beliau berkata, anda tidak perlu mengorek telinga atau mengeluarkan tahi telinga dengan bahan yang sering kali digunakan untuk tujuan itu.
    “Apabila tahi telinga itu sudah terkeluar dan terlihat, anda boleh membersihkannya tetapi jangan pula mengorek telinga dalam-dalam kerana ini boleh menjejaskan kesihatan telinga anak anda,” katanya ketika ditemui, di ibu negara, baru-baru ini.
    Dr Aminuddin berkata, korek telinga bukan saja tidak perlu dilakukan di kalangan kanak-kanak, malah setiap individu tidak sepatutnya mengorek telinga. Beliau berkata, lazimnya, ibu bapa menggunakan putik kapas untuk mengorek telinga anak-anak mereka tetapi bahan itu boleh menyebabkan tahi telinga semakin terbenam, melecet atau luka pada kulit telinga dan putik kapas tertinggal di dalam telinga.
    Katanya, ada juga yang mengorek telinga dengan pengorek telinga diperbuat daripada besi dan ini lebih berbahaya kerana ia boleh menyebabkan luka dan dikhuatiri boleh tertembus pada gegendang telinga dan seterusnya memudaratkan pendengaran.
    “Mengorek telinga memang boleh menyebabkan seseorang menjadi khayal kerana telinga mempunyai banyak saraf dan ia begitu sensitif. Justeru, mengorek telinga kadangkala menjadi amalan atau tabiat seseorang.
    “Sebaik-baiknya hentikan amalan itu kerana dikhuatiri boleh menjejas atau memudaratkan kesihatan telinga, terutama gegendang telinga”, katanya.
    Dr Aminuddin berkata, tahi telinga ialah satu bahan di dalam telinga yang terdiri daripada serumen (lilin telinga) iaitu kelenjar yang dikeluarkan oleh telinga. Katanya, hasil campuran keretin, debu, kotoran, lelemak dan bulu telinga akan membentuk tahi telinga.
    Dr Aminuddin berkata, tahi telinga boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu keras dan lembut dan
    sebahagian besar masyarakat Asia mempunyai tahi telinga jenis keras. “Keras atau lembut tahi telinga bergantung kepada faktor genetik dan lelemak yang terkandung di dalam tahi telinga,” katanya.
    Beliau berkata, tahi telinga bertindak sebagai pelindung kepada telinga anda kerana lendir atau
    cecair yang terkandung di dalamnya boleh menyebabkan debu terlekat, kesukaran dimasuki serangga dan mengelakkan jangkitan serangga.
    Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak mengorek telinga anak mereka dengan apa juga bahan kerana bimbang ia boleh menyebabkan luka dan kurang ketahanan untuk bertindak sebagai pelindung.
    “Telinga yang terluka akan mudah ditumbuhi dan dijangkiti kulat serta bakteria. Selain itu, amalan mengorek telinga juga dikhuatiri boleh menyebabkan kerosakan pada gegendang telinga,” katanya.
    Bagaimanapun, Dr Aminuddin berkata, ada segelintir individu yang mengalami masalah tahi telinga tidak terkeluar dengan sendiri dan keadaan ini dikenali sebagai keratosis obsturans. Katanya, mereka yang mengalami masalah ini perlu berkunjung ke hospital untuk membolehkan pakar telinga, hidung dan tekak mengeluarkan tahi telinga.Lazimnya, telinga pesakit akan dimasukkan ubat titik atau minyak zaitun bagi membolehkan doktor menggunakan sejenis alat bagi menyedut tahi telinga mereka.
    Kanak-kanak yang mengalami masalah itu selalunya akan berasa tidak selesa dan kurang mendengar kerana tahi telinga mereka keras dan tidak terkeluar sebagaimana dalam keadaan normal. “Bagaimanapun, keadaan seumpama itu amat jarang berlaku kerana lazimnya, tahi telinga akan terkeluar dengan sendiri,” katanya.

    Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More