Monday 27 February 2012

Belajar setia dengan pasangan



Apabila melalui hubungan jarak jauh internet jadi penghubung penting. - Gambar hiasan


Menjalin hubungan cinta jarak jauh bukan sesuatu yang luar biasa di kalangan pasangan muda hari ini.
Bagaimanapun hubungan jarak jauh sebenarnya menuntut pengorbanan dan kesetiaan yang lebih tinggi .
Mencabar dan sukar mungkin ungkapan paling sesuai untuk digambarkan bagi hubungan seperti ini, namun adalah tidak mustahil hubungan ini dapat bertahan dan kekal lama.
Memang bukan sesuatu yang mudah untuk berjauhan yang tersayang. Apabila teringatkan si dia pasti timbul rasa curiga, prasangka dan pelbagai persoalan lain yang muncul.
Sebenarnya, kepercayaan adalah satu perkara penting untuk hubungan ini. Bina sifat percaya antara kedua-dua belah pihak kerana ia penting untuk mengelakkan diri daripada sentiasa berfikiran negatif antara satu sama lain.
Dalam situasi sedemikian, tanamkan pemikiran positif antara satu sama lain dan sentiasa berfikiran positif kunci, ia merupakan kepada kebahagiaan kita dan pasangan.
Jangan mudah percaya sesuatu dari mulut kawan anda selagi belum lihat dengan mata dan dengar dengan telinga sendiri. Usah jadikan itu perkara yang terlalu penting sehingga mengatasi perkara-perkara dalam hidup kita sehingga mengganggu keharmonian hubungan itu sendiri.
Tidak guna bertunjangkan cemburu dalam melayari perhubungan jarak jauh. Perasaan prasangka dan tak percaya hanya akan merosakkan perhubungan.
Daripada merungut tentang kesukaran apabila berjauhan, mulakan perbualan dengan bertanya khabar tentang dia dan apa aktiviti yang dia lakukan. Sentiasa ceria dan kekalkan positif agar anda tidak bosan walaupun berjauhan.
Apabila berjauhan, jangan murung dan berteman airmata ketika berjauhan akibat dibuai rindu yang amat sangat.
Dia berada jauh dari sisi, tentu sekali perasaan rindu begitu kuat sekali. Ketika berjauhan daripada pasangan anda, hargai kebebasan yang dikecapi dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang membuat anda ceria seperti menonton wayang dengan teman-teman, membaca buku kegemaran ketika sunyi.
Menghargai kebebasan ketika berjauhan akan membentuk diri anda untuk menjadi seorang individu yang matang dan dalam pada masa yang sama membina komitmen anda terhadap perhubungan
Secara ringkasnya, bukan jarak yang menjadi sebab terputusnya hubungan, tetapi kurang memahami pasangan dan kurang komitmen dalam perhubungan sering menjadi faktor penyebab.
Tidak ada apa yang perlu digusarkan apabila berjauhan jika masing-masing komited dengan pasangan masing-masing dan berusaha untuk memastikan perhubungan yang sihat dan berkekalan.
Dalam situasi sedemikian jangan mudah tergoda sebaliknya belajarlah untuk setia kepada pasangan. Setiap kali anda rasa tergoda dengan orang lain, cuba elak daripada terus mesra. Katakan awal-awal pada si dia, anda telah berpunya.
Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa anda masih cintakan dia. Ingat, manusia tak akan pernah puas dengan apa yang manusia ada. Jadi tanamkan rasa syukur itu dalam diri. Elakkan keluar berdua dengan jantina berbeza.
Dengan pemikiran ini, anda akan dapat mengharungi cabaran jika dalam tempoh bercinta jarak jauh,
Malah dalam masa yang sama, cuba kreatifkan pemikiran anda, siapa kata hubungan jarak jauh tidak boleh bermesra dan romantik?
Di sinilah pemikiran kreatif anda memainkan peranannya. Dengan kemudahan teknologi semuanya di hujung jari, malah jika kena caranya, hubungan anda akan menjadi hangat dan romantik lebih dari hubungan biasa yang membosankan.
Untuk suami isteri yang berjauhan, jangan malu bercerita tentang seks atau berkongsi fantasi ketika berjauhan. Dengan berkongsi fantasi dan keinginan, pasangan suami isteri akan dihujani chemistry yang mengujakan!

