Sunday 13 May 2012

Merancang Percutian Yang Hebat



Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Cuti akhir tahun empat bulan lagi. Namun masa cepat beredar. Jadi andaikata anda dambakan percutian ke luar negeri, maka eloklah buat perancangan mulai sekarang.

"Lebih cepat perancangan diatur, lebih cerah peluang anda untuk meraih tawaran yang lebih baik, pada harga lebih rendah dan menarik," demikian nasihat Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) dalam buku panduannya mengenai Kewangan Peribadi.

Tetapi, menurut ACCA, tentu sahaja, perkara pertama yang harus diputuskan ialah destinasi pilihan anda. Dengan banyaknya destinasi menarik untuk dilawati, membuat pilihan terbaik memerlukan pertimbangan yang bijak.

Namun jika anda tahu berapa banyak perbelanjaan yang anda peruntukkan untuk percutian itu, sekurang-kurangnya ia boleh membantu anda untuk membuat pilihan yang bijak. Sememangnya, menyesuaikan bajet anda dengan rancangan percutian bukanlah semudah itu kerana ia memerlukan banyak bacaan dan penyelidikan.

Setelah memutuskan destinasi percutian, perkara seterusnya ialah menyenaraikan catatan perjalanan.

Tujuannya adalah untuk mengetahui tempat-tempat yang akan dilawati. Internet merupakan sumber maklumat paling bernilai selain daripada buku-buku mengenai pengembaraan yang ada.

Misalnya, jika anda merancang percutian empat minggu ke Eropah, apa yang boleh anda lakukan ialah meneliti sebuah atlas atau peta besar yang memuatkan keseluruhan Eropah. Mungkin dari situ, anda boleh memilih tempat-tempat menarik seperti Muzium Louvre di Perancis, Banjaran Alps di Austria, kehidupan malam di Amsterdam atau tengah malam di Sweden.

Langkah seterusnya, agak susah sikit untuk melakukannya iaitu merancang cara terbaik untuk mengatur perjalanan yang merangkumi semua. Setelah memperoleh gambaran kasar mengenai senarai itu, bolehlah anda mula memikirkan tentang bagaimana untuk pergi ke sana dan tempat-tempat untuk menginap, satu proses yang melibatkan soal bajet.

UNTUK KE SANA SINI

Pelbagai cara boleh dipilih -- keretapi, kapal terbang, feri, bas atau memandu sendiri kereta. Setiap satu mempunyai tahap keselesaan tersendiri tetapi untuk menyesuaikan kos dengan masa perjalanan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pilihan jenis pengangkutan.

Lazimnya keretapi merupakan pilihan termurah terutama jika anda ingin melancong ke Eropah, dengan syarat anda membeli pas keretapi yang boleh membawa anda ke serata tempat yang anda suka dalam lingkungan negara-negara yang anda pilih.

Ia juga adalah kaedah terbaik untuk melancong cara murah dan menyelami pengalaman tempatan. Tetapi jika waktu tidak menyebelahi anda, maka tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakan penerbangan.

Terima kasih kepada tambang harga murah oleh syarikat-syarikat penerbangan yang memberi peluang kepada kita untuk melancong sejauh mana dengan bayaran yang tidak pernah kita bayangkan dahulu.

Cuma ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan jika menggunakan penerbangan tambang murah ini, misalnya pastikan jarak antara destinasi yang ingin ditujui dengan lapangan terbang tidak terlalu jauh.

Dan untuk mendapat tiket pada kadar harga paling rendah, perlulah membuat tempahan tiket seawal mungkin melalui internet.

Pendek kata, idea asas ialah menjelajah ke destinasi sebanyak mungkin yang mampu memenuhi kehendak dan sumber kewangan yang anda miliki.

Justeru, seelok-eloknya, perolehi maklumat sebanyak mungkin tentang jenis pengangkutan, masa perjalanan, jarak dan kos perjalanan.

PENGINAPAN

Memilih tempat untuk menginap lazimnya mudah berbanding hal-hal lain. Apa yang perlu anda lakukan ialah membuat bajet sebanyak mana yang anda sanggup memperuntukkan untuk tujuan itu, misalnya untuk penginapan satu malam dan cuba cari tempat-tempat yang boleh menawarkan harga yang rendah dan berpatutan.

Bagi pengembara bajet, pilihan terbaik adalah dengan menginap di asrama-asrama belia yang terdapat di seluruh dunia.

Walaupun namanya 'Asrama belia', namun pengembara atau pelancong dewasa juga dibenarkan menginap. Malah, diskaun juga ditawarkan selagi kita menjadi ahlinya.

Dalam pada anda mungkin terbatas oleh bajet yang terhad, namun anda mungkin tidak mahu menggadaikan keselesaan, satu faktor yang sama penting apabila membuat pilihan untuk menginap di sesuatu tempat.

Jadi, cara terbaik ialah cuba cari beberapa asrama di kawasan yang sama, bandingkan harganya dan kemudahan yang disediakan, jaraknya daripada tempat-tempat menarik yang ingin dikunjungi, dan paling penting, baca komen yang ditinggalkan oleh pengunjung sebelum itu.

Biasanya sesuatu komen yang diluahkan pengunjung boleh membantu anda untuk menilai sesuatu tempat seperti kebersihan atau sama ada tempat itu mesra pengunjung atau sebaliknya.

Selain asrama, anda juga mempunyai pilihan untuk menginap di rumah tumpangan atau 'bed and breakfast' (B&B). Harganya tidak semestinya lebih tinggi daripada asrama tetapi ia memberi peluang kepada anda untuk tinggal bersama orang tempatan yang secara tidak langsung memberi kesempatan untuk anda mengenali dan menghayati budaya mereka.

TARIKAN PELANCONG

Semasa mengembara, semestinya anda ingin hemat berbelanja. Bagaimanapun, selain daripada perbelanjaan tetap atas pengangkutan dan penginapan, anda juga berdepan dengan perbelanjaan fleksibel seperti makanan dan minuman, dan tarikan pelancong.

Mengunjungi tempat-tempat menarik sudah tentu menjadi satu kemestian. Namun jika anda dikekang oleh masa dan wang, anda mungkin ingin memilih tempat-tempat yang betul-betul menjadi tarikan bagi anda.

Jadi, jika kesenian dan sejarah bukan menjadi minat anda, membayar EUR20 dan beratur panjang selama lebih sejam di Chateau de Versailles mungkin tidak berbaloi dengan masa dan wang.

Namun, seandainya anda kepingin untuk melawat kesemua tempat-tempat tarikan pelancong yang ada, maka cara terbaik ialah dengan mendapatkan pas khas yang juga boleh menjimatkan kos dan masa beratur.

Pendek kata, untuk menikmati percutian yang menarik, buatlah perancangan awal dan lakukan penyelidikan sebanyak mungkin. Ingatlah selalu untuk berada dalam sekitar bajet dan sentiasa bertindak wajar agar percutian anda benar-benar mencuit memori indah serta sifar masalah.

-- BERNAMA

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More