Wednesday 16 May 2012

MENGURUSKAN DAN MEMAHAMI REMAJA DAN DIRI ANDA SEBAGAI IBU BAPA



Kemahiran Gaya Keibubapaan

Tanpa latihan mendidik anak, ibu bapa mungkin cenderung ke arah tindakan ekstrem
Sumber Ilustrasi : Dinkmeyer, D & Mc Kay, G.D. (1989)

Kemahiran gaya keibubapaan yang dipraktikkan oleh ibu bapa terhadap anak mereka secara
tidak langsung mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut. Berdasarkan kajian oleh
Diana Baumrind, beliau telah mengenalpasti tiga jenis  gaya keibubapaan yang utama dan
bentuk-bentuk tingkah laku yang terhasil  berdasarkan kepada setiap gaya keibubapaan ini
(Baumrind 1971; Baumrind & Black, 1967). Gaya keibubapaan yang dimaksudkan ialah:  

a) Gaya keibubapaan autoritatif: Ibu bapa autoritatif bersifat tegas namun sedia  mendengar
pandangan anak-anak mereka. Ibu bapa juga sedia bertolak ansur mengikut keadaan dan
anak-anak pula dididik dengan penuh kemesraan. Kesannya anak-anak dapat menikmati
kehidupan dan mempunyai motivasi yang tinggi. Ini adalah gaya keibubapaan yang terbaik.

b)  Gaya keibubapaan autoritarian: Ibu bapa sedemikian bersifat tidak bertolak ansur,
mengenakan kawalan yang ketat, menentukan peraturan keluarga yang perlu dipatuhi tanpa
membenarkan mereka mempersoalkannya, menggunakan kaedah disiplin yang bersifat
hukuman dan setiap keputusan yang dibuat oleh para ibu bapa tidak boleh dibantah.
Kesannya hubungan akan lebih renggang di antara ibu bapa dan anak-anak serta lebih untuk 
tidak mempercayai dan berpuas hati. Selain itu, kanak-kanak perempuan lebih bergantung 
kepada ibu bapa manakala kanak-kanak lelaki cenderung bersikap agresif.


c)  Gaya keibubapaan permisif: Ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak anak
mereka tanpa ada kawalan.Ibu bapa lebih kepada memenuhi keperluan anak-anak mereka.Mereka
juga tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara tingkah laku yang baikdan sebaliknya.Ibu bapa yang menggunakan cara gaya keibubapaan ini akan membentuk sifat kurang matang, kurang kawalan diri,kurang tanggungjawab  sosial dan kurang keyakinan diri pada anak-anak mereka.


Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan

Ibu Bapa Sebagai “Role Model”
Ibu bapa adalah “role model” untuk remaja. Remaja mempelajari secara berkesan melalui
peniruan dan pemerhatian. Bersikap negatif seperti panas baran, mendera, mementingkan diri 
dan memaki hamun memberi kesan psikologi remaja. Adalah tidak mustahil jika remaja
sendiri mempunyai sifat-sifat sedemikian memandangkan pengaruh yang diterima. 

Kenali Rakan Anak
Buangkan rasa malu atau ego untuk mengenali rakan-rakan anak anda.  Cara ini memberitahu
anda dengan siapa anak anda berkawan. Bonus kepada anda jika anda mengetahui seperti
nama, keluarga, tempat tinggal serta tingkah laku mereka. Jika perlu, luangkan masa lapang
anda seperti anda turut bersama hadir ke majlis rakan anak anda. Malah adalah tidak menjadi
suatu kesalahan bagi ibu bapa untuk menganggap rakan-rakan anak mereka seperti rakan
mereka sendiri. 

Sentiasa Berhubung Dengan Guru Anak Anda
Sentiasa berhubung dengan guru sekolah anak anda mengenai perkembangan anak. Cara ini
membolehkan guru akan memberitahu anda seawal mungkin jika anak anda dikesan
bermasalah.

Kualiti Masa 
Berbual kosong dengan anak sahaja adalah tidak memadai. Fikirkan bagaimana anda
memaksimakan masa bersama dengan anak itu benar-benar berkualiti. Misalnya sedia
mendengar apa jua ingin diberitahu oleh anak atau luangkan masa membantu anak dalam
apa-apa pun. Sara Gable (2000) berpendapat bahawa ibu bapa dan anak-anak yang sejahtera
sering berkomunikasi mengenai pelbagai perkara dan bukan hanya apabila wujudnya konflik.
Berbincang dan mencari penyelesaian bersama dapat mengatasi atau mengurangkan tekanan
yang dihadapi dan juga membina pertalian (bonding). 

Kebebasan Terkawal
Ibu bapa wajar menerapkan kebebasan yang terkawal ke atas anak-anak mereka. Kebebasan
yang diberikan patut tidak melampaui batas iaitu mempunyai had-had tertentu. Ini penting
penting bagi menjamin tidak timbul sebarang unsur-unsur negatif yang mempengaruhi
mereka. Misalnya anak anda  boleh keluar rumah bersama rakan tetapi perlu memahami akan
had-had yang perlu dipatuhi seperti berpakaian kemas, menjaga tingkah laku atau pulang
pada masa yang telah dipersetujui bersama. 