Kanser usus juga serang wanita

HARI ini, apabila membicarakan mengenai penyakit-penyakit kronik yang menyerang penduduk dunia, tiada satu pun yang dilihat mampu dicegah mahupun diubati melainkan melihat angkat kematian semakin meningkat saban tahun.
Oleh yang demikian, selain mengamalkan cara hidup sihat, masyarakat dinasihatkan melakukan ujian saringan kesihatan dan tidak terus membiarkan diri diserang dengan pelbagai penyakit yang merbahaya.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2008 hampir 610,000 lelaki dan wanita meninggal dunia akibat kanser usus atau kolon.
Sementara itu, Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia pula melaporkan kanser itu juga merupakan penyakit kedua paling biasa menyerang dan melibatkan kematian kira-kira 2,900 rakyat Malaysia setiap tahun.
Perlu diingatkan bahawa kanser usus mampu membawa maut sekiranya gagal dirawati segera.
Menurut Pakar Perunding Gastroantrology (Pakar Usus), Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, setakat ini statistik menunjukkan lelaki paling ramai menghidapi pesakit kanser usus.
Ia tidak bermakna penyakit itu tidak menyerang kaum wanita malah ia berada pada kedudukan ketiga paling banyak di negara ini.
Malangnya kata beliau, ramai yang tidak mengambil serius akan risikonya dan jika tidak dirawat pada peringkat awal ia akan menjadi lebih berbahaya.
"Sungguhpun begitu, kesedaran terhadap risiko dan pencegahan awal terhadap kanser usus di negara ini masih rendah.
"Kanser ini boleh sembuh kalau disedari lebih awal tetapi pesakit mungkin memerlukan beberapa jenis rawatan.
"Tetapi jika disedari pada peringkat lewat, peluang untuk sembuh adalah kurang. Malah pesakit terpaksa menjalani pelbagai rawatan dan salah satunya adalah melalui pembedahan," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kanser ini yang menyerang kolon atau usus dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan-bahan kumuh.
Ia biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam usus. Kebanyakan polip ini tidak berbahaya.
Tetapi, jika dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi barah.
Pada peringkat awal, kanser usus mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Tetapi apabila sudah berlanjutan, pesakit mungkin mengalami perubahan seperti cirit-birit atau sembelit berdarah, kelesuan, sakit perut yang teruk, muntah, kehilangan berat badan dan juga anemia (kurang darah merah).
Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin merebak dari usus besar ke organ lain.
Ia biasanya menyerang hati. Apabila keadaan itu berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk.
Terdapat empat peringkat kanser usus. Peringkat pertama, kanser berada di dalam lapisan usus atau rektum dan mula merebak ke dinding usus pada peringkat kedua.
Kanser itu dikategorikan pada tahap ketiga apabila ia mula merebak di kawasan berhampiran nodus limfa dan akhirnya ke beberapa bahagian organ badan seperti hati dan paru-paru.
Ulas Dr. Muhammad Radzi, ketumbuhan kanser itu biasanya bermula dari dalam lapisan usus besar, bersaiz yang kecil dan ia boleh membesar sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain.
"Penyakit ini boleh dicegah sekiranya dikesan pada peringkat awal dan sekiranya pesakit mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin mereka mampu menjalani kehidupan yang normal dan aktif seperti individu lain.
"Adalah tidak benar kanser usus tidak boleh dihalang kerana polip boleh dibuang sebelum kanser tersebut membesar dan merebak.
"Hakikatnya, penyakit ini boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal," tambah beliau.
Oleh yang demikian, bagi pesakit-pesakit kanser usus dinasihatkan agar membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mengelakkan ia merebak sehingga ke tahap yang tidak boleh dirawat lagi.
Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser usus di peringkat awal.
Tambah beliau, kanser usus boleh terjadi pada semua peringkat umur. Tetapi risikonya lebih tinggi kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas berbanding wanita. Untuk itu, satu-satunya cara untuk mengesan kanser tersebut di peringkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin.
Pada peringkat awal doktor boleh merawat dan menyembuhkan penyakit itu dengan lebih berkesan.
Ditanya mengenai punca berlakunya kanser tersebut, beliau menjelaskan antaranya ialah faktor umur, sejarah keluarga , gaya hidup dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.
"Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.
"Untuk itu, amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat," katanya.

