Friday 19 August 2011

Ibu Tunggal: Semua Pihak Perlu Lebih Bertanggungjawab







Fenomena ibu tunggal bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadi satu topik yang mengundang perbincangan bila kita bercakap tentang wanita dan keluarga. Mungkin kerana persatuan ibu tunggal yang kini tumbuh seperti cendawan menyebabkan kesukaran yang dialami oleh golongan ini dapat diketengahkan dengan cara yang lebih berkesan. Tambah pula, cabaran masa kini yang begitu kuat menyebabkan masalah mereka menjadi semakin meruncing.
Baru-baru ini kita didedahkan kepada bilangan ibu tunggal yang begitu ramai. Walaupun kini angka tersebut diragui, yang nyata, bilangan ibu tunggal meningkat dari sehari ke sehari. Fenomena ibu tunggal ini tidak hanya memberi kesan kepada wanita yang berbabit, tetapi juga kepada anak-anak yang di bawah jagaannya. Oleh itu, sewajarnyalah keluarga ini dibantu untuk menghadapi segala cabaran yang melanda.
Ibu tunggal adalah wanita yang berseorangan tanpa suami dan bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan menjalankan dwifungsi iaitu sebagai penyara dan pengurus keluarganya. Ia meliputi mereka yang mendapat anak tanpa pernikahan yang sah dan mendidiknya bersendirian, isteri yang telah berpisah dengan suami dan menjaga anak-anak setelah ditinggalkan dan isteri yang bercerai hidup atau mati dan tinggal dengan anak-anaknya bersendirian.
Ada ibu tunggal yang menyara dan menndidik keluarganya secara bersendirian. Malah, majoriti ibu tunggal membentuk corak keluarga yang sebegini, sama ada yang bergaji besar atau kecil. Bagi yang bergaji besar, mungkin mereka tidak mempunyai banyak masalah tetapi bagi yang bergaji kecil, berbagai masalah yang mereka alami. Ada juga ibu tunggal yang meninggalkan anak kepada ibubapa atau saudara-mara untuk dipelihara. Tujuannya ialah untuk memudahkannya keluar bekerja mencari nafkah untuk anak-anak. Namun, satu fenomena yang kurang mendapat perhatian dalam masyarakat kita ialah fenomena yang dikenali sebagai ibu atau bapa titular di mana seorang anak terpaksa memainkan peranan ibubapa kerana ibubapanya meninggal dunia atau bermasalah seperti kerap mabuk atau mengambil dadah. Ini kadangkala kita temui terutamanya dalam akhbar harian bila mana kedua ibubapa terkorban dalam kemalangan atau kedua ibubapa mengabaikan anak-anak tersebut. Walaupun ibu tunggal di Malaysia lebih kepada dua bentuk yang awal, fenomena ibu atau bapa titular ini juga memerlukan perhatian kita.
Seperti mana yang kita tahu, golongan ibu tunggal menghadapi berbagai masalah. Ia meliputi masalah stigma, konflik peranan, ekonomi, emosi, hubungan dengan anak-anak, dengan mahkamah dan bekas suami.
Stigma atau anggapan buruk masyarakat terhadap mereka yang bergelar janda merupakan hambatan mental yang terbesar untuk mereka bergerak bebas dalam masyarakat. Pengambilalihan tugas-tugas suami di samping melaksanakan tugas yang sedia ada sebagai ibu, seringkali menimbulkan konflik peranan kepada golongan ini, sedangkan sokongan bagi mereka, baik dari segi kewangan, mahupun emosi, amat sedikit sekali.
Masalah ekonomi merupakan cabaran utama golongan ibu tunggal. Bagi isteri yang selama ini merupakan suri rumahtangga, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka memasuki pasaran buruh. Keadaan menjadi lebih buruk jika mereka tiada kelayakan yang sesuai. Sekiranya mereka mendapat kerja, siapa pula yang akan menjaga anak-anak mereka? Masalah penjagaan anak ini perlu diselesaikan, mungkin dengan menghantar mereka untuk dijaga oleh orang lain � yang juga memerlukan perbelanjaan. Makanya, untuk menyelesaikan masalah ini ramai ibu tunggal yang memilih untuk bekerja atau berniaga sendiri.
