Friday 19 August 2011

Kemahiran Keibubapaan Menghadapi Cabaran


Institusi kekeluargaan di Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan. Sejajar dengan itu, peranan institusi keluarga turut berubah dari masa ke semasa bersesuaian dengan faktor persekitaran dan situasi semasa. Antara peranannya ialah menjadi agen utama dalam proses sosialisasi anak-anak, proses perkembangan dan pembesaran mereka dan pembangunan potensi setiap ahli keluarga. Seterusnya, kefungsian keluarga dan peranannya melebar sebagai pencorak perkembangan dan kesejahteraan rakyat.

Memandang kepada fungsi dan peranan tersebut, institusi keluarga perlu berdaya tahan menangani cabaran-cabaran hidup yang sangat kompleks seperti penjagaan anak di kalangan pasangan dwi-kerja, keibubapaan anak remaja dan tanggungjawab kepada ibu bapa yang telah tua. Justeru, institusi keluarga perlu diperkukuh dan diperkasa dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang terkini secukupnya.

Kesan Kehidupan Kekeluargaan


Keupayaan keluarga untuk mengharungi arus pemodenan dan pembangunan menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian. Oleh yang demikian, menurut Dato’ Aminah Abdul Rahman, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), beberapa kesan kehidupan kekeluargaan perlu diambil perhatian.

Antaranya daripada aspek pendidikan kemahiran keibubapaan berteraskan tanggungjawab bersama suami isteri perlu diutamakan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan membina keluarga yang sejahtera.

Keduanya, intervensi untuk membimbing golongan remaja perlu diperhebatkan. Penglibatan keluarga dalam program pemulihan remaja bermasalah dan hukuman seperti kerja-kerja khidmat masyarakat dan kaunseling boleh dikuatkuasakan.

Ketiganya, memberi perhatian yang khusus dan berterusan terhadap program-program yang berbentuk ‘support system’ perlu dilaksanakan. Menerusi sistem sokongan yang diwujudkan sama ada di tempat kerja atau dalam komuniti, dapat membantu keluarga untuk berkongsi masalah dan mendapatkan maklumat-maklumat terkini.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh beliau ialah memperluaskan penyediaan pusat penjagaan anak di tempat kerja dan pemberian subsidi untuk menampung kos penjagaan anak yang semakin tinggi. Selain itu, peruntukan cuti khas kepada ibu bapa seperti membawa anak ke hospital, menghadiri mesyuarat PIBG dan menghadiri aktiviti sukan anak-anak juga wajar dipertimbangkan.

ICT – Panduan Untuk Keluarga


Hari ini kita melihat menifestasi ‘Teknologi Maklumat dan Komunikasi’ atau ringkasnya ICT begitu pelbagai.. Di pihak ibu bapa, kesedaran terhadap cabaran-cabaran menifestasi ini amat penting bagi membantu ibu bapa memastikan ICT dimanfaatkan dan anak-anak diberi perlindungan dari penyalahgunaan teknologi ini.

Dalam Seminar Intitusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa anjuran IKIM pada 26-27 Mei yang lalu, Tn. Shaikh Mohd Saifuddeen, Pengerusi Eksekutif Yayasan Ilmuwan telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk Anak-anak dan Perkembangan Terkini Teknologi Maklumat: Panduan untuk keluarga.

Melalui pembentangan tersebut, dikongsikan serba sedikit maklumat lima aplikasi berasaskan internet yang popular dilayari oleh anak-anak zaman sekarang. Dahulu, kebimbangan ibu bapa adalah capaian anak-anak kepada laman-laman ponografi. Namun pada hari ini telah terdapat alternatif-alternatif lain antaranya ialah sembang internet, permainan atas talian, blog, jaringan sosial internet dan perkongsian fail.

Menifestasi ICT bukan setakat komputer dan internet. Alat seperti telefon bimbit juga merupakan salah satu manifestasi ICT. Zaman ini, telefon mudah alih boleh digunakan untuk menerima gambar, animasi dan video, tidak seperti peringkat awal penggunaannya yang menghantar dan menerima teks sahaja.

Pastinya kita selalu melihat berita di dada-dada akhbar bahawa video-video yang bersifat peribadi dan lucah diambil menggunakan kamera video pada telefon mudah alih. Kemudian, video tersebut ada yang dihantar menggunakan perkhidmatan Sistem Pesanan Multimedia (MMS) atau dimuat naik ke laman sesawang, blog atau portal. Jika kemudahan ini tidak dipandu oleh ibu bapa, ia akan membawa penyalahgunaan yang mengundang kemudaratan.

