Friday 23 March 2012

Bergayakah anda?


Gaya, melambangkan keperibadian seseorang. Jam tangan krom, kasut putih dan sut hitam dikhas tempah melambangkan gaya seorang lelaki yang bekerjaya dan bergaya. Kasut biru converse, tshirt band, dan jeans Levis pula menunjukkan seorang anak muda yang bijak bergaya sesuai dengan umurnya.

Namun, masih ramai lelaki yang buta gaya sehingga menjatuhkan imej diri. Cara mengenakan pakaian yang dianggap 'cool' tapi sebenarnya pada mata orang lain amat memedihkan. Apakah kesalahan gaya yang akan MajalahLelaki.com dedahkan kali ini?

10- Rayban 'setiap masa'.


Rayban yang dulunya digayakan oleh golongan berduit kini mampu digayakan oleh sesiapa. Cermin mata fesyen yang boleh didapati semurah RM15 ; dengan pelbagai jenis bingkai dan warna kanta seperti biru, hitam, perang dan lutsinar. Cermin mata Rayban kini sinonim dengan anak muda yang ingin menampilkan gaya 'macho'.

Masalahnya terjadi apabila cermin mata itu dipakai setiap masa. Tidak kira di waktu malam, di dalam kompleks beli belah dan juga ketika makan di food court. Ingat, memakai cermin mata gelap ketika berbual melambangkan diri anda yang tidak tahu menghormati adab-adab pergaulan.

9- Jeans 'berhias'.


Jeans adalah seluar yang mudah dipadankan dengan apa jenis pakaian. Namun, perkembangan fesyen telah membuatkan ramai orang tersilap dalam hal memilih jeans. Kerana merasakan yang 'washed' dan jeans kosong adalah terlalu biasa, ramai mula mengenakan rekaan jeans yang pelik dan melampau.

Jeans koyak, berbulu, bertali besi, studded dan bercorak graffiti kini menjadi pilihan ramai anak muda. Namun, ianya hanya melambangkan diri si pemakai tidak tahu mengenai gaya, dan bukannya up-to-date!

8- Seluar londeh.


Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh si pemakai seluar londeh? Menunjukkan jenama boxer atau seluar dalam? Anda juga bukan seorang hip-hopper jadi mengapa perlu menggayakannya? Pilihla saiz pinggang yang sesuai dan pakai bersama tali pinggang. Gaya seluar londeh bukanlah satu gaya yang menyenangkan mata.

7- 'Naik' kolar.


Anda tentu berasa seperti seorang yang berkuasa apabila menaikkan kolar Polo-T anda bukan? Kolar yang dinaikkan memberikan imej diri anda yang angkuh dan sombong. Relaks; mafia di Itali juga tidak pernah menaikkan kolar kemeja mereka, mengapa perlu anda?

6- Aksesori melampau.

Cincin dengan batu sebesar bebola ikan, gelang tangan dan rantai setebal rantai basikal. Terpulanglah jika anda rasa ianya cukup bergaya.

5- Potongan Tshirt


T-shirt adalah satu gaya yang amat simple dan mudah digayakan. Tetapi ada beberapa faktor yang membuatkan si pemakainya tampak selekeh dan kelakar. Tidak kiralah anda membelinya dari Topman mahupun Armani, saiz dan potongan tshirt itu haruslah sesuai dengan bentuk badan anda. Tshirt yang terlalu ketat sehingga menunjukkan perut buncit atau tulang gitar anda bukanlah sesuatu yang cool. Begitu juga dengan V-neck yang terlalu curam, melainkan anda lelaki yang berbuah dada menarik!

4- Gaya rambut.

Setiap orang mempunyai gaya rambut tersendiri yang sesuai digayakan. Gaya rambut mohawk mungkin nampak universal, tetapi ada digayakan melampau dengan gel keras. Begitu juga dengan warna rambut, pilihlah warna yang sesuai dan pastikan warnanya serata. Bukannya bertompok-tompok seperti corak airliur basi di bantal dan jangan sesekali gayakan blonde jika anda berkulit gelap!

3- Trucker cap.