Sebagai pencari rezeki yang tunggal, majoriti ibu tunggal berpendapatan kecil. Sumber kewangan yang terhad menghadkan pilihan mereka. Ini tergambar dalam keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa. Itu belum dikira keperluan lain seperti makanan dan pakaian. Ini menyebabkan golongan ini hanya mampu menikmati kualiti hidup yang rendah.
Dari segi emosi pula, bagi ibu tunggal yang kematian suami, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan kehilangan suami yang memberi maksud, kehilangan orang yang dicintai, tempat bergantung, teman suka dan duka. Bagi yang bercerai hidup, mereka juga terpaksa menerima �ketiadaan� itu. Dalam menghadapi kehilangan ini, mereka terpaksa memainkan peranan suami yang telah tiada. Stigma yang dikenakan kepada mereka pula memburukkan lagi keadaan.
Jika ibubapa dalam keluarga normal sering berhadapan dengan masalah dalam hubungan dengan anak-anak, ibu tunggal lebih-lebih lagi. Ibu tunggal yang merasa bersalah kerana perceraian yang berlaku menyebabkan anak-anaknya tidak mendapat kasih sayang dari bapa, mungkin memanjakan anak-anak dengan kemewahan sehingga akhirnya mereka tidak dapat dikawal lagi. Ibu tunggal yang terlalu marah dengan bekas suami pula, mungkin akan melepaskan kemarahan itu kepada anak-anaknya. Ada juga ibu tunggal yang terlalu mengawal anak-anaknya atau memberi mereka tanggungjawab-tanggungjawab yang tidak sesuai dengan umur mereka kerana mahu melahirkan anak-anak yang sempurna. Ada juga ibu tunggal yang mendera anak kerana tekanan yang dihadapi berpunca dari kesempitan hidup yang dialami. Semua ini memberi kesan yang buruk kepada anak-anak dan hubungan antara keduanya.
Anak-anak juga memiliki masalah mereka sendiri. Ada anak-anak yang merasa bersalah kerana menyangka diri mereka yang menyebabkan perceraian tersebut. Ramai juga di kalangan mereka yang mempunyai masalah tingkah laku dan emosi akibat kurangnya pengawasan. Ada juga yang mengalami masalah sahsiah kerana tiadanya role model dari jantina yang sama (biasanya anak lelaki bermasalah dalam menjalankan peranan lelaki kerana tiadanya bapa yang boleh dicontohi).
Bagi ibu tunggal akibat perceraian, tidak kurang yang menghadapi masalah dalam berurusan dengan Mahkamah Syariah. Mereka mengakui sering dipersendakan, tidak dilayan dengan adil, terpaksa berulang-alik ke Mahkamah untuk menyelesaikan kes dan seumpamanya. Pihak Mahkamah pula mengatakan wanita-wanita ini tidak tahu undang-undang serta prosedur mahkamah dan tidak tahu hak mereka. Majoriti dari mereka ini juga menghadapi masalah dengan bekas suami yang enggan bekerjasama terutamanya dalam hal memberi nafkah untuk anak-anak yang sebenarnya merupakan tanggungjawab mereka.
Memang benar, masalah-masalah ini juga melanda keluarga yang normal. Tetapi, berbeza dari keluarga normal di mana segala masalah dihadapi bersama antara ibu dan bapa, ibu tunggal menghadapinya bersendirian. Itulah sebabnya kita amat mengagumi ibu tunggal yang berjaya membina keluarga dan mendidik anak-anaknya sehingga berjaya.
Kesukaran yang dialami oleh golongan ibu tunggal ini mendapat simpati dari berbagai pihak, baik pihak kerajaan, mahupun swasta. Mereka telah memberi berbagai bantuan, baik dari segi kewangan mahupun sosial, bagi meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu tunggal dan keluarga mereka.
Bantuan kewangan mungkin berbentuk wang atau barangan secara bulanan untuk memenuhi keperluan keluarga tersebut. Ia mungkin juga dalam bentuk modal bagi memulakan sesuatu perniagaan. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) misalnya, membantu ramai ibu tunggal dari keluarga miskin dengan meminjamkan wang untuk dijadikan modal asas perniagaan.
