Thursday 18 August 2011

CERAI TAKLIK


SOALAN: SUAMI ada melafazkan taklik terhadap saya akibat ketegangan yang berlaku antara kami sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun, ketika taklik itu dilafazkan saya tidak suci. Persoalannya, adakah berlaku perceraian ke atas kami kerana saya difahamkan talak diharamkan oleh syarak dalam keadaan isteri sedang haid?



Halimah,
Gombak, Selangor.

Sighah taklik ialah kata-kata yang diucapkan oleh seorang suami dengan maksud untuk menjatuhkan cerai apabila ada atau berlaku perkara yang ditaklikkan untuk masa selepas sighah diucapkan. Sekiranya suami melafazkan taklik dan apa yang dilafazkan itu berlaku sejurus selepas itu, maka jatuhlah talak.

Secara ringkas, suami meletakkan syarat tertentu dengan maksud berlaku perceraian. Contohnya suami berkata: “Jika Nor tidak pulang ke rumah jam 6 petang ini, jatuhlah talak ke atas Nor.”

Cerai secara taklik ini adalah berdasarkan firman Allah bermaksud: “...Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian...” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Dalam kitab I’anat al Talibin juga menyebut, maksudnya: “Adalah dibolehkan mencerai dengan taklik seperti juga janji memerdekakan hamba atas syarat dan tidak dibenarkan menarik balik sebelum kejadian perkara itu dan perceraian itu akan terjadi apabila apa yang disyaratkan itu terjadi.”

Bagaimanapun, jatuh talak secara taklik dengan beberapa syarat:

- Hendaklah suami mempunyai sifat keahliannya menjatuhkan cerai ketika mengeluarkan kata-kata taklik.

- Hendaklah isteri mahal cerai (tempat dijatuhkan cerai) pada masa mengeluarkan kata-kata taklik. Misalnya, dia melafazkan taklik ke atas bekas isterinya yang sudah ditalak tiga ketika dia (bekas isteri) masih dalam tempoh edah, maka taklik itu tidak sah.

- Hendaklah ditaklikkan pada perkara yang belum ada atau belum berlaku pada masa menyebut kata-kata taklik.

- Dan isteri hendaklah menjadi ahli cerai pada masa berlakunya perkara yang ditaklikkan itu.

Jika perempuan itu bukan ahli cerai pada masa kata-kata taklik dilafazkan, maka tidak menjadi apa-apa. Umpamanya, jika dia berkata kepada perempuan ajnabiah (yang bukan isterinya), maka taklik itu tiada apa-apa kesannya.

Tidak disyaratkan orang yang mentaklikkan talak iaitu suami, menjadi ahli bagi cerai pada masa berlaku perkara yang ditaklikkan itu.

Misalnya, suami mentaklikkan suatu perkataan untuk menceraikan isterinya.

Kemudian suami gila, manakala perkara yang ditaklikkan itu berlaku pada masa gilanya. Maka, berlaku perceraian kerana sebelum gilanya suami itu menjadi ahli dalam menjatuhkan talak.

Oleh itu, kata-katanya yang dulunya itu boleh digunakan dan kerana melihat sighah itu telah mencukupi syarat d**ehendaki yang mempunyai kesannya.

Kes biasa cerai taklik adalah kes isteri tidak diberi nafkah. Ada kes suami hadir di mahkamah dan ada kes dia tidak hadir di mahkamah.

Selain itu, ada kes isteri yang membuat tuntutan taklik atas alasan ditinggalkan suami atau penderaan fizikal dan mental yang dialami isteri.

Ini kerana suami didapati melanggar taklik yang telah dilafazkan dan ditandatanganinya di dalam surat nikah sejurus selepas akad nikah berlangsung.

Tujuan taklik ini bagi melindungi hak dan kebajikan isteri ketika hidup bersama suami.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di mengikut Seksyen 50 memperuntukkan perceraian di bawah taklik atau perjanjian.

Seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak mendapat perceraian menurut syarat taklik yang dibuat apabila berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang sedemikian telah berlaku.

Mengenai suami yang melafazkan taklik ketika puan dalam keadaan haid dan perkara yang ditaklikkan itu berlaku, maka jatuhlah talak ke atas puan.

Namun, ia termasuk dalam talak bid`i (tidak mengikut sunnah) di mana suami mentalakkan isteri ketika haid dan isteri berkenaan pernah disetubuhi oleh suami dan dia tidak hamil.

Ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “...maka ceraikanlah mereka pada masa mereka memulakan edahnya...” (Surah al-Talaq, ayat 1)

Ertinya pada waktu mereka mula masuk edah dan ketika haid tidak dikira daripada edahnya.

Sebab perkara ini diharamkan kerana ia memudaratkan perempuan dengan memanjangkan edahnya.

Oleh itu, maka masa haid yang baki tidak dikira daripada edah. Nifas sama seperti haid.

Ia diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis diriwayatkan Ibn Umar yang disuruh merujuk isterinya yang beliau ceraikan ketika dia berada dalam keadaan haid.



Jawaban Disediakan Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More