Saturday 24 March 2012

Pernyataan fesyen rambut kaum Adam




SEMAKIN berusia seorang lelaki itu, semakin mereka memandang ringan kepentingan penjagaan rambut. Jadi, bukan hal yang mengejutkan apabila rata-rata lelaki mula botak menjangkau usia 30 tahun. Penjagaan dan penggayaan rambut amat penting buat lelaki. Walaupun majoriti lelaki berambut pendek, tidak bermakna rambut tidak memerlukan perhatian khusus.
Penggaya rambut profesional, Halimi Hamdan, 26, menyarankan agar lelaki berkunjung ke salon tiga minggu sekali ataupun paling lewat sebulan sekali.
“Ia sebenarnya terpulang kepada individu tersebut. Mereka yang mahu mengekalkan gaya rambut sedia ada perlu datang dalam tempoh tiga minggu sekali bagi memastikan bentuk potongan itu masih ada. Jika lebih daripada itu, kita khuatir bentuk potongan itu hilang dan menyukarkan pekerja di salon menghasilkan kembali gaya asal.
“Bagi lelaki yang mahu mencuba gaya baharu, bolehlah menyimpan rambut lebih panjang berbanding biasa bagi memudahkan penghasilan stail rambut yang diingini.
“Tetapi pastikan juga rambut yang disimpan itu kemas dan sebaik-baiknya, kemaskan rambut pada bahagian tepi telinga (sideburn) bagi mengelakkan penampilan tampak tidak terurus,” jelas Halimi yang lebih dikenali dengan panggilan Chez.
Selain merapikan potongan rambut, lelaki juga perlu celik tentang jenis-jenis produk rambut yang sesuai mengikut tekstur rambut mereka agar penampilan kekal kacak dan menarik.
Menurut Chez, lelaki sekarang disarankan menggunakan wax kerana ia membuatkan rambut kelihatan terurus secara semula jadi, senang digayakan dan mudah dibilas kerana ia tidak menyentuh kulit kepala.

CHEZ (depan) bersama tiga model yang menerima khidmat nasihatnya dalam menata gaya rias diri yang baharu.


“Lelaki perlu mengikut kesesuaian jenis rambut mereka. Bagi yang memiliki rambut kerinting, kusam dan kering, lebih sesuai menggunakan gel atau penyembur berbuih (liquid foam) agar rambut berkilat dan nampak bermaya.
“Mereka yang berambut normal pula sesuai memakai wax, namun kesemua lelaki boleh memakai krim rambut biasa untuk ke pejabat kerana ia menonjolkan gaya neutral, tidak terlalu basah ataupun kering,” tambah Chez yang sudah berkecimpung selama tujuh tahun dalam dunia penggayaan rambut.
Warna rambut
Bosan dengan warna asal rambut anda? Usah gementar tampil berbeza daripada biasa. Tidak salah bagi lelaki mewarnakan rambut mereka agar kelihatan bergaya, tetapi pastikan warna yang dipilih berpadanan dengan warna kulit.
Seperti yang dijelaskan Chez, pemilihan warna rambut perlu disesuaikan mengikut ton kulit, trend semasa, profesion dan kawasan seseorang itu tinggal.

PEMILIHAN warna rambut yang betul adalah penting untuk memastikan penampilan anda tampak menyerlah.


“Kesemua aspek tersebut perlu diambil kira sebelum mengambil keputusan untuk mewarnakan rambut. Paling penting anda perlu menyesuaikan warna dengan ton kulit.
“Lelaki berkulit cerah dalam konteks kulit Asia sesuai menggayakan rambut berwarna emas terang ataupun coklat sederhana (medium brown).
“Mereka yang berkulit gelap boleh memilih warna merah gelap, ungu gelap, coklat gelap ataupun perang gelap. Elakkan warna perang terang kerana ia agak melampau untuk digayakan lelaki Asia.
“Walaupun ada sesetengah lelaki Asia berkulit cerah, mereka tetap tampak ganjil dengan rambut perang terang, seperti ada yang tidak kena dengan warna tersebut,” terang Chez lagi.

Related post



0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More