Monday 27 February 2012

Kanser usus juga serang wanita

HARI ini, apabila membicarakan mengenai penyakit-penyakit kronik yang menyerang penduduk dunia, tiada satu pun yang dilihat mampu dicegah mahupun diubati melainkan melihat angkat kematian semakin meningkat saban tahun.
Oleh yang demikian, selain mengamalkan cara hidup sihat, masyarakat dinasihatkan melakukan ujian saringan kesihatan dan tidak terus membiarkan diri diserang dengan pelbagai penyakit yang merbahaya.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2008 hampir 610,000 lelaki dan wanita meninggal dunia akibat kanser usus atau kolon.
Sementara itu, Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia pula melaporkan kanser itu juga merupakan penyakit kedua paling biasa menyerang dan melibatkan kematian kira-kira 2,900 rakyat Malaysia setiap tahun.
Perlu diingatkan bahawa kanser usus mampu membawa maut sekiranya gagal dirawati segera.
Menurut Pakar Perunding Gastroantrology (Pakar Usus), Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, setakat ini statistik menunjukkan lelaki paling ramai menghidapi pesakit kanser usus.
Ia tidak bermakna penyakit itu tidak menyerang kaum wanita malah ia berada pada kedudukan ketiga paling banyak di negara ini.
Malangnya kata beliau, ramai yang tidak mengambil serius akan risikonya dan jika tidak dirawat pada peringkat awal ia akan menjadi lebih berbahaya.
"Sungguhpun begitu, kesedaran terhadap risiko dan pencegahan awal terhadap kanser usus di negara ini masih rendah.
"Kanser ini boleh sembuh kalau disedari lebih awal tetapi pesakit mungkin memerlukan beberapa jenis rawatan.
"Tetapi jika disedari pada peringkat lewat, peluang untuk sembuh adalah kurang. Malah pesakit terpaksa menjalani pelbagai rawatan dan salah satunya adalah melalui pembedahan," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kanser ini yang menyerang kolon atau usus dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan-bahan kumuh.
Ia biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam usus. Kebanyakan polip ini tidak berbahaya.
Tetapi, jika dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi barah.
Pada peringkat awal, kanser usus mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Tetapi apabila sudah berlanjutan, pesakit mungkin mengalami perubahan seperti cirit-birit atau sembelit berdarah, kelesuan, sakit perut yang teruk, muntah, kehilangan berat badan dan juga anemia (kurang darah merah).
Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin merebak dari usus besar ke organ lain.
Ia biasanya menyerang hati. Apabila keadaan itu berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk.
Terdapat empat peringkat kanser usus. Peringkat pertama, kanser berada di dalam lapisan usus atau rektum dan mula merebak ke dinding usus pada peringkat kedua.
Kanser itu dikategorikan pada tahap ketiga apabila ia mula merebak di kawasan berhampiran nodus limfa dan akhirnya ke beberapa bahagian organ badan seperti hati dan paru-paru.
Ulas Dr. Muhammad Radzi, ketumbuhan kanser itu biasanya bermula dari dalam lapisan usus besar, bersaiz yang kecil dan ia boleh membesar sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain.
"Penyakit ini boleh dicegah sekiranya dikesan pada peringkat awal dan sekiranya pesakit mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin mereka mampu menjalani kehidupan yang normal dan aktif seperti individu lain.
"Adalah tidak benar kanser usus tidak boleh dihalang kerana polip boleh dibuang sebelum kanser tersebut membesar dan merebak.
"Hakikatnya, penyakit ini boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal," tambah beliau.
Oleh yang demikian, bagi pesakit-pesakit kanser usus dinasihatkan agar membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mengelakkan ia merebak sehingga ke tahap yang tidak boleh dirawat lagi.
Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser usus di peringkat awal.
Tambah beliau, kanser usus boleh terjadi pada semua peringkat umur. Tetapi risikonya lebih tinggi kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas berbanding wanita. Untuk itu, satu-satunya cara untuk mengesan kanser tersebut di peringkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin.
Pada peringkat awal doktor boleh merawat dan menyembuhkan penyakit itu dengan lebih berkesan.
Ditanya mengenai punca berlakunya kanser tersebut, beliau menjelaskan antaranya ialah faktor umur, sejarah keluarga , gaya hidup dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.
"Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.
"Untuk itu, amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat," katanya.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More