Friday 19 August 2011

Berkat usaha ibu tunggal





Seorang wanita tidak menyangka kerepek pisang yang diusahakan di sebuah bengkel kecil di hadapan rumah sejak tujuh tahun lalu berjaya, malah kini dijual di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R).

Rusilawati Arshad, 48, berkata, tempahan dari dua kawasan R&R iaitu Tapah dan Rawang yang baru diterimanya sebulan lalu menjadi penyuntik semangat kepadanya untuk terus berusaha memajukan diri ke peringkat yang lebih tinggi.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam produk Industri Kecil Sederhana (IKS) kerepek, Rusilawati berkata, dia mengambil keputusan menceburi bidang IKS ketika bergelar ibu tunggal dan menyara seorang anaknya pada 2004.



Ahli keluarga cadang jual kerepek pisang



Katanya, ketika itu dia keliru untuk mencari jenis produk yang ingin dikembangkan dan dipasarkan untuk menambah pendapatan tetapi mujur ahli keluarga memberi jalan supaya menjual kerepek pisang.

“Banyak produk yang saya ingin cuba pasarkan tetapi kebanyakannya sudah diusahakan rakan-rakan dalam Peladang Nita di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong, di sini.

“Sehinggalah ahli keluarga menasihatkan untuk saya mengkomersialkan kerepek pisang memandangkan keluarga ada mempunyai kebun pisang dan bahan mentah pisang boleh diambil dari situ,” katanya ketika ditemui di bengkel kerepeknya di Kampung Nesam, di sini.

Pembinaan bengkel itu ditanggung Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan beberapa peralatan dan mesin di situ sebahagian besarnya adalah hasil sumbangan Pejabat Pembangunan Wanita (PPW) Perlis dan LPP.

Rosilawati Mei lalu turut menerima bantuan RM5,000 dari PPW untuk membeli mesin uli tepung dan beberapa perkakas memasak yang diperlukannya untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Menurutnya, jika sebelum ini dia hanya memasarkan satu jenis kerepek pisang, tetapi kini permintaan terhadap kerepeknya semakin meningkat sehingga dia mempelajari lagi beberapa jenis kerepek pelbagai perasa.



Kembangkan perniagaan



Antara kerepek yang paling mendapat sambutan ialah kerepek pisang berempah di samping kerepek pisang manis dan kerepek pisang masin. Selain mengikuti kursus pembuatan di Perlis, Rosilawati turut mengikuti kursus-kursus anjuran PPK di Kuala Lumpur dan Johor untuk memahirkan lagi diri.

Katanya, ketika musim perayaan dia memproses sehingga 500 kilogram pisang sebulan. Banyak tempahan yang diterima dari Perlis dan luar negeri terutama tempahan dari pengusaha inap desa dan peniaga makanan.

“Homestay Ujung Bukit kerap buat tempahan. Mereka jadikan kerepek saya sebagai hamper dan buah tangan kepada pelancong yang menginap di sana.

“Selain itu, pengusaha makanan dan individu turut membuat tempahan untuk dijadikan hidangan pada hari perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Katanya, setiap musim perayaan dia menggaji empat pekerja yang terdiri dari penduduk kampung di situ.

Selain membantu perniagaannya, pekerja yang digaji itu juga memperoleh pendapatan untuk menyara keluarga masing-masing.

“Selalunya, pekerja di sini adalah pekerja yang tetap setiap tahun. Cuma saya hanya menggaji mereka pada musim-musim tertentu sekiranya tempahan meningkat,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai pemasar terbanyak produk IKS Perlis pada 2007 yang lalu.

Rosilawati berkata, setiap wanita boleh berjaya sekiranya kreatif dan mempunyai daya usaha yang tinggi.

Selain kerepek, Rusilawati turut menghasilkan kuih-kuih tradisional, mengambil tempahan menjahit pakaian dan menjahit manik.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More