Thursday 10 May 2012

Kempunan nafkah batin



 
Dalam kehidupan berumah tangga, bak kata kebanyakan pasangan, hubungan seksual antara keutamaan untuk mengecapi kebahagiaan. Lazimnya, kepuasan dalam mengadakan hubungan kelamin antara suami isteri mampu mengeratkan lagi kasih sayang dan menambah keintiman.
Bagaimanapun, kesukaran menikmati hubungan kelamin menjadi masalah kepada insan yang sememangnya memandang berat kepentingan aspek berkenaan. Akibatnya, ada yang memilih jalan keluar iaitu bercerai.
Inilah nasib yang menimpa pegawai bank, Nadia Johari, 32, (bukan nama sebenar) yang mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun dengan suami yang juga arkitek, Zarul Iskandar, 34 (bukan nama sebenar).
Nadia yang putih gebu dan manis orangnya, mula berkenalan dengan Zarul yang juga terkenal dengan rupa yang kacak, sejak dari zaman persekolahan lagi. Keintiman mereka ketara dan ke mana saja sering berdua sehinggakan digelar `merpati dua sejoli.’
Apabila tamat sekolah, Zarul melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej di ibu kota yang disusuli Nadia ke kolej sama, dua tahun kemudian. Sudah nama pun berkasih dan sering berdua-duaan, akhirnya mereka terjerumus dalam kancah zina.
Akibatnya, belum pun sempat menamatkan pengajian, Nadia mahukan ikatan mereka dimuktamadkan sebagai suami isteri kerana enggan lagi bergelumang dosa zina. Mujurlah keluarga memberi restu atas alasan Zarul sudah pun bekerja dan mampu berkeluarga. Perkahwinan itu juga tidak menjejaskan tumpuan Nadia terhadap pelajaran dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan bekerja dengan sebuah bank di ibu negara.
Nadia mengaku, mereka sememangnya aktif melakukan hubungan seks dan bahagia. Malah, hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan tiga cahaya mata.
Malangnya, panas yang disangka hingga ke petang, hujan pula di tengah hari. Beberapa bulan selepas melahirkan anak ketiga, Nadia menghilangkan diri secara tiba-tiba dan tidak pulang ke rumah beberapa bulan lamanya.
Puas Zarul mencari, tetapi hampa. Mana saja tempat yang ada kaitan dengan Nadia, disusulinya termasuk ke rumah mentua dan pejabat tetapi Nadia enggan bertemunya. Dalam kebuntuan itu, tiba-tiba Nadia kembali ke pangkuan keluarga. Namun, kepulangannya membawa berita buruk kerana dia mahu memohon cerai.
Zarul bingung tetapi akhirnya akur untuk menyelesaikan hal itu di mahkamah biarpun di hatinya tersimpan pelbagai persoalan di manakah silapnya sehingga kasih mereka bertemu titik noktah.
Apabila ditanya pegawai Jabatan Agama, Nadia membangkitkan mengenai hak kebebasan dan menyesal kerana berkahwin pada usia muda. Lebih mengejutkan, Nadia turut berkongsi keresahan yang dia sememangnya tidak puas dengan nafkah batin diberikan Zarul. Katanya, Zarul tidak dapat melunaskan tanggungjawab sebagai pasangan di ranjang.
Sudah pasti alasan itu mengejutkan Zarul, apalagi selepas mereka dikurniakan tiga cahaya mata dan sedekad bersama sebagai suami isteri. Akibat kecewa dengan sikap Nadia, Zarul membiarkan Nadia gantung tak bertali atas alasan belum bersedia melepaskan isteri yang masih disayangi.
Namun, selepas dipujuk Nadia, Zarul mengambil keputusan melepaskan isterinya dan menuntut hak penjagaan anak. Kini, Nadia sudah pun berkahwin semula dan Zarul meneruskan kehidupan sebagai bapa tunggal dengan menjaga ketiga-tiga anaknya menerusi bantuan ibunya.
`Utamakan anak dulu, baru nafsu’
SABDA Nabi Muhammad SAW : “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: hartanya; keturunannya; kecantikannya dan kerana agama. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu bahagia.” Demikianlah hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Matlamat perkahwinan dalam Islam adalah untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang kekal dan mendapat keredaan Allah SWT. Perkahwinan itu juga bertujuan untuk melaksanakan tuntutan agama (ibadat) selain mewujudkan ikatan kasih sayang antara suami isteri serta menambahkan zuriat.
Antara tanggungjawab dan hak mereka adalah si isteri bertanggungjawab untuk melayan suaminya dan si suami pula bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isterinya. Bagi persoalan ini, adalah menjadi satu dosa sekiranya hak dan tanggungjawab ini diabaikan tanpa sebab-sebab yang munasabah.