Bantuan sosial juga berlaku dalam berbagai bentuk. Satu daripadanya ialah pemberian pengetahuan, latihan dan kemahiran bagi membolehkan ibu tunggal memulakan perniagaan mereka dan berdikari. Pengetahuan tentang selok-belok perniagaan, misalnya, boleh dimanfaatkan oleh mereka. Kemahiran kerja tangan, memasak, menggubah dan mengandam pula boleh dijadikan aset untuk mereka memulakan perniagaan. Bagi mengatasi masalah penjagaan anak bila ibu keluar bekerja, ibu tunggal boleh diberi pendedahan, pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan komputer agar mereka boleh memulakan perniagaan atau bekerja sendiri dengan konsep Small Office Home Office (SOHO). Konsep perniagaan yang semakin terkenal ini membolehkan wanita mengendalikan perniagaan dari rumah dengan memberikan khidmat seperti menaip, penyajian makanan, mengedar kuih-muih dan seumpamanya.
Termasuk juga dalam bantuan sosial ini pendedahan dan kesedaran undang-undang demi mendapatkan hak mereka terutamanya dalam kes perceraian yang tertangguh atau untuk mendapatkan nafkah anak. Selain itu, kemahiran keibubapaan dan sokongan moral juga diberi untuk menguatkan semangat mereka menghadapi segala cabaran yang mendatang.
Banyak badan-badan yang memberi tumpuan kepada bantuan sosial seperti ini misalnya Pusat Khidmat Wanita, Sekretariat PINTAS, persatuan ibu tunggal dan sebagainya dan ramai ibu tunggal yang telah mendapat manfaat dari bantuan-bantuan ini. Namun, saya merasakan selain bantuan kewangan dan sosial, ibu tunggal juga memerlukan bantuan lain seperti kekuatan dalaman untuk mengharungi cabaran, sokongan dari keluarga, kefahaman tentang realiti ibu tunggal dari pihak mahkamah dan bantuan dari ahli masyarakat keseluruhannya.
Apa yang saya maksudkan dengan kekuatan dalaman ialah semangat yang kental dan tabah dalam menghadapi cabaran sebagai ibu tunggal. Yang paling utama ialah menerima qadha dan qadar Allah dengan penuh yakin bahawa jodoh pertemuan, ajal maut adalah di tangan Allah. Dengan cara ini, kita dapat menerima takdir dengan hati yang terbuka dan bukannya menganggap diri sebagai mangsa. Kedua, ingat janji Allah bahawa Allah tidak akan membebani kita lebih dari apa yang mampu kita tanggung. Jadi, percayalah, akan ada yang membantu dan jangan putus harap dengan rahmat Allah.
Ketiga, ingatkan kesukaran dan kesusahan ibu-ibu tunggal yang terdahulu dan belajar dari kecekalan dan ketabahan mereka. Siti Hajar misalnya, ditinggalkan bersendirian dengan anak kecil di gurun yang tandus dan tidak berpenghuni. Siti Maryam terpaksa menjawab kepada kaumnya tentang kandungan yang wujud tanpa suami dan bersendirian melalui proses mengandung dan melahirkan, kemudian membawa pulang anak itu dan menghadapi cemuhan kaumnya. Siti Aminah pula kehilangan suami ketika anaknya masih dalam kandungan. Wanita-wanita ini redha dan pasrah dan tidak pernah menjadikan takdir yang menimpa itu sebagai halangan untuk mereka membesarkan anak-anak tadi. Malah, anak-anak itu membesar menjadi Nabi-nabi agung kepada umat manusia. Jika kisah-kisah ini tidak cukup kuat untuk memberi semangat kerana adanya campurtangan Tuhan, belajarlah dari ketabahan dan pengorbanan ibu-ibu mithali di Malaysia sendiri yang kebanyakannya membesarkan anak bersendirian.
Akhir sekali, yang tidak kurang pentingnya dalam hal kekuatan dalaman ini ialah janji Tuhan bahawa Ia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Jadi, usaha itu amat penting. Kini, berbagai kemudahan ada di luar sana, manfaatkanlah segala bantuan ini demi masa depan keluarga anda.