Bersikap Realistik
Pastikan anda bersikap realisik terhadap kemampuan anak anda seiring dengan
perkembangan umurnya. Ini penting agar anda tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi
atau tidak realistik. Ada ibu bapa terlalu mengharapkan anak mereka cemerlang dalam
bidang-bidang tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa menghiraukan akan kemahuan dan
kebolehan remaja itu sendiri. Harapan ibu bapa yang tidak realistik dikhuatiri boleh
menyumbang kepada tekanan ke atas anak-anak. Sewajarnya ibu bapa mengenalpasti akan
kebolehan, bakat dan kecenderungan anak mereka dan seterusnya memberi dorongan. Ini
adalah salah satu cara dalam memenuhi keperluan emosi anak-anak dan seterusnya penting 
dalam membantu meningkatkan harga diri mereka.  

Pengurusan Disiplin
Pengurusan disiplin yang salah boleh membawa implikasi kepada anak-anak  terutamanya dari
segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Menurut Maznah & Siti Nor (2002) disiplin sebenarnya
melibatkan langkah pencegahan dan pemulihan. Langkah pencegahan termasuklah
pengajaran dan latihan untuk membina kebolehan remaja serta penyediaan sempadan
bertingkah laku. Pemulihan pula bertujuan membetulkan salah laku remaja dan membantu
remaja supaya tidak mengulangi tingkah laku yang jelas bertentangan dengan norma
masyarakat dan agama. Linke (1994) bependapat disiplin yang lebih efektif ialah mengajar
apa yang perlu dibuat daripada apa yang tidak patut dibuat dan juga menerangkan limitasi
agar mereka berasa selamat dan terjamin. 

Peraturan sepatutnya diwujudkan sejak di peringkat awal lagi. Ini boleh dimulakan dengan
membuat peraturan-peraturan yang mudah. Dalam membentuk pengurusan disiplin,
perbincangan bersama ibu bapa dan anak-anak remaja perlu mengenai peraturan yang ingin 
ditetapkan. Sebagai remaja, mereka boleh berfikir secara rasional dan ini berfaedah lepada
mereka dalam proses membuat sesuatu keputusan (Teoh Hsien-Jin, 2003). 

Cara ini membolehkan wujudnya pertimbangan dan tolak ansur bagi menjalankan peraturan.
Remaja sendiri memahami dengan jelas maklumat dan matlamat peraturan yang
dilaksanakan. Ibu bapa juga perlu melaksanakan peraturan secara konsisten dan tidak
bersikap berat sebelah. Misalnya ibu bapa menetapkan peraturan itu perlu dipatuhi oleh
semua anaknya tanpa sebarang pengecualian terhadap seseorang itu sahaja. Dalam
mempraktikan disiplin juga, ibu bapa seharusnya memberi sokongan kepada remaja bukannya
mengkritik. Dalam hal ini kesilapan yang dilakukan oleh remaja itu perlu diterangkan dan
membincangkan bagaimana untuk memperbaikinya. Apa yang lebih penting ialah ibu bapa
melaksanakan disiplin dengan perasaan kasih sayang dan bukannya sebagai cara melepaskan
kemarahannya.

Beri Penghargaan
Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu usaha untuk menunjukan
kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat penghargaan terutamanya
daripada ibu bapa. Remaja akan berasa bahawa bakat atau kebolehan yang dipamerkan itu
mendapat perhatian dan dihargai. Penghargaan yang diberikan akan memberikan semangat
dan inspirasi untuk remaja melakukan yang terbaik.

Pendidikan Seks
Ibu bapa perlu prihatin atau peka dengan perkembangan biologi remaja. Ini kerana adalah
normal untuk remaja mempunyai perasaan ingin tahu mengenai seks. Mereka perlu
memberitahu remaja perkara yang sewajarnya daripada daripada remaja itu sendiri mendapat
maklumat daripada sumber yang kurang tepat. Sikap malu atau berpegang kepada
kepercayaan tradisi bahawa membicarakan mengenai seks secara terbuka dengan anak-anak
mereka adalah kepercayaan lapuk. Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran di mana remaja
berasa selesa untuk berbincang mengenainya. Ini dapat memberitahu remaja maklumat yang
betul seperti risiko hamil tanpa nikah, risiko melakukan seks bebas dan penyakit-penyakit
berbahaya seperti AIDS dan HIV.  Selain itu, ini  memberi peluang kepada ibu bapa untuk
menekankan perlunya remaja saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam apa
jua hubungan. Jika ibu bapa merasakan tidak mampu untuk menjelaskan perkara tersebut
kepada remaja, dapatkan bantuan daripada profesional lain seperti kaunselor, psikologis dan
doktor.

Rujukan

Baumrind, D. (1971). Harmonious Parents and Their Preschool Children. Developmental
Psychology, 41, 92-102.
Baumrind, D. & Black, A.E. (1967). Socialization Practices Associated With Dimensions of
Competente In Preschool Boys and Girls. Child Development, 38, 291-327.
Dinkmeyer, D & Mc Kay, G.D. (1989). STEP: The Parent’s Handbook. American Guidance 
Service. 
Linke, P. (1994) Practical Parenting. Melbourne: Australian Council for Educational Research.
Manual Promosi Kesihatan Mental: Kempen Cara Hidup Sihat 2000. Kementerian Kesihatan
Malaysia.  
Manual Promosi Keluarga Sihat: Kempen Cara Hidup Sihat 2001. Kementerian Kesihatan
Malaysia.  
Teoh Hsien-Jin (2003). Talking With and Advising Teenagers. Selangor: Oak Enterprise.



Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More