Mati pucuk malam pertama





HUBUNGAN seksual adalah ibadah yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan suami isteri.
Untuk menunaikan apa-apa ibadah, persediaan dan persiapan itu penting. Ini boleh dilakukan dengan mudah dan dalam keadaan selesa untuk kedua-dua pasangan.
Dalam melakukan persediaan, setiap pasangan disarankan merujuk kepada buku ilmiah yang sahih untuk mendapat panduan.
Mereka juga dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan cerita yang bukan-bukan mengenai hubungan intim.
Perkara yang seronok itu sudah semestinya sempurna lebih-lebih lagi dalam keadaan bersedia.
Yang pasti, malam pertama memberi banyak cabaran kepada suami dan isteri, lebih-lebih lagi jika kedua-dua mereka jahil tentang bermain cinta.
Seandainya suatu ketika dahulu mereka hanya boleh melihat wajah walaupun dengan batasan tertentu, kini mereka boleh melihat keseluruhan tubuh badan waima aurat juga tiada batasan.
Dahulu jika berdua mereka mesti ditemani dengan mahram wanita itu, tetapi kini mereka boleh berdua-duaan dan bersentuhan seluruh badan sehingga ke peringkat persetubuhan.
Begitupun, tahukah anda, malam pertama bukan sahaja memberi penuh makna serta debaran kepada isteri, malah situasi tersebut sebenarnya turut berlaku kepada suami.
Menurut Profesor Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi dalam penulisannya yang bertajuk Adab Malam Pertama, beliau menyenaraikan tiga dilema yang sering dihadapi suami ketika menghadapi malam pertamanya.
*Tekanan
Masalah boleh berlaku jika suami terasa tertekan atau cemas kerana memikirkan tanggungjawab yang hendak dilakukannya iaitu melakukan hubungan seksual.
Sekiranya suami gemuruh, dia akan kehilangan rangsangan dan ketegangan atau ereksi. Rangsangan dan ketegangan itu akan kendur dan hilang kekerasan.
Seterusnya suami akan gagal untuk melakukan penembusan faraj yang biasa dikaitkan dengan malam pertama kepada isteri.
Keadaan ini dikenali sebagai 'mati pucuk malam pertama.' Tetapi dalam keadaan penuh yakin dan bersemangat kejantanan, ereksi akan kembali segar dan hubungan seksual suami isteri akan dapat dilakukan.
Masalah ejakulasi
Suami berasa amat teruja sehingga belum pun sempat menyalurkan ereksinya, klimaks telah pun berlaku.
Kadangkala perasaan teruja itu amat ketara sehingga ejakulasi boleh berlaku secara spontan apabila isteri memegang alat kelamin suami.
Bila suami dapat mengatasi kelemahan daya kawalan ereksi dan dapat mengawal ejakulasi maka masalah itu akan menjadi terkawal.
Kurang keyakinan
Suami amat yakin dengan kemampuan ereksi dan kawalan ejakulasi tapi masih juga terpancut awal dan hilang daya ereksi apabila dia gagal untuk menembusi faraj isteri.
Suami terasa seperti ada sesuatu yang menghalang di depan pintu faraj dan mula berasa tidak yakin tentang kemampuannya untuk melakukan penembusan dan mengawal ejakulasi.
Perasaan kurang yakin itu akan membuatkan suami hilang kemampuan mencapai ereksi dan kesudahannya dia akan mengalami mati pucuk.
Dalam hal ini, seorang isteri yang tahu memainkan peranan dalam persetubuhan dapat berinteraksi bersama suaminya dengan selesa. Jika tiada apa-apa halangan, dia boleh mencapai klimaks atau mendapat kepuasan dalam hubungan intim itu.
Ini secara tidak langsung, isteri dapat membantu suami mengatasi masalah malam pertamanya.

