Wednesday 16 May 2012

Panduan ibu bapa didik remaja berwawasan


PERINGKAT paling mencabar dalam kehidupan seseorang individu ialah ketika dalam usia remaja lingkungan 17 hingga 21 tahun. Pada peringkat ini, seseorang remaja itu mulai menempuh gelora perjuangan hidup sebenar.
Perubahan bentuk fizikal dalam meniti usia remaja turut menimbulkan perasaan dan keinginan di dalam jiwa sehingga boleh menimbulkan beberapa kesukaran serta masalah jika tuntutan itu tidak diarahkan mengikut syarak.
Pada tempoh itu juga berlaku perubahan tingkah laku, sikap, nilai, malah seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam lebih matang dan dewasa.
Mereka adalah pewaris sah tamadun sesuatu bangsa untuk dilanjutkan dan dipertingkatkan mutunya pada masa akan datang.
ibumithali.jpgBagi membentuk remaja berwawasan, Islam menyediakan panduan kepada ibu bapa untuk memenuhi keseluruhan aspek naluri anak termasuk keperluan rohani dan jasmani, keperluan keagamaan, dunia dan akhirat.
Remaja perlu dididik menjadi orang yang salih dengan menyuruh mereka mengerjakan perkara wajib dan meninggalkan yang haram.
Hanya melalui pegangan dan amalan agama saja remaja akan mengikut lunas serta batas ditetapkan Islam.
Hal ini dijelaskan Yusuf al-Qaradawi bahawa setiap ibu bapa mesti bersungguh membentuk, membina, membimbing dan mendidik anak terutama apabila mereka mencapai peringkat belia dengan mengikut landasan Islam.
Ibu bapa hendaklah memberi pendidikan dan perhatian sewajarnya terhadap remaja dalam menempuh pelbagai cabaran mendatang supaya mereka tidak jauh terpesong dan melakukan perkara tidak diingini.
Antara cara perlu dilakukan ibu bapa dalam mendidik remaja ialah :
  • Mendalami ilmu agama dengan pelbagai cara sama ada diajar oleh orang tua sendiri ataupun orang lain seperti guru agama supaya mereka sentiasa cenderung melakukan ibadat. Ini kerana ibadat yang diajarkan Islam mengandungi daya dan wasilah untuk mengasuh serta mendidik lahir batin manusia menjadi manusia yang sebenarnya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman dan diikuti oleh anak cucu mereka dengan cara beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Tiap-tiap seorang bergantung pada amalan yang ia telah kerjakan.” (Surah al-Thur, ayat 21)
  • Ibu bapa mesti mendidik remaja dengan cara lemah lembut dan pandai mengambil hati anak dalam memberi tunjuk ajar atau teguran supaya jiwa mereka tidak mudah tersentuh.
Ini kerana pada peringkat jiwa mereka mudah tersentuh dan memberontak jika terdapat sesuatu perkara yang bertentangan dengan jiwa mereka. Anak tidak boleh dimarahi atau ditengking dengan cara negatif. Kebebasan wajar diberikan kepada anak remaja dalam melakukan sesuatu perkara selagi ia tidak bertentangan ajaran Islam.
  • Ibu bapa hendaklah mengawasi pergaulan anak kerana pergaulan banyak mempengaruhi sifat anak terutama ketika mereka meniti usia remaja.
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan muhrim perlu dihalang bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini. Pengawasan dan kawalan ibu bapa patut diperketatkan supaya anak remaja melalui kehidupan mengikut batas ditetapkan.
Remaja adalah golongan paling mudah digoda syaitan. Umpamanya dalam pergaulan membabitkan percampuran lelaki dan perempuan, syaitan akan menyelinap dan menggoda supaya melakukan perbuatan sumbang seperti bercumbu-cumbuan, asyik dalam percintaan, khalwat, rogol dan zina.
  • Ibu bapa hendaklah menanamkan sifat cintakan Allah kepada anak remaja. Melalui nasihat ini juga diharapkan remaja dapat melakukan sesuatu yang baik yang dikehendaki Allah, menjauhkan diri daripada semua perbuatan keji kerana tahu dan yakin Allah sentiasa melihat perbuatannya.
  • Ibu bapa harus menunjukkan kasih sayang kepada mereka dan bersikap diplomasi mengendalikan sebarang masalah. Pendapat dan pandangan anak di peringkat ini perlu dihormati dan dipertimbangkan.
  • Usahakan supaya mereka mempunyai kegiatan berfaedah seperti mengikuti kursus ilmu pengetahuan, membabitkan diri dalam olahraga dan jangan izinkan mereka keluar malam tanpa sebarang sebab.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More