Friday 23 March 2012

Definisi mangsa fesyen



GOLONGAN jejaka juga perlu bijak memilih pakaian mengikut lokasi dan masa.


SERINGKALI kita mendengar label mangsa fesyen merujuk kepada mereka yang berpenampilan bak badut dan tidak kena gaya. Namun persoalannya, apakah definisi sebenar mangsa fesyen dan bagaimana cara untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam kategori ini?
Label atau terma ‘mangsa fesyen’ sewajarnya dielakkan oleh setiap individu kerana ia boleh mengundang reaksi kurang selesa daripada orang sekeliling. Kebiasaannya, label tersebut digunakan apabila kita ingin mengkritik gaya pemakaian seseorang.
Dalam erti kata lain definisi mangsa fesyen itu sendiri sangat subjektif dan terpulang kepada interpretasi masing-masing.
Secara peribadi saya berpendapat, selalunya individu cenderung menjadi mangsa fesyen kerana terlalu mencuba untuk berfesyen dan bergaya. Pada masa yang sama, sanggup membeli apa sahaja yang dicadangkan oleh orang lain yang dianggap stailo.
Hakikatnya, bukan mahal atau murah sesuatu pakaian yang menjadi ukuran dalam aspek penampilan seharian. Sebaliknya, memadai sekiranya individu tampil selesa dan hebat dalam pakaian yang bersesuaian dengan potongan badan, imej dan personaliti. Kunci utama, penampilan bukan bergantung kepada pakaian yang dipakai tetapi, cara kita memakai pakaian itu.
Sehubungan itu, menerusi ruangan Sifu Gaya minggu ini, saya memberikan beberapa panduan bagi membantu anda kelihatan hebat dan bergaya:
Sentiasa jadi diri sendiri
Pilih pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, bukan semata-mata mengikut trend fesyen. Selain itu, kita perlu sentiasa selesa dengan apa jua pakaian yang digayakan dan perlu bijak memilih item fesyen yang bersesuaian dengan umur, potongan tubuh badan, imej dan personaliti serta mengambil kira acara, majlis dan lokasi.
Jika kita berasakan semua mata seolah-olah memandang sinis semasa kita menggayakan sesuatu pakaian, berkemungkinan besar imej itu tidak sesuai dengan kita. Begitu juga dengan trend warna terang. Elakkannya jika anda tidak biasa serta kurang selesa memakainya. Paling penting perlu jujur dengan diri sendiri.
Usah berlebihan
Jangan terlebih dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan semua pakaian dan aksesori popular dalam satu masa. Ia kelihatan pelik dan janggal. Cadangan saya, tidak perlu membazir, memadai membeli beberapa pakaian yang trendy mengikut musim. Kemudian, suai dan padan dengan item fesyen asas yang terdapat di dalam almari pakaian anda.
Suai dan padan
Pakaian baharu yang sesuai dipraktikkan suai padan bersama item fesyen lama secara bijak dan kreatif. Selalunya, kaedah ini membantu menyuntik penampilan yang lebih menarik dan segak. Lagipun, ia menjimatkan wang anda.
Rancang beli-belah
Sebelum anda bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori baharu, tanya diri sendiri sama ada anda membelinya kerana ia barang terkini atau kerana anda betul-betul memerlukannya? Jika anda membeli hanya kerana jenama barangan tersebut, lupakan sahaja niat itu. Ini disebabkan lama-kelamaan anda kurang menyukai pakaian itu.
Jangan mudah terpengaruh
Usah jadi hamba fesyen disebabkan paparan media cetak dan elektronik. Jangan meniru bulat-bulat apa yang kita lihat menerusi televisyen dan majalah kerana kebanyakan selebriti serta barisan model bergaya semata-mata untuk menarik perhatian umum.
Mengambil inspirasi untuk lebih bergaya tidak salah, cuma ia perlu disesuaikan dan diolah mengikut gaya hidup. Ini termasuklah menyesuaikan dengan latar belakang budaya masyarakat setempat.
Antara ciri-ciri mangsa fesyen:
Gemar membeli barangan berjenama.
Terlalu taksub atau kuat nafsu membeli-belah sehingga sebahagian besar daripada kumpulan ini sanggup berhutang ribuan ringgit.
Hanya memakai pakaian atau aksesori trend terkini, tanpa mengira sama ada ia sesuai dengan diri dan situasi.
Membeli pakaian yang sempurna dari segi rekaan tetapi malangnya tidak cocok apabila membaluti tubuh sehingga penampilan tampak kurang sempurna.
Sumber: kosmo online

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More