Elak gejala tersedak susu

SEJAK akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.
Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.
Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.
"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.
Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.
Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.
Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.
"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.
Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.
Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.
Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.
Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.
Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.
Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.
"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.
Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.
"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.
Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.
Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

Mati putik dilema seks wanita

SOALAN
SAYA seorang gadis yang berusia 18 tahun. Saya mempunyai satu masalah yang amat mengganggu hidup saya iaitu langsung tidak terangsang. Saya pernah terbaca mengenai mati putik, adakah ia ada kaitan dengan mati putik?
Untuk pengetahuan, saya pernah cuba melakukan onani dan menonton video lucah tetapi saya langsung tidak terangsang. Saya bimbang ia akan mempengaruhi kehidupan saya selepas berumah tangga kelak. Saya juga sering mengalami senggugut teruk. Ibu saudara saya mencadangkan mengambil pil perancang. Adakah ia memberikan kesan sampingan?
Yang tak mampu,
Terengganu
JAWAPAN
Tidak pelik jika saudari tidak mengetahui apakah sebenarnya 'mati putik'. Saya amat yakin hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya. Mungkin juga perkataan ini baharu pertama kali didengari oleh segolongan masyarakat kita. 'Mati putik' ini adalah sama dengan 'mati pucuk' yang dialami oleh lelaki. 'Mati putik' atau disfungsi seksual wanita bakal menjadi mimpi ngeri buat segolongan wanita kita. Apatah lagi apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta gagal untuk menghayati rangsangan seks ketika bersama suami. Bermakna seseorang wanita tidak mempunyai perasaan ghairah. 'Mati putik' disebabkan gangguan urat saraf dalam pengaliran darah ke faraj terutama kelentit menyebabkan ia tidak menegang. Walaupun dirangsang, ia tetap kendur dan tiada rasa ghairah menyebabkan wanita itu sukar mengalami klimaks dan kurang berminat pada hubungan seks.
Jangan malu
Saudari tidak perlu gusar kerana tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi masalah ini selagi belum berumah tangga. Tak usah malu jika saudari tidak terangsang. Belum sampai masanya untuk anda mudah terangsang atau didiagnosis dengan masalah ini. Perkara utama yang saudari perlu ambil berat adalah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran. Ini yang akan menjamin masa depan saudari. Elakkan diri daripada melihat video lucah atau melakukan onani yang boleh memburukkan lagi keadaan ini. Salah satu punca wanita mengalami 'mati putik' adalah terlalu kerap melakukan onani semasa muda. Wanita yang gemar beronani akan mudah merasa letih dan tidak bertenaga serta tertekan dengan persekitaran apabila tidak mendapat kepuasan yang dihajati. Rawatan bagi masalah 'mati putik' yang saudari alami akan doktor berikan setelah saudari berkahwin nanti.
Senggugut
Berbalik kepada masalah senggugut yang saudari alami. Masalah ini tidak ada kaitan langsung dengan 'mati putik'. Setiap bulan wanita akan mengalami satu kitaran haid yang normal selama 28 hari hingga 35 hari. Haid tersebut biasanya berlangsung selama seminggu. Kesakitan yang dialami semasa haid dipanggil senggugut atau 'dysmenorrhea'. Senggugut sering menyerang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Ia turut menjadi petanda penting supaya wanita yang mengalaminya menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis atau penyakit inflamasi pada bahagian pelvik.
Bagi mengurangkan senggugut, saudari boleh mengambil ubat penahan sakit yang boleh dibeli di farmasi. Pil perancang juga diguna untuk mengurangkan senggugut dan meregulasikan kitaran haid untuk mereka yang haidnya tidak teratur atau mengalami pendarahan yang banyak. Jika masalah senggugut masih tidak keruan dengan ubat penahan sakit maka, saudari perlu diperiksa dengan teliti untuk mendapat diagnosis yang tepat. Dengan itu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan secepat mungkin.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More