Saturday 20 August 2011

cerai: kepentingan wujud modul keluarga bahagia elak pasangan muda cerai

Peningkatan kes perceraian di kalangan pasangan muda di negara ini wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak. Keruntuhan rumah tangga ketika usia perkahwinan masih terlalu muda tentunya memberikan pelbagai kesan negatif, bukan saja terhadap pasangan terbabit, malah anak yang dilahirkan seterusnya masyarakat. Keadaan itu jika dibiarkan boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk mewujudkan keluarga bahagia sebagai institusi penting dalam membina masyarakat penyayang yang menjadi asas kepada keharmonian negara.
Kita tidak menafikan, ada pasangan sudah lama berkahwin sebahagiannya turut berakhir dengan perceraian, tetapi bilangannya kecil berbanding pasangan muda. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merekodkan 949 perceraian berlaku antara Januari hingga Disember tahun lalu membabitkan pasangan muda berusia antara 26 hingga 30 tahun.
Berkahwin pada usia terlalu muda, tanpa persediaan fizikal dan mental mencukupi menyebabkan mereka gagal mengemudi bahtera rumah tangga dengan sempurna. Ramai yang memilih jalan mudah bagi meleraikan kekusutan rumah tangga menerusi perceraian, walaupun mereka tahu ia amat bercanggah dengan tuntutan agama Islam.
Pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah kelmarin mendedahkan antara faktor utama peningkatan kes perceraian pasangan muda ini kerana hubungan cinta tidak direstui ibu bapa serta kurang didikan agama. Kebanyakan pasangan muda tidak bersedia sepenuhnya untuk mendirikan rumah tangga menyebabkan mereka kurang matang membezakan kewajaran tindakan mereka itu.
parents Wujudkan modul khas keluarga bahagia elak pasangan muda bercerai
Berdasarkan kajian yang dijalankan Dr Fadzilah, sebanyak 80 peratus pasangan muda yang berkahwin melafazkan perceraian berikutan hubungan dihalang keluarga, malah ia menyebabkan punca pertengkaran pasangan. Manakala, 65 peratus pasangan muda lagi bercerai disebabkan asas pendidikan agama yang longgar seperti tidak bersolat, tiada pegangan agama yang betul dan kurang pengetahuan dalam membentuk keluarga berasaskan ajaran Islam.
Tentunya, ada 1,001 macam alasan mengapa perceraian berlaku. Dengan perkembangan teknologi terkini membolehkan pasangan melafazkan cerai lebih mudah seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), internet, e-mel, laman web sosial dan sebagainya. Pernyataan lafaz cerai melalui SMS, meskipun sah mengikut hukum syarak, akan timbul pula isu lain iaitu membabitkan kesahihan si pengirim yang boleh dipertikaikan.
Namun, undang-undang negara berhubung perceraian pasangan Islam adalah jelas, seperti termaktub dalam Akta Keluarga Islam yang diselaraskan di seluruh negara, sesiapa yang melafaz cerai tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, boleh dikenakan tindakan undang-undang. Walaupun jodoh, ajal dan rezeki seseorang itu ditakdirkan Allah SWT, namun manusia perlu berusaha untuk menanganinya agar tidak berlaku perceraian.
Pelbagai kursus perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam negeri dan agensi berkaitan, perlu dimantapkan lagi bagi mengurangkan kes perceraian terutama di kalangan pasangan muda. Kita percaya tempoh dua atau tiga hari berkursus tentunya tidak mencukupi untuk mengharungi kehidupan sebenar berumah tangga.
Oleh itu, satu modul khas keluarga bahagia perlu dibentuk dan diperkemaskan lagi agar menepati situasi kehidupan pasangan muda masa kini. Apa yang kita mahu pengisian dalam sesuatu kursus itu harus menepati kehendak pasangan muda agar mereka lebih sedar akan tanggungjawab selepas berkahwin. Berkahwin bukanlah untuk sehari dua atau bertujuan melepaskan nafsu serakah semata-mata. Ini bermakna mereka tidak boleh sewenang-sewenang melafazkan perkataan cerai terhadap pasangan masing-masing.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More