Kebanyakan anak muda gemar menggayakan topi dimana sahaja, tidak kira siang atau malam. Ianya perlulah disesuaikan dengan tempat yang dituju dan kesesuaiannya dengan gaya pakaian. Topi yang lebih besar dari kepala anda membuatkan diri anda nampak seperti tiang signboard.

2- Ed Hardy


Barangan pakaian berjenama antarabangsa ini mempunyai tag harga yang tidak munasabah, tetapi semakin ramai menggayakannya setelah produk tiruan memasuki pasaran. Namun, design pakaiannya yang agak pelik seperti harimau, bunga-bungaan dan penggunaan kilatan adalah agak kelakar untuk digayakan di Malaysia ini. Tepuk dada, tengoklah cermin.

1- Kasut


Anda mungkin berasa yang lelaki tidak perlu pening memikirkan tentang hal kasut kerana ianya adalah hal kaum wanita. Kerana itulah masih ramai yang ke kompleks beli belah dengan berseluar jeans dan hanya selipar. Ada juga yang menggayakan kasut berupa seperti but angkasawan, pilihlah kasut dengan bijak dan elakkan penggunaan selipar kecuali anda memakai seluar pendek.

Pastinya salah satu dari kesalahan gaya ini telah anda lakukan bukan? Bergayalah dengan betul supaya imej anda terjaga! Selamat bergaya!


Tentu anda telah menambahkan beberapa kilo sejak kebelakangan ini, kerana itu anda sedang membaca artikel ini! Kebanyakan orang tidak sedar yang mereka mengambil makanan secara berlebihan, sehingga menyebabkan penambahan berat badan dan menggangu kesihatan. Sebelum MajalahLelaki.com memberikan nasihat tentang cara-cara mengelakkan tabiat tidak sihat ini, mari kita lihat apakah sebab-sebab anda mengambil makanan secara berlebihan!

1- Anda bosan!

Ketika teman lain seronok keluar bersama teman wanita, anda terperangkap di rumah dengan koleksi DVD lama yang telah anda tonton. Untuk menjadikannya lebih seronok, anda tambahkan beberapa paket snek dan makanan ringan. Tidak cukup untuk itu, anda mula mencapai telefon dan membuat order makanan segera!

2- Anda stress!

Setiap orang mempunyai stress dan mempunyai cara tersendiri untuk mengendalikannya. Tidak kira kerana perbuhungan, kewangan mahupun pelajaran. Ada yang berkaraoke, ada yang bersukan dan ada yang mengantuk kepala di dinding. Tetapi anda tidak gemar menyayi, bersukan mahupun menghancurkan kepala anda ketika stress. Jadi apa yang anda lakukan, makan!

3- Cuba berhenti merokok.

Tahniah, anda telah mula berusaha untuk mengelakkan diri dari kanser peparu kerana rokok. Tetapi tahukah anda yang menggantikan rokok dengan makanan secara berlebihan, sebenarnya hanyalah menggantikan kanser peparu dengan penyakit jantung?

4- Cara hidup tidak sihat.

Cara sosial masa kini sudah berubah, setiap pertemuan yang dilakukan pastinya di kafe, kedai mamak dan sebagainya. Pasti anda tidak akan terlepas dari memesan 2 gelas Teh Ais dan sekurang-kurangnya roti canai sebagai snek ketika melepak bersama teman di kedai mamak.

5- Menjaga hati.

Percaya atau tidak, ramai lelaki makan dengan saiz hidangan yang lebih besar untuk menjaga hati isteri / ibu? Kerana itulah kebanyakan lelaki yang baru saja berkahwin cepat "kembang". Menjaga hati isteri yang penat memasak adalah lebih penting berbanding berat badan di waktu-waktu kritikal ini!

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Sekarang anda sudah tahu mengapa anda makan secara berlebihan, jadi sekarang anda perlu cari cara untuk mengatasi tabiat buruk ini.MajalahLelaki.com ada nasihat untuk anda!

1- Keluar dari rumah!