Berkaitan dengan kekuatan dalaman juga ialah kekuatan untuk menghadapi anggapan buruk masyarakat. Untuk mengelakkan diri dari dicemuh, ibu tunggal perlu memastikan mereka tidak seperti yang dianggapkan itu. Untuk itu, ibu tunggal perlu berusaha lebih kuat untuk menjaga kehormatan dirinya dan menjauhi fitnah dan umpat keji masyarakat. Sebenarnya, inilah yang dituntut oleh Islam dari semua penganutnya (al-Mukminun: 1 - 10) tetapi oleh kerana cabaran begitu kuat terhadap ibu tunggal, merekalah yang lebih perlu lagi melaksanakannya.
Berkaitan dengan bantuan kepada ibu tunggal ini, amat kurang sekali disebut tentang peranan keluarga sedangkan keluarga memainkan peranan utama untuk memastikan kesejahteraan ahlinya. Dalam bersedekah pun, kita digalakkan untuk bersedekah kepada keluarga dahulu diikuti dengan kaum kerabat, dan kemudiannya di luar ruang lingkup keluarga itu yakni masyarakat. Tetapi dalam hal ibu tunggal ini seolah-olah orang luar yang lebih dahulu menghulurkan bantuan berbanding keluarga sendiri. Apa sebenarnya yang berlaku?
Keluarga yang saya maksudkan termasuklah bekas suami (bapa kepada anak-anak tersebut), keluarga asal ibu tunggal itu dan keluarga asal bekas suami. Kesemua yang terlibat ini merupakan orang-orang yang wajib bertanggungjawab terhadap ibu tunggal dan anak-anaknya. Apa yang berlaku dalam masyarakat kini ialah keluarga seolah-olah tidak memperdulikan tanggungjawab ini. Jika masalahnya ialah wang ringgit, ibu tunggal dan anak-anaknya memerlukan bukan sahaja wang ringgit, tetapi yang lebih penting lagi ialah sokongan non-material. Jadi, apa lagi alasan yang ingin diberikan?
Dalam konteks keluarga, beberapa bentuk pembelaan terhadap ibu tunggal telah dituntut oleh Islam. Yang paling utama ialah tuntutan bahawa nafkah anak di dalam peliharaan ibu adalah tanggungjawab suami sehingga anak itu dewasa. Bagi yang kematian suami, waris suami perlu menanggung tanggungjawab tersebut. Ini jelas disebutkan dalam ayat 233, Surah al-Baqarah. Jadi, sebenarnya ibu tunggal tidak perlu bersusah-payah mencari nafkah untuk membesarkan anak-anaknya kerana itu adalah tangungjawab bekas suami atau keluarganya. Malah, disebutkan dalam ayat tersebut, ��janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya �� Tidakkah larangan ini menakutkan kita? Kalau sekadar untuk menanggung hidup sendiri, ibu tunggal tidak perlu bersusah payah seperti yang dialami oleh kebanyakan ibu tunggal dewasa ini.
Oleh itu, perlu ditanamkan kesedaran yang mendalam pada diri para suami tentang tanggungjawab ini bila berlaku perceraian. Kesedaran ini perlu begitu mendalam seperti dalamnya fahaman mereka bahawa mereka perlu memberhentikan kereta apabila lampu merah bernyala. Penalti yang dikenakan apabila engkar memberi nafkah hendaklah dilaksanakan dengan berkesan. Dan sepatutnya, bila lelaki ini memohon untuk berkahwin dengan perempuan lain, pastikan dahulu tanggungjawab mereka terhadap tanggungjawab yang sedia ada telah dilaksanakan dengan sempurna. Patutkah mereka dibenarkan berkahwin baru (dengan segala tanggungjawab baru) sedangkan tanggungjawab sedia ada tidak mampu dilaksanakan?
Selain itu, para balu berhak mewarisi harta peninggalan suami (4:12). Anak-anak pula ada bahagian mereka sendiri yang boleh digunakan untuk keperluan membesarkan mereka (4:11). Jika tiada harta yang ditinggalkan, menjadi tanggungjawab waris si suami untuk menanggung nafkah anak-anaknya (2:233). Tidakkah ini diamalkan dalam keluarga ibu tunggal di negara ini?
