Monday 14 May 2012

Membantu anak-anak belajar Bahasa Inggeris


Kanak-kanak pada peringkat awal usia sebenarnya mempunyai strategi yang tersendiri (secara semulajadi) untuk belajar bahasa ibundanya dan jika kanak-kanak disuruh belajar bahasa Inggeris dari awal, mereka akan menggunakan strategi yang sama untuk belajar bahasa Inggeris.
Pada peringkat awal usia, kanak-kanak mempunyai masa yang banyak untuk belajar menerusi aktiviti bermain. Mereka ‘menangkap’ sesuatu bahasa dengan cara mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyeronokkan mereka bersama-sama orang yang lebih dewasa. Kebiasaannya, mereka akan mencuba untuk menyesuaikan diri dahulu dengan aktiviti permainan tersebut dan selepas itu baharulah mereka akan memahaminya menerusi bahasa yang didengari daripada orang yang lebih dewasa.
Kanak-kanak pada peringkat awal usia mempunyai masa yang lebih banyak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam program-program hariannya (tidak seperti kanak-kanak yang telah masuk ke alam persekolahan). Kotak pemikiran mereka juga masih belum ‘penuh’ dengan perkara-perkara lain, menjadikan mereka lebih mudah menyerap perkara baru.
Kanak-kanak yang telah belajar bercakap dalama bahasa Inggeris pada peringkat awal usia akan mempunyai sebutan (pronounciation) yang lebih baik di samping dapat menjiwai bahasa Inggeris sebagaimana kita menjiwai bahasa ibunda kita. Jika kanak-kanak dibesarkan dengan hanya satu bahasa sehingga ke peringkat mampu menyedari kesilapan bahasa, keupayaannya untuk menangkap bahasa asing atau bahasa kedua akan hilang dan mereka akan berasakan bahawa perlunya belajar bahasa asing, misalnya bahasa Inggeris dengan betul dan tepat melalui program bahasa Inggeris yang menekankan soal tatabahasa.

Tahap-tahap untuk belajar bahasa Inggeris
Bahasa percakapan datang sebelum pembacaan dan penulisan. Kanak-kanak belajar bahasa percakapan yang biasanya merupakan bahasa ibundanya secara tidak formal di rumah.
1.  Pembelajaran ketika dalam tempoh masa senyap (silent period)

Semasa bayi mula belajar bahasa ibundanya, satu tempoh masa senyap akan dilalui  oleh mereka iaitu sepanjang mereka hanya melihat dan mendengar dan berkomunikasi melalui ekpressi wajah atau bahasa badan sebelum mereka boleh mula bertutur. Apabila kanak-kanak pada awal usia belajar bahasa Inggeris, akan terdapat ‘silent period’ yang sama dalam komunikasi dan pemahaman sebelum mereka mampu untuk menyebut atau menuturkan sebarang perkataan-perkataan bahasa Inggeris.

Dalam tempoh masa ini, ibubapa tidak seharusnya memaksa anak-anak  untuk terlibat atau mengambil bahagian dalam komunikasi atau berdialog. Dialog percakapan seharusnya berlaku di sebelah pihak saja iaitu orang dewasa yang bercakap agar percakapan itu dapat memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menangkap atau belajar bahasa Inggeris yang baharu bagi mereka. Biarkan anak-anak anda menggunakan kemahiran dan strategi tersendiri (strategi semulajadi mereka ketika belajar bahasa ibunda) untuk belajar bahasa Inggeris.
2.  Mulakan bertutur
Selepas beberapa lama, bergantung kepada kekerapan sesi pembelajaran bahasa Inggeris, kanak-kanak akan mula berani menuturkan satu demi satu perkataan bahasa Inggeris (misalnya ‘cat’, ‘house’) atau mungkin sudah bersedia dan mampu membuat ayat pendek (misalnya ‘What’s that?’, ‘It’s my book, ‘I can’t’, ‘That’s a car’) dalam perbualannya.

Pada peringkat ini, kanak-kanak sebenarnya telah dapat mengingati sesuatu perkataan atau ayat dan kemudian ia menyebut dengan sebutan yang diingati olehnya. Mereka mungkin belum tahu lagi sama ada sebutan mereka itu adalah satu perkataan atapun merupakan satu ayat. Keadaan seperti ini akan berterusan untuk satu jangka masa tertentu yang cukup untuk memberi ruang kepada mereka untuk mempelajari lebih banyak perkataan bahasa Inggeris sebelum mereka benar-benar bersedia dan mampu membina ayat mereka sendiri.
3.  Membina keupayaan berbahasa Inggeris
Kanak-kanak membina membina frasa ayat secara berperingkat. Dimulakan dengan cara menghafal perkataan sehingga mereka sendiri menanmbah perkataan daripada kosa kata mereka sendiri (misalnya ‘a cat’, ‘a white cat’, ‘a white and a black dog’) atau daripada satu ayat yang dihafalnya dan kemudian mereka menambahnya (misalnya ‘That’s my chair’, ‘Time to play’).

Bergantung kepada setakat mana pendedahan yang diterima dan pengalaman yang dilalui, kanak-kanak akhirnya akan mampu untuk mencipta dan membina satu ayat penuh yang lebih membawa makna.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More