Thursday 10 May 2012

Pengalaman pahit kahwin singkat




“Macam dalam mimpi. Bayangkan bercinta sembilan tahun tetapi kahwin sekejap saja,” kata pengarah dan pelakon, Shahriza Mahmud.
Menurut Shahriza, tatkala terbaca kisah Roslin, ingatannya melayang kepada situasi sama yang dilaluinya 13 tahun lalu.
Katanya, walaupun berbeza punca, pada hakikatnya mereka tidak sempat merasai alam rumah tangga.
“Roslin dan bekas isterinya baru kenal, tetapi saya dan bekas suami saling mengenali untuk tempoh lama. Ketika mendirikan rumah tangga, saya hanya membayangkan untuk hidup bersama hingga akhir hayat.

“Bagaimanapun, dalam situasi ‘darah manis’, saya menjadi separuh gila apabila rahsia suami yang ada perempuan lain terbongkar,” katanya.
Shahriza berkata, lebih daripada itu dia menanggung derita berpanjangan apabila bekas suaminya menghilangkan diri selama empat tahun empat bulan sebelum muncul semula untuk ‘melepaskannya’.
“Jika hendak berkahwin, berterus teranglah supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Lelaki memang suka berahsia,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Semanis Janji.
Menurut Shahriza, meskipun pengalaman dilaluinya sukar dilupakan, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membenci perkahwinan.
“Tidak pernah saya terfikir untuk tidak berkahwin. Saya masih bersendirian ketika ini kerana belum ada jodoh,” katanya.
Dalam pada itu, bekas isteri Aziz M Osman, Nor Radhiah Ramli, 23, tidak pernah menyangka berdepan pengalaman pahit berkahwin dalam tempoh singkat.
“Semestinya saya sedih dan kecewa. Tiada siapa di dunia mahu jadi begini (berkahwin dalam tempoh singkat). Bagaimanapun, saya kena hadapi benda yang berlaku,” katanya.
Menurut Nor Radhiah, dia mampu melalui dugaan berkenaan berkat doa, sokongan keluarga dan rakan.
“Kini saya tenang menghadapi hari mendatang dan menjalani kehidupan seperti orang lain. Hubungan saya dengan abang Aziz pun baik. Kami tidak bergaduh,” katanya.
Bagi Farah Asyikin Zulkifli, 30, dia pernah memaklumkan sudah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan rumah tangga, tetapi akhirnya gagal.
“Tidak perlu Farah nyatakan punca perceraian kami kerana ia terlalu peribadi. Farah terima ketentuan ini dengan reda,” katanya.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More