Dalam konteks keluarga juga, Islam menggalakkan amalan hubungan kekerabatan dalam keluarga meluas (extended family). Anjuran ini jika dilaksanakan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal ini. Dengan ikatan kekeluargaan yang kuat, ibu tunggal boleh kembali ke pangkuan keluarga asal bagi mendapatkan bantuan, baik dalam bentuk sokongan moral, tempat tinggal, bantuan kewangan mahupun perlindungan. Keluarga ini juga dapat membantu ibu tunggal menjaga anak mereka semasa mereka keluar bekerja. Selain itu, keluarga juga dapat membantu mendisiplinkan anak dan mengurangkan masalah hubungan antara keduanya. Kehadiran lelaki dewasa lain dalam keluarga meluas itu memberikan anak-anak lelaki role model lelaki dewasa untuk dicontohi.
Konsep keluarga meluas ini memang boleh membantu ibu tunggal dan ia terbukti dalam sejarah. Sejarah hidup Rasulullah s.a.w. sendiri mengajar kita bagaimana pentingnya hubungan keluarga meluas dalam berhadapan dengan isu ibu tunggal ini. Ikatan kekeluargaan yang kuat di zaman jahiliyyah menyebabkan isu ibu tunggal bukanlah satu masalah bagi mereka. Bonda Rasulullah s.a.w. sendiri, Siti Aminah, yang menjadi balu semasa mengandungkan Baginda, kembali kepada keluarganya dan merekalah yang memenuhi segala keperluan emosi dan fizikalnya. Begitu juga bila Rasulullah s.a.w. menjadi yatim piatu tidak lama selepas itu, Baginda dipelihara oleh pakciknya (sebelah bapa) dengan begitu bertanggungjawab sekali.
Ternyata keluarga bekas suami juga ada peranan yang boleh dimainkan dan bukannya hanya berdiam diri seolah-olah hubungan itu terputus dengan terlerainya ikatan perkahwinan itu. Jikapun tidak dapat membantu secara kewangan dan fizikal, sekurang-kurangnya mengingatkan anak lelaki mereka tentang tanggungjawab memberi nafkah.
Dalam konteks masyarakat pula, poligami digalakkan untuk memelihara nasib para balu dan janda serta anak-anak mereka. Ahli masyarakat juga digalakkan menghulurkan bantuan kepada golongan ini. Baitulmal mungkin boleh memikirkan bentuk-bentuk bantuan yang mungkin diberi � terutamanya untuk membantu mereka memulakan hidup baru seperti memulakan perniagaan misalnya, dan bukan untuk menanggung mereka sepanjang hayat. Anak-anak yatim pula berhak mendapat zakat. Ini adalah saluran-saluran dalam masyarakat yang dapat mengurangkan beban ibu tunggal dan keluarganya.
Dalam sejarah Islam sendiri kita dapati masyarakat digerakkan untuk membantu ibu tunggal di ketika itu. Misalnya, untuk mengatasi masalah ibu tunggal selepas peperangan, poligami digalakkan oleh Rasulullah. Begitu juga sedekah amat digalakkan kepada para janda dan anak yatim di samping memberikan layanan yang baik kepada mereka.
Tidak bolehkah penyelesaian Islam ini kita gunakan di masa sekarang untuk mengurangkan beban golongan ibu tunggal ini? Bukankah dengan mengurangkan beban orang lain, Allah akan mengurangkan beban kita di akhirat kelak?
Pihak mahkamah pula diharap dapat memahami realiti yang dihadapi oleh ibu tunggal. Bukankah soal nafkah ini penting dan perlu diselesaikan segera? Kalau keputusan tentangnya boleh ditangguh (atas apa sebab sekalipun), bolehkah seorang ibu itu menangguhkan menyuap makanan untuk anak-anaknya? Dalam bandar besar seperti Kuala Lumpur, mencukupikah nafkah RM50 sebulan untuk seorang anak? Jika suami mengatakan itu sahaja yang mampu diberinya kerana ada anak lain dengan isteri baru, cukupkah penjelasan itu bagi pihak mahkamah untuk berpuashati dengan jumlah tersebut? Bukankah kalau lebih tanggungjawab, seorang bapa itu perlu lebih berusaha? Ataukah pihak Mahkamah, berpegang kepada ayat �� janganlah menjadikan seseorang bapa itu menderita kerana anaknya�� ? Maka, atas dasar itu, bapa boleh melahirkan seramai mana anak yang dia mahu, tetapi dari segi nafkah, mana yang mampu sahaja diberikan? Apakah itu mesej yang ingin disampaikan oleh mahkamah kepada sekalian ahli masyarakat? Jadi, di samping memikirkan `kesusahan seorang lelaki tanpa isteri�, pihak mahkamah perlu juga memahami penderitaan ibu tunggal yang bukan sahaja tiada suami, tetapi juga terpaksa menyara anak-anaknya.