Elakkan melingkar di atas sofa setiap kali anda bosan di rumah. Carilah hobi baru seperti kelas mempertahankan diri, rock-climbing, berbasikal dan sebagainya yang lebih berfaedah.

2- Tangani stress dengan bijak!

Letakkan pinggan anda dan carilah teman untuk berbual tentang masalah anda. Stress boleh ditangani dengan berbagai-bagai cara terutamanya bersenam dan beribadat. Berat badan yang berlebihan hanya akan menambahkan stress anda di masa depan.

3- Alih perhatian anda!

Anda cuba mengalih perhatian tangan anda dari rokok dan memilih makanan, cuba 'sibukkan' tangan anda dengan bermain permainan video dan sebagainya. Apabila keadaan terasa amat teruk, kunyahlah gula-gula getah dan ambil buah-buahan sebagai pengganti snek.

4- Ubah cara hidup!

Ubah perjumpaan bersama rakan-rakan dari kedai mamak ke gim ataupun tempat rekreasi. Jadikan senaman secara berkumpulan sebagai aktiviti baru. Ianya ternyata lebih menyeronokkan dari melepak dengan cara kuno di kedai kopi.

Kini, anda sudah tahu punca dan cara mengatasinya. Segalanya terpulang kepada diri anda untuk cuba mengubah tabiat buruk ini atau tidak. Selamat mencuba!


Bercukur adalah satu kemestian kepada setiap lelaki ; kecuali spesis yang tidak berbulu. Walaupu ianya adalah sesuatu yang dianggap remeh, masih ramai kaum lelaki yang melakukan kesilapan ketika melakukannya. Kali ini, MajalahLelaki.com akan mendedahkan kesilapan dan cara-cara bercukur yang betul kepada anda!

6 - Pisau dan tuala yang kotor

90% kaum lelaki akan menggunakan pisau cukurnya sehingga rosak atau tumpul, tanpa mempedulikan kebersihannya. Ruam kulit yang gatal dan akhirnya menjadi kemerah-merahan adalah disebabkan dari pisau cukur yang kotor / karat. Tukar pisau cukur secara kerap dan gunakan penutup setelah digunakan.

5 - Bulu tidak rata

Bukan semua lelaki dianugerahkan bulu yang lebat dan penuh di muka ; disebabkan oleh faktor genetik. Jika anda adalah salah seorang yang tidak bertuah untuk memilikinya, elakkan dari menyimpannya kerana rupa anda akan tidak ubah seperti peta dunia yang bertompok-tompok.

4 - Jerawat

Bercukur adalah amat menyakitkan apabila anda mempunyai jerawat. Benjolan merah itu menandakan yang anda perlu melakukannya dengan berhati-hati, bukannya dengan hanya menoreh wajah anda. Gunakan krim dan bercukur dengan berhati-hati, jerawat yang luka mungkin akan meninggalkan parut kekal.

3 - Kawasan terlindung

Keadaan yang sama seperti mencuci habuk terlindung di sebalik almari, anda perlu mengadakan sedikit masa untuk mencukur bahagian-bahagian yang 'terlindung' untuk mengelakkan dari kecelakaan semasa melakukan seni pisau cukur anda.

2 - Pisau cukur tumpul

Pisau cukur yang baru dibeli hanya memerlukan sedikit tekanan untuk menghapuskan semua bulu-bulu di wajah anda, tetapi tidak bagi pencukur yang sudah lama. Tekanan yang tidak stabil akan menyebabkan luka ketika bercukur. Tukarlah kepada yang baru setelah anda mula rasa pencukur itu tidak berfungsi seperti yang baru.

1- Kulit kering

Anda mungkin tidak percaya tetapi ada lelaki yang bercukur secara 'kering' semasa memandu ke pejabat dan sebagainya. Sedikit sabun ataupun krim haruslah digunakan sebagai pelincir diantara pisau dan kulit anda. Bercukur dengan kulit yang kering akan menyebabkan luka dan ruam.

Dengan tips-tips ini, anda mungkin tidak akan pergi ke pejabat dengan pipi yang merah dan luka seperti seorang askar Vietcong. Ambil masa, lakukan dengan betul dan jaga kebersihan!

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More