Wednesday 16 May 2012

Memahami identiti dan kecelaruan remaja


Banyak gejala yang merisaukan mengenai identiti sebahagian remaja kini. Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu-isu perjuangan ke arah membangun negara, cenderung mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat.
Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi yang menghimpit, kecenderungan sebahagian remaja terjebak dalam zon selesa mengheret mereka ke arah kerosakan diri, terjebak dengan kemelut sosial yang merisaukan dan terpengaruh dengan pemikiran hedonistik serta alpa kepada tanggungjawab menuntut ilmu.

Lebih ekstrem lagi apabila remaja terjebak dengan kegiatan yang menyesatkan, ketagihan dadah, rokok dan arak yang membimbangkan serta kegiatan jenayah yang membimbangkan.
Lalu, adakah imej yang sedang melanda remaja kini berakibat daripada ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan hingga menyebabkan remaja menjadi mangsanya? Adakah ia akibat dari kealpaan masyarakat terhadap peranan mendidik, memberikan pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara diterjemahkan secara bijaksana dan strategik kepada mereka?

Identiti dan kecelaruan

Isu identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej atau personaliti. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan perilakunya tetapi dihubungkan dengan cara berfikir, aliran kegiatan dan dikaitkan dengan potensi hari depan.

Lebih dalam lagi, identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepimpinan dan kepengikutan yang bakal mewarisi kepimpinan dan kepengikutan negara, sama ada remaja menjadi pendukung idealisme bina-negara atau menjadi liabiliti kepada masyarakat.

Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman atau hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan.

Lebih menyedihkan lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola yang bukan fitrah sifatnya dan mengagungkan proses pembaratan secara melulu. Sehingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Adalah tidak adil jika menganggap semua remaja terjebak dengan masalah kecelaruan ini. Namun, asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk membina rasa bimbang dan resah, iaitu:

1) Gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan; yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjauhkan daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej kehilangan arah.

2) Makna maju dan moden tidak berjalan dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berpoya-poya (hedonistik)..

3) Hilangnya rasa hormat dan adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru-guru malah masyarakat.

Punca kecelaruan remaja

Banyak sebab mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah zaman yang amat kritikal dalam hidup seseorang manusia. Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan, bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.

Membentuk imej, watak dan tingkahlaku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini, antaranya:

1) Kecelaruan bermula apabila rumahtangga dan keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak-anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan.

Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak-anak. Ramai anak-anak yang mengalami ‘keciciran’ sejak di awal umur lagi.

2) Ibu bapa tidak mempunyai ilmu dan keterampilan keibubapaan yang berkesan dalam mendidik anak-anak, iaitu tidak memahami proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan emosi mereka dan hubungkaitnya dengan tingkahlaku.

Akibatnya wujud kelompangan di hati dan minda anak-anak. Akhirnya anak-anak membentuk minda, hati dan tingkahlaku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitar.

3) Sekolah banyak berperanan menyediakan anak-anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku.

Berlakulah ‘keciciran’ kedua di kalangan anak-anak. Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik di tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula.

4) Masyarakat tidak menyediakan suasana yang kondusif bagi remaja membentuk diri dan peribadinya ke arah peka masyarakat dan peka sekeliling secara positif. Sebahagian remaja terlibat dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan-kegiatan negatif dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan yang bebas.

5) Isu-isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa pendekatan mendidik dan ilmiah hingga menyebabkan sumber rujukan remaja menjadi bercelaru. Ada isu-isu bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka dan ada yang perlu dibincangkan di kalangan yang berkeahlian.
Polemik yang tidak sihat boleh mempengaruhi remaja yang sedang mencari-cari identiti diri dan sumber pengetahuan yang meyakinkan.

Merawat Kecelaruan

Ibu bapa boleh berperanan dalam:

* Membantu remaja dalam proses pembentukan diri. Memautkan hati remaja kepada asas agama adalah perkara pokok yang harus dilakukan oleh ibu bapa untuk menjadikan anak mereka kental dan mempunyai pertimbangan yang baik terhadap cabaran yang dihadapi masa kini.

*Memberi masa berkualiti kepada anak-anak supaya mereka mempunyai sumber rujukan yang dekat dan benar serta sokongan moral yang padu.

* Memberi panduan terhadap anak-anak akan kepincangan masyarakat dan berkongsi masalah dan cara-cara mengelakkan daripada terjebak dalam permasalahan sosial.

Remaja sendiri pula amat berperanan dalam menuntut ilmu, duniawi mahupun ilmu ukhrawi. Ilmu duniawi amat penting untuk menghadapi arus kemajuan dan pembangunan yang dihadapi, manakala ilmu agama amat penting untuk mengimbangi unsur-unsur atau cabaran yang datang seiring dengan kemajuan.

Berkongsi masalah dan kecelaruan dengan ibu bapa bukan sahaja membantu diri, malah juga membantu ibu bapa dalam memperbaiki keterampilan keibubapaan mereka.

Aspek ketiga yang sangat penting bagi mengurangkan kecelaruan kepada remaja ialah wujudnya simbiosis atau keserasian antara apa yang diajar di rumah dan di sekolah diterjemah baik di dalam masyarakat dan sistem.

Pengaruh sekitar dalam konteks masyarakat dan institusinya, sistem dan pendekatan pembangunannya harus selari dengan cita-cita baik keluarga dan pendidik. Ketika ini banyak masa terbazir kerana sesetengah pihak di luar sekolah tidak mengambil kira hasrat pendidik dan ibu bapa terhadap program-program di media elektronik dan bahan-bahan di media cetak hingga menyebabkan rangsangan-rangsangan negatif mudah menjebak jiwa remaja yang kosong dan berada dalam pencarian.

Kesimpulan
Islam mengambil pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Pencegahan dalam pengertian yang luas ialah usaha-usaha membina dan menyuburkan diri remaja supaya ada kesediaan yang baik untuk menghadapi zaman dewasa yang cabarannya adalah besar dan lebih kompleks.

Sekiranya remaja dipersiapkan dengan kesedaran, ilmu dan keterampilan yang baik menghadapi zaman dewasanya, pendekatan pencegahan sudah diambil kerana dari kekuatan diri, ilmu dan akhlak ia bakal menjadi benteng terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan kecelaruan.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More