Pada waktu yang sama, pembentang juga mengusulkan kepada ibu bapa agar jangan melupakan ancaman-ancaman yang lebih kecil sifatnya. Beliau memberi contoh tentang masalah ketagihan internet apabila anak-anak menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan komputer dengan bermain permainan internet, bersembang, memuat turun video, mengemas kini blog dan aplikasi jaringan sosial internet serta macam-macam kemudahan lagi.

Jelas beliau, ketagihan internet yang tidak dikawal boleh membawa masalah besar kepada anak-anak terutamanya dari sudut kesihatan (kurang tidur, kurang rehat dan makan tidak teratur), proses sosialisasi (lebih mudah berinteraksi dengan kawan-kawan secara siber berbanding bersemuka), aspek spiritual (lebih gemar menggunakan internet daripada menggunakan masa bagi tujuan ibadah) dan konteks pembelajaran (masa bagi mengulangkaji digunakan bagi tujuan internet).

Namun demikian, dalam kita membicarakan risiko dan ancaman yang dibawa oleh ICT, jangan dilupakan akan manfaat yang diraih daripadanya. Segalanya terletak dibahu kita untuk memberi pilihan kepada anak-anak sama ada memilih jalan selamat atau jalan yang membawa mudarat. Sebagaimana ibu bapa memberikan garis panduan kepada anak-anak untuk menjalani kehidupan nyata, begitulah panduan yang harus diberikan kepada anak-anak dalam menjalani kehidupan siber.
topik_216

Aktiviti Yang Sihat Untuk Anak-anak


Peranan keluarga sebagai agen sosialisasi utama tidak pernah berubah dengan peredaran masa. Anak-anak bergantung kepada ibu bapa untuk bimbingan dalam semua aspek kehidupan. Ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab paling signifikan tentang minat dan nilai remaja dalam aktiviti tertentu (Shannon, 2006).

Kemahiran keibubapaan adalah peranan paling asas dan utama yang menentukan remaja berkembang secara positif dan melibatkan diri dalam aktiviti sihat atau sebaliknya. Menurut Dr. Siti Nor Yaacob, Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, terdapat ciri atau peranan ibu bapa yang boleh mempengaruhi perasaan positif remaja dan menghindari mereka daripada aktiviti bermasalah. Antaranya adalah:

Pengawasan ibu bapa
. Pengawasan memerlukan ibu bapa menetapkan peraturan dan batasan kepada tingkah laku remaja untuk membentuk kawalan kendiri mereka. Remaja yang mempunyai kawalan kendiri akan membuat pertimbangan kesan penglibatan mereka dalam aktiviti yang dilakukan.

Penglibatan ibu bapa
. Ibu bapa juga harus melibatkan diri dengan aktiviti di sekolah dan luar sekolah. Kekerapan berhubung dan berbincang dengan guru akan melahirkan anak yang beraspirasi tinggi dan kurang masalah tingkah laku.

Keputusan keluarga
. Ibu bapa perlu berkongsi dengan remaja apabila membuat keputusan tentang aktiviti dan tingkah laku remaja. Jangan terlalu memberi kebebasan kepada remaja dalam membuat keputusan sehingga mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan mereka.

Rakan kepada anak.
Ringkasnya, ibu bapa menjadi kawan kepada anak-anak untuk membina keterbukaan dan selesa untuk berkongsi pandangan, masalah dan perasaan masing-masing.

Luangkan masa
. Ibu bapa perlu berusaha untuk meluangkan masa dengan berbual, berkongsi cerita dan melakukan aktiviti bersama. Masa bersama boleh mewujudkan kemesraan dan kasih sayang.

Jadi contoh
. Apa yang dilakukan oleh ibu bapa lebih berkesan dinilai oleh anak-anak berbanding apa yang dilkta. Ibu bapa yang terlibat dengan aktiviti komuniti pula mungkin memberi mesej yang jelas kepada remaja tentang aktiviti yang sihat berbanding ibu bapa yang pasif dalam komuniti.

Isi jiwa anak dengan penghayatan agama.
Remaja yang taat kapada Tuhan akan mengawal diri daripada aktiviti yang tidak bermanfaat buat dirinya. Selain ibu bapa menjadi contoh dalam aktiviti spiritual, penerapan nilai yang sama perlu diusahakan dalam pembentukan dan perkembangan remaja. Selalulah berdoa untuk kebaikan mereka.

Related post



1 comments:

Boleh saya tahu nama penulis, utk memudahkan saya membuat tugasan

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More