Kisah kali ini berkisar perceraian yang berpunca daripada penyesalan seorang isteri berkahwin pada usia muda dan ketidakpuasan dalam perhubungan suami isteri. Antara tindakan yang boleh diambil adalah tuntutan perceraian secara taklik dan tuntutan fasakh.
Menurut peruntukan undang-undang, perceraian secara taklik adalah di bawah Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Lazimnya lafaz taklik di Malaysia berbeza mengikut negeri masing-masing. Bagaimanapun secara amnya suami akan melafaz perjanjian sekiranya tidak menunaikan nafkah zahir dan batin selama tiga bulan, si isteri boleh membuat aduan ke Mahkamah Syariah dan jika sabit aduannya maka akan terjatuhlah satu talak.
Seterusnya bagi peruntukan di bawah Seksyen 52 (1)(d) akta yang sama menyatakan bahawa suami sudah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun. Begitu juga Seksyen 52(1)(l) menyatakan isteri boleh juga memohon perceraian di bawah apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah hukum syarak.
Maka dengan peruntukan undang-undang berkenaan, isteri tidak patut berkelakuan curang atau mencari lelaki lain sebelum bercerai dengan suaminya. Isteri boleh mendapatkan kaunseling dan nasihat dari Mahkamah Syariah dan juga Pejabat Agama. Oleh kerana itu, hukuman rejam sampai mati yang dianjurkan Islam kepada penzina yang sudah berkahwin sangat bersesuaian terhadap orang yang sengaja menzalimi diri sendiri dengan perbuatan terkutuk itu.
Firman Allah “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rejamlah tiaptiap mereka 100 kali rejam, dan janganlah disebabkan rasa simpati menyebabkan kamu gagal melaksanakan hukum Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah pelaksanaan hukum Allah disaksikan oleh sekumpulan orang” An-Nur 24:2
Seterusnya di dalam kes kali ini adalah menjadi kesalahan nusyuz apabila seorang isteri meninggalkan rumah tanpa izin suaminya. Menurut Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 antara tindakan isteri yang boleh dikira sebagai nusyuz adalah apabila isteri menjauhkan diri daripada suami, meninggalkan rumah bertentangan dengan kemahuan suaminya dan enggan berpindah bersama suaminya ke rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah menurut hukum syarak.
Sekiranya dibawa ke muka pengadilan, dan mahkamah sudah mengesahkan si isteri adalah nusyuz terhadap suami, antara kesannya adalah mengikut seksyen 59(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 isteri akan terhalang daripada menerima nafkah melainkan selepas isteri bertaubat dan kembali mentaati suaminya.
Tanggungjawab isteri terhadap suami adalah berat dan banyak yang mana Rasulullah sudah bersabda yang bermaksud “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Seterusnya perbuatan isteri untuk meminta cerai tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak boleh mengundang dosa. Apakah suami tidak berdosa jika meminta cerai dengan alasan yang sama?
Bagaimanapun isteri tidak berdosa apabila menolak kehendak suami ke tempat tidur dengan sebab yang munasabah, seperti jika suami tidak dapat memenuhi kehendak isteri. Suami yang tidak dalam keadaan segak, tidak rapi dan tidak bersih wajar tidak dilayan oleh isteri. Penekanan kepada tanggungjawab isteri terlalu dibuat berat oleh sebahagian besar masyarakat Islam Melayu. Seolah-olah suami itu terlalu diangkat sebagai `raja’ yang perlu dilayan selalu.
Bagi kes minggu ini, penyesalan Nadia dalam isu berkahwin muda tidak sepatutnya terjadi. Nadia dan pasangannya yang memilih untuk berkahwin pada awal usia. Selepas dikurniakan tiga orang anak Nadia tidak patut memikirkan hanya nafsu semata walaupun ianya harus bagi seorang isteri sekiranya tidak mendapat kepuasan daripada suami. Namun, fikirkanlah mengenai anak yang masih kecil kerana mereka akan terkesan daripada perceraian antara suami isteri.
Kesimpulannya dalam melayari kehidupan, setiap pasangan suami isteri akan menghadapi berbagai cabaran dan masalah rumah tangga yang boleh mengancam ketenteraman keluarga mereka. Suami isteri yang bijaksana akan berusaha menangani masalah itu dengan mengadakan perundingan dan perbincangan supaya dapat mengelak tekanan dan konflik.
~BH


Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More