Banci di Amerika Syarikat menunjukkan pada tahun 1960 hanya 9 peratus sahaja anak-anak yang di bawah umur 18 tahun tinggal bersama ibu atau bapa tunggal. Tetapi peratusan ini meningkat kepada 25 peratus dalam tahun 1990. Peningkatan sebanyak 14 peratus dalam masa 30 tahun ini amat membimbangkan. Dalam tempoh yang sama, peratusan anak yang tinggal dengan ibu tunggal yang tidak pernah berkahwin meningkat dari 4 peratus kepada 31 peratus. Melihat kepada perkembangan masyarakat di sana, pengkaji masyarakatnya menjangkakan peratusan ini tidak akan berkurang di masa yang akan datang.
Apakah kita mahu keadaan yang sama berlaku di Malaysia? Memang, jodoh pertemuan ajal maut adalah di tangan Tuhan, tetapi apakah tidak mungkin, sekiranya kita meletakkan rasa tanggungjawab yang lebih dalam diri semua pihak, baik para suami dan isteri, keluarga mereka dan masyarakat, keadaan tidak menjadi seburuk ini. Sekiranya perceraian berlaku sekalipun, para suami yang menyedari tentang tanggungjawabnya, tidak akan mengabaikan anak-anaknya. Dengan rasa tanggungjawab ini juga, keluarga suami pula boleh memastikan anak lelaki mereka itu bertanggungjawab ke atas anak-anaknya dengan bekas isteri tersebut. Jadi, tiadalah suami yang lebih bersemangat untuk membina keluarga baru, dengan segala tangungjawab baru dan tidaklah keluarga suami mengambil sikap lepas tangan dalam hal ini. Keluarga asal isteri pula, tidaklah seperti `enau yang melepaskan pucuk masing-masing� manakala masyarakat pula tidak hanya `menabur garam ke atas luka�.
Dalam usaha kita untuk mengurangkan bilangan keluarga ibu tunggal, ada gerakan dalam masyarakat Malaysia sejak akhir-akhir ini yang menuntut dihapuskan diskriminasi terhadap wanita yang mempunyai anak di luar nikah. Menurut mereka, seseorang wanita itu tidak perlu didiskriminasikan hanya kerana dia melahirkan anak di luar nikah. Perkembangan seperti ini perlu merisaukan kita kerana ia boleh menyumbang kepada peningkatan bilangan keluarga ibu tunggal. Ya, saya juga tidak bersetuju jika mereka dihina dan dianggap sebagai sampah masyarakat, tetapi gerakan ke arah mempunyai sikap yang lebih liberal terhadap fenomena seumpama ini, bagi saya tidak sihat untuk perkembangan masyarakat kita. Biarlah kita dengan sikap konservatif kita dalam mempertahan nilai dan budaya masyarakat setempat daripada bersikap liberal sehingga memberikan mesej yang salah kepada ahli masyarakat di luar sana.
Golongan ibu tunggal memang patut dibantu tetapi di masa yang sama, segala usaha hendaklah diambil supaya orang-orang yang bertanggungjawab terhadap mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut. Begitu juga, tumpuan hendaklah diberikan kepada usaha ke arah mengurangkan bilangan keluarga ibu tunggal dan bukan sebaliknya. Namun, saya terfikir, mungkinkah dengan adanya sedemikian banyak agensi sokongan ini nanti membuatkan wanita lebih berani menjadi ibu tunggal daripada membaiki perkahwinan mereka? Begitu juga, mungkinkah dengan adanya agensi sokongan ini kaum lelaki lebih ramai bersikap lepas tangan dari melaksanakan tanggungjawab mereka? Sama-samalah kita fikirkan kedua-dua soalan ini.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More