Monday 14 May 2012

Bagaimana melatih anak bangun awal pagi – di tahun baru



melatih anak bangun awal pagiMenjelang tahun baru masing-masing di antara kita mempunyai perancangan yang tersendiri. Selain menanamkan keazaman untuk mencapai sesuatu yang tidak atau belum mampu digapai, ada di antara kita yang sedang melalui satu transisi baru di awal tahun ini. Salah satu perkara yang saya maksudkan ialah ibu bapa yang pertama kali mempunyai anak bersekolah ke Tahun 1 pada sesi pagi.
Bagaimana caranya melatih anak kecil ini untuk bangun awal pagi sebagai persediaan ke sekolah? Oh ye! Bagi anak-anak yang telah masuk ke Tahun 2 dan seterusnya juga mungkin menghadapi masalah. Apa tidaknya, selama musim cuti sekolah anak-anak ini sudah selesa bangun tidur agak lewat kerana tiada apa yang mahu dikejar di awal pagi musim itu.
Artikel kali ini saya tuliskan untuk berkongsi pandangan melalui pengalaman dan cerita daripada kawan-kawan tentang bagaimana menghadapi anak-anak yang ada masalah bangun awal pagi.
Pertama: Kita sebagai ibu bapa perlu menjadi contoh atau model asas dengan bangun pagi lebih awal daripada anak-anak. Sebenarnya, menjadi kelaziman ibu bapa melatih anak-anak untuk menjadikan bangun awal pagi itu satu rutin. Contohnya bagi yang beragama Islam bangun awal pagi adalah penting sebagai persediaan untuk menunaikan solat Subuh.
Kedua: Latih anak-anak bangun pagi sekurang-kurangnya sebulan sebelum musim persekolahan dibuka. Ini mendorong anak-anak bersedia dari segi mental dan fizikal bahawa aktiviti bangun awal pagi akan menjadi perkara yang biasa mereka lalui.
Ketiga: Manfaatkan waktu beriadah untuk melatih anak-anak bangun pagi. Contohnya lakukan senaman pagi, berjoging dan bermain bersama keluarga sebagai persiapan melakukan aktiviti.
Keempat: Idea untuk mengisi agenda pada jadual harian anak-anak sejak di awal pagi juga adalah satu idea yang baik kerana ibu bapa harus mewujudkan suatu alasan bernas mengapa anak-anak perlu bangun pagi. Contohnya di waktu cuti, ajak anak anda untuk solat berjemaah di masjid dan mendengar kuliah subuh. Mereka yang berjaya bangun pagi dan memenuhi agenda yang dirancang, anda akan belanja sarapan pagi di gerai kesukaan seisi keluarga.
Kelima: Dalam tempoh cuti persekolahan, eloklah anda semaikan cerita-cerita menarik dan hebat tentang alam persekolahan. Maklumat yang anda baja sejak dari awal lagi ini akan hidup subur dan mekar di minda anak anda. Mereka akan rasa tidak sabar ingin tahu dan mengalami sendiri suasana hebat di alam persekolahan seperti yang anda ceritakan itu.
Keenam: Latih anak anda untuk masuk tidur lebih awal sekitar jam 10.00 pm dan bangun sekitar jam 6.00 am. Ini bagi memastikan anak anda mendapat masa tidur yang mencukupi minimum 8 jam sehari supaya dia dapat bangun dalam keadaan segar.
Ketujuh: Latihan untuk bangun awal boleh dilakukan apabila ibu bapa bersama-sama terlibat untuk tidur dan bangun awal.
Kelapan: Cubalah penuhi keperluan pemakanan anak anda dengan memastikan anak-anak diberi pemakanan yang sihat sama ada sebelum pergi ke sekolah, bekalan makanan pada waktu rehat dan sepanjang hari. Diet sihat adalah antara elemen yang paling penting diberi keutamaan. Tubuh yang sihat akan membuatkan anak sentiasa cergas untuk melakukan aktiviti sejak dari awal pagi.
Kesembilan: Lakukan sebarang aktiviti untuk melatih anak bangun pagi dengan secara yakin dan berterusan. Ibu bapa boleh memberi ganjaran, jika anak bangun awal, ganjaran ini dilakukan hanya selepas kanak-kanak itu berjaya melakukan.
Selamat Mencuba!

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More